Diego Milito: Kisah Il Principe Di Real Zaragoza

Suatu ketika dahulu, Diego Milito pernah muncul antara penjaring gol prolifik yang pernah disaksikan oleh para peminat bola sepak Eropah.

Gelaran Il Principe diberikan kepada beliau ekoran raut wajahnya yang seiras Enzo Francescoli, seorang legenda Uruguay yang turut memakai gelaran yang sama.

Detik yang paling diingati sepanjang kariernya sudah tentu ketika aksi berkelas dunia dalam final UCL 2010 sewaktu bersama Inter Milan.

Dalam perlawanan itu, dua gol berjaya disumbangkan oleh Milito, sekaligus membenamkan cabaran Bayern Munich di Santiago Bernabeu.

Sebelum ke La Liga.

Sebelum menjadi wira bersama Inter Milan, Diego Milito beberapa tahun sebelum itu pernah memporak-perandakan pertahanan lawan di dalam saingan La Liga selama tiga musim sewaktu bersama Real Zaragoza.

Individu yang memainkan peranan dalam memujuk Diego menyertai Real Zaragoza ialah adiknya sendiri, Gabriel Milito pada tahun 2005. Sebelum itu, Diego menghabiskan dua musim di Itali, beraksi bersama Genoa di Serie B.

Kedua-dua beradik ini meninggalkan Amerika Selatan pada tahun 2003, seorang ke Itali dan seorang lagi ke Sepanyol.

Di Serie B bersama Genoa, Diego menjaringkan sejumlah 33 gol dan 59 perlawanan, membolehkan Genoa berubah dari sebuah pasukan di zon penyingkiran kepada sebuah pasukan yang bersaing untuk promosi ke Serie A.

Selepas menjuarai liga dan berjaya naik ke Serie A pada hari akhir musim 2004/05, terlibat dengan skandal pengaturan perlawanan sekaligus membawa mereka turun ke Serie C1.

Genoa terpaksa melepaskan pemain terbaik mereka berikutan hal ini, dan Diego memerlukan pasukan baru sesuai dengan taraf permainannya.

Ketika itulah adiknya iaitu Gabriel mengajak untuk menyertainya di Sepanyol. Diego menyertai Real Zaragoza dari Genoa secara pinjaman selama dua musim sebelum diikat secara tetap pada tahun 2007.

Momen di La Romareda.

Ketibaan Diego Milito di Real Zaragoza sesuai dengan waktunya. Sebelum itu, kelab telah kehilangan tonggak di bahagian serangan iaitu David Villa yang menyertai Valencia.

Ada tugas berat juga untuk Diego penuhi, menggantikan seorang pemain yang berjaya menajringkan 15 gol semusim. Bukan perkara mudah juga.

Dalam tiga perlawanan awal, Diego berjaya menjaringkan gol untuk setiap perlawanan, dengan membuka akaun jaringan semasa bertemu Osasuna, Deportivo La Coruna, dan Barcelona.

Diego melawan keraguan para penyokong untuk melihat sejauh mana kualitinya apabila beraksi di pentas tertinggi bola sepak Sepanyol.

Pada musim debutnya bersama Real Zaragoza, Diego mengakhiri musim sebagai penjaring terbanyak kelab dengan rekod 16 gol.

Ini termasuklah 4 gol yang berjaya dihasilkan ketika bertemu Real Madrid dalam aksi separuh akhir pertama Copa Del Rey 2006, di mana ketika itu juga Real Zaragoza membelasah skuad ibu kota itu dengan keputusan 6-1.

Namun begitu, Real Zaragoza tumpas di aksi final kejohanan pada tahun tersebut di tangan Espanyol.

Musim 2006/07, Diego meledak sejumlah 23 gol, menamatkan musim selaku penjaring kedua terbanyak di dalam liga dibelakang Ruud Van Nistelrooy yang lebih dua gol. Mengakhiri musim itu juga, Zaragoza berjaya menduduki tempat keenam di dalam liga.

Musim berikutnya, Real Zaragoza menyerahkan lilitan kapten kepada Diego Milito berikutan pemergian kapten Gabriel Milito yang juga adiknya ke Barcelona. Kontraknya juga dilanjutkan disertai dengan klausa pembelian sebanyak 100 juta.

Nilai tinggi yang diletakkan Real Zaragoza kepada kapten mereka ini tidak menyamai keputusan akhir yang diraih mereka pada musim tersebut. Real Zaragoza tersingkir ke Segunda Division pada musim 2007/08.

Hubungan cinta Diego Milito dan Real Zaragoza berakhir juga. Diego ada menerima beberapa tawaran dari kelab besar lain, tetapi tetap memilih untuk pulang ke pangkuan Genoa yang sudah kembali ke tanah yang dijanjikan iaitu Serie A.

Apa yang menariknya mengenai Diego sebagai seorang penyerang bukanlah semata-mata mengenai berapa jumlah gol yang berjaya dijaringkan. Perkara yang diingati adalah kemampuannya dalam membunuh lawan, dengan kaki kanan, kaki kiri, sentuhan mudah, percubaan jarak jauh, tandukan, penalti. Pendek kata, jaringannya hadir dalam berbagai bentuk dan cara.

Penutup.

Tiga musim bersama Real Zaragoza, Diego Milito tampil dalam 108 perlawanan dan menyumbangkan sejumlah 61 gol.

Penampilan buat kali keduanya bersama Genoa tidak lama, sebelum Inter Milan di bawah kendalian Jose Mourinho mendatangkan tawaran besar untuk membawanya ke San Siro.

Musim pertama yang sangat manis di sana apabila Inter Milan juga memenangi treble dan Diego memainkan peranan utama yang sangat penting.

Pada tahun 2014, Diego pulang ke Argentina untuk menyertai kelab pertamanya iaitu Racing Club. Dari sebuah pasukan yang berhadapan dengan penyingkiran, Diego menunjukkan magisnya, membawa mereka menjuarai liga dan layak ke Copa Libertadores dalam masa 6 bulan.

Dua tahun kemudian, Diego memilih untuk menggantung but, menutup kariernya yang berwarna warni di tempat kelahiran.

Apabila berbual mengenai seorang penyerang terkemuka dunia, Diego Milito mungkin bukan nama yang akan disebut secara spontan.

Tetapi jika bertanya kepada mana-mana penyokong Racing Club, Genoa, Real Zaragoza, dan Inter Milan, nama Diego Milito sudah tentu akan diingati dan diangkat sebagai wira.

Secara keseluruhannya, 254 gol berjaya dicetak Diego Milito dalam 607 penampilan ketika beraksi dalam karier kelab profesional.

Rujukan:

Brotherton, A. (2021, May 30). Diego Milito: Prince of Zaragoza. Retrieved August 24, 2022, from https://www.laligalowdown.com/post/diego-milito-prince-of-zaragoza

Selini, D. (2016, June 21). Celebrating Diego Milito – a workaholic, a late bloomer and a goalscorer. Retrieved August 24, 2022, from https://runningtheshowblog.wordpress.com/2016/06/12/celebrating-diego-milito-a-workaholic-a-late-bloomer-and-a-goalscorer/

Baca yang lain

Xavi Nekad Tinggalkan Barca

Xavi Hernandez menyatakan bahawa dia sudah nekad mahu meninggalkan Barcelona pada akhir musim ini. Xavi beberapa bulan lalu mengesahkan dia sudah mencapai