Dibeli & Dijual Dalam 1 ‘Transfer Window’ Sama, Emerson Royal Anggap Barcelona Pergunakannya

Pemain muda, Emerson Royal sangat tersakiti ketika dia dipaksa meninggalkan Barcelona pada satu jendela perpindahan yang sama dia dibeli oleh Barca.

Emerson, 22, menyertai Barca pada Jun selepas Barca membayar klausa pelepasan €9 juta, dibayar ke Real Betis.

Klausa pelepasan itu teraktif jika Emerson setuju. Dan beliau diyakinkan oleh Barca bahawa dia adalah pemain yang diperlukan pasukan tersebut.

Barca malah meletakkan klausa pelepasan €300 juta pada kontraknya untuk meyakinkan pemain itu bahawa dia adalah pemain yang diidamkan oleh Barcelona.

Barca sudah melepaskan Lionel Messi untuk mengurangkan kos operasi kelab dan kemudian mereka juga dalam proses melepaskan Griezmann.

Emerson kemudian diturunkan dalam aksi berdepan dengan Getafe.

Namun yang mengejutkan, Barcelona menyenaraikan namanya untuk dijual dan akhirnya tawaran €25 juta hadir dari London.

Barcelona memberitahunya bahawa kelab tidak memerlukan khidmatnya dan dia dalam senarai dijual.

Ketika itu, Emerson sedang berlatih, dan pegawai Barcelona berjumpa dengannya, memberitahu kelab mahu menjualnya. Emerson menyatakan dia mahu kekal di Barca, namun ternyata keputusan sudah dibuat.

“Saya ingat kelab mahukan saya terus kekal di sini. Saya malah bermula dalam aksi berdepan Getafe pada Ahad. Kemudian, keesokannya, saya mulai melihat banyak benda berlaku. Spurs bercakap dengan Barcelona, dan ianya dikatakan hampir muktamad.”

“Saya ketika itu terpinga pinga tak tahu apa apa. Kelab memanggil saya ketika saya berada di padang latihan. Ketika itu saya difahamkan bahawa mereka mahu saya pergi.”

Emerson berpendapat, krisis kewangan Barcelona membuatkan pemain sepertinya menjadi mangsa untuk diperdagangkan semata mata.

“Semua pengarah kelab di sana. Mereka memberitahu saya situasi kelab yang tidak begitu bagus. Mereka memberitahu bahawa kelab dalam kesulitan dan menegaskan bahawa, cara terbaik untuk mereka ketika itu adalah menerima tawaran itu.”

“Saya berterusan menyatakan saya mahu kekal kerana ianya impian saya untuk bermain dengan Barcelona. Saya tahu saya boleh berjaya di sana jika saya berada di prestasi terbaik.”

“Tapi saya bukanlah bodoh dan kami sampai ke tahap mereka memberitahu saya, apa sahaja terjadi, mereka tetap akan jual saya, tak kisah saya nak kekal macamana sekalipun.”

“Ketika itu saya boleh katakan bahawa saya dipergunakan, cara mereka itu sangat melukakan. Banyak lagi benda lain yang lebih baik mereka boleh buat.”

“Ketika saya menyertai mereka, mereka memberikan jaminan kepada saya bahawa mereka tak akan sesekali menjual saya.”

“Namun selepas melihat apa yang berlaku, saya sangat pasti bahawa mereka sudah merancang semua ini [membeli kemudian jual].”

Awal bulan ini, Presiden Joan Laportan menyatakan bahawa hutang kasar Barcelona meningkat sehingga €1.35 billion. Kelab cuba mengurangkan bebanan dengan melepaskan pemain seperti Messi dan Griezmann.

Pemergian Emerson sebenarnya banyak membantu Barca dari segi membawa wang masuk. Bayangkan bayar klausa pelepasan €9 juta dan kemudian jual €25 juta. Dapat untung €16 juta. Selain itu, gaji pemain juga dapat dikurangkan.

Selain Emerson, Miralem Pjanic juga menjadi pemain yang merungut dengan layanan Barcelona. Pjanic menganggap Ronald Koeman sebagai tiada rasa hormat langsung kepada pemain sepertinya.

Pjanic dipaksa menyertai kelab Besiktas di Turki secara pinjaman. Besiktas dan Barcelona sama sama membayar gaji pemain itu.

Barcelona kemudian mendapatkan Yusuf Demir dan Luuk de Jong secara pinjaman.