Diari Ramadan Sadio Mane: Catat Ratio Gol Terbaik Dalam Sebulan Untuk Musim Ini

Ramai yang menganggap puasa itu satu cabaran untuk bekerja ataupun  melakukan aktiviti fizikal. Namun tidak untuk Sadio Mane.

Malah sejak 1 Ramadan, Mane meningkatkan lagi ratio gol dan assistnya.

Ramadan kali ini nampaknya memberikan satu rahmat tersendiri buat Sadio Mane. Penyerang Liverpool itu kembali ke fasa terbaiknya dalam menjaringkan gol sejak memasuki bulan puasa.

Kewajiban berpuasa pada bulan Ramadan jelas sekali tidak memberikan impak langsung kepada prestasi Sadio Mane di Liverpool.

Sebaliknya, ketajaman penyerang jejaka kacak asal Senegal itu lebih ganas.

Sejak memasuki bulan puasa atau setakat 2 April, Sadio Mane secara tidak langsung telah melalui tempoh paling prolifik musim ini bersama Liverpool.

Secara keseluruhan, dia telah menjaringkan 5 gol untuk The Reds bulan ini dalam pelbagai pertandingan.

Terbaru, Sadio Mane menyumbang 1 gol dalam kemenangan 4-0 Liverpool ke atas Manchester United dalam perlawanan Liga Perdana ke-30 yang ditunda di Anfield, Selasa. Beliau turut menyumbang 1 assist luar biasa cantik kepada Mohamed Salah.

Dia memulakan Ramadan tahun ini dengan perlawanan menentang Watford yang membawa kepada kemenangan 2-0 untuk Liverpool. Mane tidak menjaringkan gol atau assist dalam perlawanan itu.

Pada aksi berdepan Benfica dalam aksi UCL, Mane menjaringkan 1 gol di Estadio Da Luz dalam kemenangan 1-3 Liverpool.

Seterusnya Sadio Mane menjaringkan gol penyamaan dalam aksi menentang Manchester City di Etihad pada saingan EPL. Di mana gol Mane itu membantu Liverpool mendapat 1 mata.

Mane tidak menjaringkan gol atau assist dalam aksi kedua berdepan Benfica. Di mana dia masuk minit ke-66 menggantikan Luis Diaz.

Masuk ke aksi separuh akhir Piala FA di Wembley. Mane menjaringkan 2 gol lagi untuk Liverpool. Salah satu daripadanya adalah menerusi satu pressing terus ke arah penjaga gol dan terus masuk.

Mane secara asasnya menjadi penjaring gol kemenangan Liverpool ataupun Matchwinner dalam separuh akhir tersebut selepas Liverpool menang 3-2 ke atas Man City yang cuba bangkit pada lewat perlawanan.

Beberapa hari kemudian, Sadio Mane kembali menggegar gawang gol kelab Manchester. Kali ini ketika menentang Manchester United di Anfield. Di mana Liverpool menang mudah 4-0 dalam perlawanan tersebut.

Sadio Mane menjaringkan 1 gol dan 1 assist kepada Mo Salah.

Jadi keseluruhannya pada April ini, Sadio Mane sudah menjaringkan 5 gol dan menyumbang 1 assist. Ianya adalah rekod jaringan terbaik Sadio Mane dalam tempoh sebulan pada musim ini.

Rekod terbaik Mane dalam kalendar sebulan adalah pada Februari 2022, September 2021 dan Ogos 2021, dengan 3 gol.

Mane masih ada 10 hari lagi pada April ini. Dan masih ada 2 lagi perlawanan iaitu derbi Merseyside menentang Everton. Dan aksi separuh akhir pertama Liga Juara Juara Eropah menentang Villarreal.

Sadio Mane membuktikan bahawa puasa bukannya satu masalah untuk pemain sepertinya beraksi di tahap tertinggi.

Sadio Mane yang sudah bertahun tahun menjalani ibadat puasa sambil bermain bola sepak profesional sudah terlalu bagus dalam menyesuaikan diri dan menjalani rutin latihan dan jadual pemakanan berbeza.

Sebelum ini terdapat kajian yang menyebut bahawa, masalah pemain yang kerap turun prestasi pada bulan puasa adalah kerana mereka tidak menjaga tidur mereka sebaiknya dan kerap tidur lewat kerana bersosial bersama kawan kawan. Selain itu, isu pemakanan tidak sihat juga kerap menjadi cabaran pada bulan puasa. Di mana ramai pemain akan mengambil makanan tradisional mereka yang selalunya bergula dan bergaram lebih.

Sadio Mane dikenali dengan disiplinnya dalam menjaga diri. Jurgen Klopp pernah menyatakan bahawa dia tidak pernah melarang pemain berpuasa dan memberikan kebebasan kepada pemain untuk menjalani ibadat spiritual mereka.