Diancam Potong 3 Mata Sebab Hutang, Pemilik Kelantan FC ‘Mengamuk’, Mahu FAM Lebih Bijak Dari Biasa

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman ataupun dikenali dengan Zamsaham hari ini mengamuk di media sosial gara gara kenyataan FAM yang menurutnya tidak cerdik.

Segalanya bermula apabila Pengerusi Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Mohd Joehari Ayub dalam kenyataan mereka semalam memaklumkan bahawa KAFA dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada;

Muhammad Fauzi Rozlan sebanyak RM63,628.18, Muhammad Zulfahmi Awang (RM50,000), Muhammad Afiq Azuan (RM32,141.99) dan Wan Mohammed Afiq Wan Mohamed Kasbi (RM21,000).

KAFA juga perlu melunaskan tunggakan gaji Mohamad Azzrie Aripin sebanyak RM4,075, Muhammad Syafiq Syahmi Husin (RM3,877), Muhammad Fahmi Izzuddin Ab Rahman (RM2,681), Ahmad Fathi Irfan Azlan (RM3,279), Muhammad Fikri Hakim Kama (RM1,289.50), Ahmad Hamzalah Zulkiflee (RM2,681) dan Mohamad Fazliera Ezlan Mohd Rosli (RM3,126.25).

Seterusnya Bernama melaporkan, jika tidak melangsaikan hutang tersebut, Kelantan FC akan dipotong 3 mata. Itu yang membuatkan Zamsaham marah.

Hari ini Zamsaham memberikan respon bahawa, FAM seharusnya memperbaiki diri sendiri daripada mencari kesalahan orang lain.

Zam berkata: “Penswastaan yang kurang bijak. Hutang KAFA, denda ke Kelantan FC. Apa guna Swasta?”

Beliau turut menyindir: “Penswastaan industri bola Malaysia adalah paling last di dunia, dan paling bijak!”

Selain itu Zam juga mempersoalkan tentang peranan FAM kepada kemajuan pasukan kebangsaan.

“Ranking Bola Malaysia 153 dunia. Paling memalukan!! Siapa yang urus dan jaga bola sepak Malaysia?

Menurut Norizam, beliau difahamkan bahawa KAFA akan membayar hutang organisasi tersebut. Dan kenapa Kelantan FC yang perlu tanggung akibatnya?

“KAFA dah jelaskan (bahawa) baki hutang mereka akan bayar.”

“Kelantan FC, dah nak fokus kedepan. FAM pula sepatutnya membantu penswastaan. Bukannya awal-awal dah cerita nak tolak 3 mata kepada media tanpa sebarang pertanyaan kepada kelab dan KAFA terlebih dahulu.”

Zamsaham turut mempersoalkan apa tindakan FAM kepada MFL yang masih berhutang wang hak penyiaran dengan pasukan Liga Malaysia termasuk tunggakan gaji pengadil?

“Mohon FAM, biar lebih bijak dari biasa. Hutang-hutang MFL siaran perlawanan belum bayar!”

“Hutang MFL duit referee pun belum bayar! Apa perjuangan FAM? Renovate office?”

KAFA sudah berjanji Kelantan FC tak akan tanggung hutang mereka

Pada Ogos tahun lalu, Penasihat Undang-Undang KAFA Alawi Mohd Rashid berkata bahawa Kelantan FC tidak akan terikat dengan hutang yang ditanggung KAFA.

“KAFA telah menubuhkan sebuah syarikat yang dikenali sebagai Team Red Warriors Sdn. Bhd akan diberikan hak dan tanggungjawab untuk mengendali dan menguruskan pasukan Kelantan FC.

“Syarikat Team Red Warriors Sdn. Bhd yang menguruskan Kelantan FC akan bertanggungjawab sepenuhnya mencari pemain-pemain dan jurulatih termasuklah urusan pembayaran gaji,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Alawi berkata segala kos pengurusan pasukan, perlawanan dan sebagainya juga perlu ditanggung oleh Team Red Warriors Sdn. Bhd.

“Penswastaan itu nanti akan menyaksikan KAFA dan Kelantan FC akan terpisah serta mempunyai entiti masing-masing. Selepas ini, KAFA tidak lagi mempunyai apa-apa hak dan tanggungjawab ke atas Kelantan FC,” katanya.

“Selepas ini KAFA hanya akan terlibat dengan aktiviti-aktiviti pembangunan bola sepak seperti menganjurkan pertandingan Liga Tempatan, pertandingan bawah umur dan banyak lagi,” katanya.

Katanya, isu yang timbul dalam seminggu dua ini berkenaan penjualan pasukan bola sepak pada hakikatnya adalah penjualan dan pengambilalihan syarikat Team Red Warriors Sdn. Bhd dan bukannya KAFA.

“Mana-mana pihak yang ingin membeli dan mengambil alih pasukan bola sepak Kelantan hendaklah membeli saham-saham dalam syarikat tersebut dan seterusnya mendapat hak untuk menguruskan Kelantan FC dalam pertandingan musim 2021,” katanya.