Dikeronyok City 7-0, Bielsa: “Bukan Kerana City Main Terlalu Bagus, Tetapi Kerana Kami Terlalu Teruk”

Leeds United nampaknya terus melalui musim yang sukar pada musim ini berbanding musim debut kepulangan mereka sebelum ini.

Skuad bimbingan Marcelo Bielsa berkunjung ke Etihad untuk aksi pertengahan minggu dalam Liga Perdana Inggeris. Malangnya ia bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka dibelasah skuad Guardiola dengan kedudukan 7-0.

City bermula garang dengan mencetak gol pertama menerusi Phil Foden pada minit ke-8. Seterusnya Jack Grealish melegakan sedikit tekanan di bahunya dengan gol kedua untuk City pada minit ke-13.

Pemain itu mulai menerima kritikan selepas gagal menjaringkan lebih banyak gol dengan harga GBP100 juta dibayar untuknya.

City tidak terhenti di situ, bintang tengah mereka Kevin De Bruyne menjaringkan gol ketiga pada minit ke-32. Dan separuh masa pertama berakhir dengan skor 3-0.

Pada separuh masa kedua, City lebih kejam dan tiada belas kasihan kepada Leeds. Di mana pasukan biru Manchester itu menambah 4 lagi gol.

Riyad Mahrez menjaringkan gol keempat City hanya selepas 4 minit perlawanan disambung semula.

Pemain yang mirip Brock Lesnar waktu kurus, Kevin De Bruyne menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-62.

Dua lagi gol lewat perlawanan City dijaringkan oleh pertahanan iaitu John Stones dan Nathan Ake.

Kemenangan ini membolehkan Manchester City terus menjamin kedudukan mereka di tangga teratas walau apa yang berlaku dalam aksi Liverpool.

Ini selepas City melebarkan jurang mata kepada 4 mata di tangga teratas.

Bielsa: Ini aksi kami paling barai

Selepas tamat perlawanan Marcelo Bielsa menegaskan tiada satu pun benda positif daripada perlawanan ini untuk Leeds. Dan beliau menyatakan bahawa kekalahan ini lebih kepada betapa teruknya aksi mereka berbanding dengan betapa bagusnya Manchester City.

Malah beliau melabel ini adalah aksi terburuk Leeds sejak beliau mengambil alih pasukan yang berpangkalan di Elland Road itu pada 2018.

Bielsa berkata: “Tiada benda positif yang kita dapat daripada perlawanan ini. Saya tak boleh mencari mana mana perkara yang kita boleh hargai.”

“Kesannya, ini adalah perkara yang akan berlaku semulajadinya kalau semua perkara gagal dilaksanakan dengan betul. Ini bukan kegagalan individu, tetapi kegagalan secara transisi dan organisasi.”

“Saya tidak ada penilaian untuk saya berikan kepada kamu. Perlawanan ini berlaku seperti mana yang kita jangkakan. Kita sudah bersedia segalanya untuk mengelakkan apa yang berlaku hari ini, dan itulah yang akan berlaku apabila kita langsung gagal mendapatkan apa apa daripada perlawanan ini.”

“Masalah berlaku di semua peringkat. Semua penyelesaian yang kita lakukan tidak cukup dan bukannya kerana City terlalu bagus hari ini, ini lebih kepada betapa buruknya kita bermain berbanding betapa bagusnya City bermain.”

“Manchester City bermain seperti ini sepanjang masa, dan sama sahaja. Namun inilah aksi paling teruk kita dalam 4 tahun ini.”

Baca yang lain