Di Thailand, Menteri Kesihatan Thailand Salahkan Orang Putih Punca Koronavirus

Xenophobia ni bukan benda baharu. Sebelum ini Donald Trump menuduh bahawa koronavirus adalah virus Cina kerana berasal dari negara China.

Untuk mengekang masalah stigma seperti ini, World Health Organization (WHO) sudah lama menghentikan menamakan virus dengan merujuk kepada sesuatu tempat atau bangsa.

Misalnya dahulu ada Spanish Flu, Japanese encephalitis dan sebagainya. Lalu WHO menamakan koronavirus dengan nama rasmi COVID-19.

Namun harus diakui masih ramai yang menganggap COVID-19 ni kerana orang China. Stigma ini membuatkan orang China marah.

Di Thailand, menteri salahkan orang putih

Tetapi, berbeza dengan Menteri Kesihatan Thailand, Auntin Charnvirakul pula menyatakan bahawa COVID-19 adalah virus orang putih.

Menurut beliau pelancong orang putih ni yang menjadi sebab kenapa virus ini merebak ke seluruh Asia.

Dipetik dari Bangkok News, beliau menyatakan perkara itu menerusi Twitternya yang berbunyi: “Sekarang ini musim sejuk di Eropah. Dan kesemua orang putih ni terbang lari dari kesejukan, pergi ke Thailand.”

“Ramai yang berpakaian kotor dan tak pernah mandi. Sebagai negara tuan rumah, kita kena berhati hati.”

“Sekarang ni saya di Chiang Mai. Hampir tiada pelancong China di sini, yang ada hanyalah farangs [gelaran untuk orang putih].”

“Lebih 90 orang Thai memakai topeng, namun tak seorang pun farang ni memakainya.”

“Inilah sebabnya kenapa ramai yang terkena virus ini di negara mereka.”

“Kita orang timur dan Asia ini kena berhati-hati dengan farang ni.”

Sehingga 26 Mac, Thailand mencatatkan 827 kes koronavirus. Dan tidak dapat dipastikan pecahan kes melibatkan orang Siam dan juga orang putih.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-chan sudah mengumumkan darurat kesihatan di negara mereka selama sebulan untuk melawan wabak koronavirus.

Namun kenyataan itu dianggap memalukan. Ramai rakyat Thailand tidak setuju dengan Anutin.

Malah ramai yang meminta Anutin untuk membuat kajian dahulu sebelum pakai hembus je kenyataan.

Virus tersebut bermula dari Wuhan. Dan ia tersebar ke seluruh dunia bukan hanya kerana orang putih seperti yang beliau katakan.

Malah, di Asia adalah pusat awal virus ini sebelum merebak ke Eropah. Ada yang meminta Anutin untuk fokus kepada usaha pencegahan berbanding dengan mengirim Tweet yang berbentuk stigma dan kebencian.

Selepas mendapat kecaman daripada ramai pihak, Anutin Charnvirakul menyatakan beliau tidak pernah tweet menghina orang barat / orang putih pengotor.

Dan beliau menegaskan akaun twitter beliau terpaksa dipadamkan.

Beliau menegaskan, akaun Twitter beliau dikendalikan oleh pegawai media sosial beliau, dan dia tak tahu menahu tentang apa yang dikirim oleh pegawai beliau itu.

Ini bukan pertama kali Anutin cari pasal dengan orang putih ni. Pada Februari lalu News Australia melaporkan beliau meminta maaf selepas kenyataannya yang mahu menendang orang putih dari Thailand.

Ini kerana menurut beliau, orang putih tidak mahu menerima topeng muka yang diberikan kepada mereka, walaupun ia percuma.

Beliau meminta maaf kerana menggunakan terma farang merujuk kepada orang putih.

“Saya minta maaf di atas kenyataan saya. Saya tak tahu mereka dari negara Eropah mana.”

“Dan terima kasih kepada mereka yang memberikan kerjasama.”

Beliau juga meminta maaf kerana agak emosi sampai nak menghalau keluar kesemua orang putih ini.

Sumber: Mashable / News AU

Baca yang lain