‘Demi Hormati Pemain Beragama Islam, Keraian Piala Liverpool Tanpa Alkohol’ – Henderson

Kapten Liverpool Jordan Henderson mendedahkan bahawa pasukan Liverpool menggunakan champagne khas tanpa alkohol semasa pesta kejuaraan Liga Perdana 2019/2020 untuk menghormati Mohamed Salah dan Sadio Mane serta pemain beragama Islam yang lain.

Sukar untuk mengubah tradisi menyembur champagne dalam meraikan kejuaraan. Namun Liverpool ada cara tersendiri agar ianya dilakukan tanpa membuatkan pemain beragama Islam terkena percikan air beralkohol.

Oleh itu, Champagne tanpa alkohol digunakan oleh Liverpool semasa perayaan kejuaraan di Stadium Anfield dalam keraian trofi Liga Perdana Inggeris adalah yang pertama sejak 30 tahun.

Henderson berkongsi perkara itu kepada umum dalam wawancara bersama The Times.

“Champagne semasa perayaan trofi tidak beralkohol kerana Mo dan Sadio,” kata Henderson.

“Di dalam bilik persalinan tidak ada [yang tidak bertoleransi dengan rakan berbeza budaya], jadi mengapa tidak di dunia luar?” dia meneruskan.

Henderson mengakui bahawa dia sangat menghormati Salah dan Mane. Lebih lebih lagi keperibadian terpuji dua pemain muslim tersebut di dalam dan di luar padang.

Dari segi prestasi, sudah pasti kedua dua mereka pemain penting dalam membantu Liverpool bangkit ke persada prestasi mereka.

Sadio Mane dan Mo Salah membantu Liverpool menjuarai EPL, Liga Juara Juara Eropah dan kejuaraan dunia kelab.

“Saya melihat Sadio dan Mo dan dari mana mereka datang dari [luar bandar Senegal dan Mesir]. Apa yang mereka capai sangat luar biasa,” kata Henderson.

“Saya melihat perjalanan saya dalam karier [tidak segetir yang mereka lalui untuk sampai ke kedudukan mereka sekarang] dan saya berasa sangat beruntung.”

“Saya berasal dari keluarga kelas pekerja tetapi saya tidak pernah mengalami beberapa perkara yang mereka alami dalam hidup mereka.”

Selain daripada Sadio Mane dan Mohamed Salah, pemain lain yang beragama Islam dalam skuad Liverpool ialah Naby Keita dan Xherdan Shaqiri.

Keraian Liverpool itu dipuji kerana sebelum ini di England berlaku kes di mana pemain beragama Islam disimbah beer.

Ianya berlaku melibatkan kapten pasukan kriket Essex, Tom Westley yang menyiram pemain beragama Islam – Feroze Khushi – dalam keraian Piala Bob Willis.

Westley kemudian meminta maaf di atas tindakannya.

Klopp bangga dengan perbezaan budaya dan kesatuan di dalam pasukan

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata, dia bangga memiliki skuad dari pelbagai bangsa,agama dan budaya, termasuk pemain Muslim.

Variasi budaya memang menghiasi skuad Liverpool, mulai dari kumpulan pemain yang berasal dari Great Britain seperti Jordan Henderson hingga Andy Robertson.

Di samping itu, terdapat sekumpulan pemain dari Brazil, seperti Roberto Firmino, Alisson Becker dan Fabinho. Kemudian, ada juga kumpulan  pemain dari Belanda, iaitu Virgil van Dijk, Georginio Wijnaldum, dan pemain pertahanan muda Sepp van den Berg.

Sementara itu, beberapa orang lagi pemain Liverpool lain beragama Islam, seperti Mohamed Salah, Sadio Mane, Naby Keita, hingga Xherdan Shaqiri.

Ketibaan Salah di Liverpool, ditambah dengan prestasi luar biasa yang ditunjukkannya, menjadikan nama The Reds semakin diminati di semenanjung Arab.

Ditanya sama ada Klopp mengawal rutin harian pemain, pengurus itu menyatakan dia langsung tak ada masalah dengan perkara itu.

Klopp malah gembira dan berbangga dengan pembentukan pelbagai budaya di Liverpool.

“Saya gembira kerana kami mempunyai banyak ‘Multi-Culti’. Saya boleh mengatakan [mempunyai] duta Muslim yang terbaik di dalam pasukan adalah sangat hebat, “kata Klopp dalam filem terbarunya berjudul The End of the Storm seperti yang dipetik oleh Goal International.

Seterusnya, Klopp juga mendedahkan bagaimana kelabnya bertolak ansur dengan pemain Muslim ketika mereka harus melaksanakan kewajiban solat.

“Mereka yang beragama Islam sering mencuci badan mereka dalam keadaan tertentu.”

“Sebelum memanaskan badan, dan setelah memanaskan badan, ianya memerlukan masa. Oleh itu, kami memutuskan untuk melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza, “kata Klopp.

“Kami hanya mempunyai satu jam ketika kami tiba di stadium dan ketika kami kembali ke bilik persalinan setelah melakukan pemanasan untuk memberikan peluang melakukan ritual ini [doa]. ”

“Kami perlu memberikan masa sebanyak dua minit kepada mereka untuk melakukan ritual [doa] tersebut. Ianya sangat mudah untuk memberikan dua minit ini untuk membuat mereka melakukan sesuatu yang mereka anggap sangat penting, “katanya lagi.

Sudah dari dulu

Tahun sebelum ini Jurgen Klopp pernah mendedahkan bahawa pemain Liverpool yang beragama Islam seperti Sadio Mane, Mohamed Salah dan Emre Can (ketika bermain di Liverpool) tidak pernah lupa menunaikan solat.

Malah Klopp menyatakan para pemain lain menganggap rutin dan kewajiban harian pemain pemain Muslim tersebut sebagai sebahagian daripada mereka.

Di mana, pemain yang bukan beragama Islam tidak ada masalah untuk turun lebih awal ke stadium untuk membolehkan para pemain muslim tersebut menunaikan solat terlebih dahulu.

Klopp memuji kekuatan mental dan fizikal pemain yang beragama Islam. Kerana menurutnya, mereka sangat kuat dan bertenaga dan tidak pernah meminta pengecualian khas – terutama sekali pada bulan ramadan.

Hanya kelab yang memberikan mereka latihan khas pada bulan puasa kerana mengambil kira perbezaaan waktu diet mereka yang perlu sesuai dengan latihan yang sesuai.

Klopp juga tidak pernah melarang pemainnya daripada berpuasa kerana menurut beliau itu adalah urusan agama yang harus dihormati. Cuma sebagai jurulatih beliau dan pembantunya memberikan panduan dari sudut kecergasan dan apa yang patut.

Klopp berkata: “Saya tidak ada masalah dengn puasa mereka, saya menghormati agama mereka, mereka sentiasa hebat dan mereka memberikan yang terbaik sama ada ketika mereka berpuasa atau tidak,” kata Klopp semasa sidang media final UCL menentang Tottenham Hotspur dua musim yang lalu.

“Ada hari-hari ketika Sadio Mane atau Mohamed Salah masuk menggunakan ruang di bilik persalinan kerana mereka sedang bersolat [jika tidak ada ruang solat], dan pemain lain menghormati merela.” kata Klopp.

“Dalam kehidupan ini, ada banyak perkara yang lebih penting daripada bola sepak.”

Oleh kerana itulah, media turut menghormati pendirian Sadio Mane dan rakan rakannya yang lain yang beragama Islam.