Di Maria Terharu Messi Ucap Terima Kasih Dan Iktiraf Ini Final Di Maria

Pemain sayap Paris Saint-Germain menjaringkan gol kemenangan yang menamatkan kemarau piala antarabangsa negaranya serta kemarau piala antarabangsa Loonel Messi.

Angel Di Maria mendedahkan bahawa dia terkejut apabila kapten Lionel Messi memberitahunya bahawa final Copa America kali ini adalah final (milik) Di Maria.

Di Maria berdepan dengan banyak cabaran dalam karier antarabangsanya. Beberapa kali disisihkan kerana kecederaan termasuk aksi final Copa America 2016.

Dalam final Piala Dunia 2014, beliau terpaksa disisihkan selepas kecederaan dan Real Madrid tidak memberikan pelepasan kepadanya untuk bermain.

Ini kerana Di Maria cedera ketika aksi berdepan Belgium. Di Maria sangat kecewa dan mengoyakkan surat rasmi dari Real Madrid yang melarangnya beraksi di final Piala Dunia 2014 menentang Jerman.

Bercakap kepada Telefe: “Hanya 3 orang yang tahu kebenaran yang sebenar di sebalinya, iaitu doktor Daniel Martinez, coach Alejandro Sabella dan saya sendiri.”

“Saya ada mengalami kecederaan ketika berdepan Belgium, dan kaki saya memang tidak ok sepenuhnya. Tetapi saya nak bermain di Piala Dunia. Dan saya tak kisah pun kalau selepas itu saya tak boleh bermain bola sepak lagi.”

“Itu adalah perkara yang mereka beritahu saya bakal berlaku [mengalami kecederaan serius kalau memaksa diri beraksi]. Namun bagi saya, saya tak kisah, itu final Piala Dunia.”

Seterusnya Di Maria memang mahu beraksi dalam final itu walaupun terpaksa menggunakan bantuan suntikan tahan sakit. Namun dia akur bahawa Real Madrid sebenarnya tidak mahu dia cedera terus kerana kelab mahu menjualnya.

Pada masa yang sama pengurus pasukan juga tidak mahu merisikokan dia dan pasukan.

“Saya tahu Real Madrid nak menjual saya, jadi satu surat tiba dari sana. Daniel memberitahu saya, surat itu dari Real Madrid, saya tak sanggup membaca atau melihatnya, lalu saya mengoyakkannya.”

“Saya menangis ketika bercakap dengan Alejandro, bahawa saya tidak 100%. Saya tahu dia sayangkan saya dan nak saya bermain. Namun dia terpaksa membuat keputusan terbaik demi pasukan.”

“Saya cakap, saya mahu menerima suntikan. Saya nak cuba. Namun selepas perbincangan, mereka memutuskan untuk meletakkan Enzo Perez menggantikan tempat saya.”

Akhirnya juara!

7 tahun daripada kesakitan fizikal dan mental itu, Di Maria menjadi wira negaranya dengan gol kejuaraan. Lebih menarik, ini adalah kali kedua, Di Maria membantu Lionel Messi menyempurnakan perjalanan kariernya.

Pertamanya ketika Olimpik 2008, di mana Di Maria menjaringkan gol kemenangan untuk membantu negaranya dan Messi memenangi emas Olimpik 2008 menewaskan Nigeria.

Dan kali ini beliau menjaringkan gol tunggal kejuaraan dalam aksi major Copa America. Malah ada yang tertanya, kalau Di Maria bermain dalam aksi final Piala Dunia 2014, mungkinkah skrip yang berbeza akan berlaku kepada Argentina dan Jerman?

Selepas tamat aksi final, Di Maria menegaskan bahawa dia tidak akan melupakan kenangan tersebut. Kemudian Di Maria terharu apabila Lionel Messi datang kepadanya dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

“Kami terlalu banyak mengimpikannya.”

“Ini tidak akan dapat dilupakan. Messi mengucapkan terima kasih kepada saya, saya mengucapkan terima kasih kepadanya juga!”

“Dia mengatakan kepada saya bahawa ini adalah final saya, bahawa itu adalah ulangan final yang tidak dapat saya mainkan sebelum ini. Jadi ini boleh menjadi balas dendam oleh saya kepada beberapa final yang saya telah terlepas. Hari ini harus menjadi harinya, dan ia benar berlaku.”

Di Maria menambah: “Saya gembira untuk anak perempuan saya, isteri saya, ibu bapa saya, semua orang yang menyokong kami dan untuk semua orang ‘gila’ yang datang ke sini.”

“Piala Dunia akan tiba tak lama lagi. Ini adalah satu motivasi yang besar.”

Baca yang lain