Dikecam Netizen, ADUN Bota Nafi Potong ‘Queue’ Dan Salah Guna Kuasa Politik

Semalam peminat bola sepak tanah air dikejutkan dengan tindakan seorang ahli politik yang menawarkan jersi dengan harga diskaun, ketika beribu ribu lagi berusaha menembusi sistem pembelian atas talian.

Peminat bola sepak terutama sekali penyokong Perak sangat marah dengan situasi tersebut. Jika sebelum ini, ahli politik seringkali menggunakan status mereka untuk merembat tiket final, kali ini ianya berubah menjadi merembat jersi rasmi pasukan untuk edisi cetakan awal.

Sedar akan dirinya menjadi sasaran kritikan warga maya, Ahli Lembaga Pengarah Perak FC Khairul Shahril Mohamed menafikan beliau “memotong barisan” untuk mendapatkan jersi baharu pasukan Perak.

Namun beliau menegaskan bahawa, jersi 1,000 helai itu sudah ditempah lebih awal, sama seperti peminat Perak yang lain.

Seterusnya beliau juga menegaskan bahawa diskaun 20% adalah daripada beliau sendiri secara peribadi dan bukannya daripada pengeluar.

Dalam hebahannya, Khairul menawarkan harga diskaun 20 peratus kepada pengundi di kawasan Parlimen Parit untuk 1,000 helai pertama.

Bercakap kepada Bernama Khairul Shahril berkata: ‘Tiada stok jersi pada saya dan saya membuat tawaran itu untuk memeriahkan lagi penjualan jersi ini dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, saya tidak mengambil hak peminat dengan menggunakan kapasiti saya,” kata beliau kepada BERNAMA.

“Diskaun 20 peratus itu bukan daripada pembekal Kaki Jersi kerana saya beli pada harga asal iaitu RM99 sehelai namun saya bed potongan harga kepada mereka menggunakan sumber saya sendiri,” katanya.

Khairul Shahril yang juga Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak turut meminta maaf kepada peminat Perak FC atas salah faham itu.

“Bukan saya suruh mengundi saya tetapi hanya daftar sebagai pengundi untuk mendapat hak mengundi dan kemudian terpulang mahu undi siapa nanti.”

“Memang saya menjalankan kempen daftar pemilih pada setiap tahun namun terima kasih atas peringatan ini supaya saya tidak melakukan kesilapan jadi saya ambil perkara ini dalam konteks yang positif,” katanya.

Sementara itu, Khairul Shahril juga menyatakan bahawa hampir 5,000 tempahan jersi pasukan tersebut telah diterima dalam tempoh empat jam selepas pelancarannya pada 12 tengah hari semalam. Dan beliau mahu Kaki Jersi meningkatkan pengeluaran.

— BERNAMA

Baca yang lain