Dianggap Beban Pasukan, Cucurella Menganjing Balik Gary Neville

Marc Cucurella telah menembak balik Gary Neville yang sebelum ini menganggap dia adalah beban pasukan.

Neville yakin, Sepanyol tidak akan pergi jauh kerana mereka menggunakan Marc Cucurella sebagai pemain bek kiri utama mereka.

Neville berkata: “Saya rasa kan, Marc Cucurella adalah salah satu sebab kenapa Sepanyol tidak boleh pergi jauh.”

Neville berkata begitu dalam ramalan Euro 2024 yang dia buat selaku pundit bertauliah.

Jelas sekali perkara itu tidak berlaku. Kerana Cucurella adalah nadi penting Sepanyol dalam Euro 2024 kali ini termasuk membekalkan assist kejuaraan Euro 2024 kepada Mikel Oyarzabal.

Lebih manis lagi kejayaan di final itu adalah ketika menentang England. Di mana Sepanyol menang 2-1.

Nico Williams mencetak gol pembukaan hanya selepa 2 minit aksi separuh masa kedua bermula. Kemudian Cole Palmer masuk dari bangku simpanan dan menjaringkan gol penyamaan.

Namun Sepanyol akhirnya kembali di hadapan pada lewat perlawanan menerusi gol Oyarzabal yang meranapkan harapan England dan membuatkan Three Lions terus kempunan.

Di Instagram miliknya, pemain yang dianggap beban oleh Neville iaitu Marc Cucurella telah menulis: “Kami dah pergi sejauh jauhnya Gary. Terima kasih atas sokongan kamu.”

Bukan sahaja Marc Cucurella, teman wanitanya, Claudia Rodriguez turut menganjing Gary Neville di ruangan IG.

Prestasi Marc Cucurella dalam Euro 2024 kali ini membuka mata kepada ramai pihak bahawa dia benar benar pemain bek sisi yang bagus.

Cucurella seringkali dikritik selepas berpindah dengan nilai £62 juta dari Brighton ke Chelsea. Dia sebelum ini pernah memberikan respon bahawa: “Jika kamu rasa harga saya mahal, jangan salahkan saya, bukan saya yang tetapkan harga saya sendiri.”