Dilabel ‘Kamu Sekadar Pogba Arsenal’, Ozil Tenang Tembak Balik Piers Morgan

Mesut Ozil telah diserang oleh Piers Morgan di Twitter.

Entah kenapa Piers Morgan menyatakan sakit hatinya kepada Ozil. Pemain itu hanya memuat naik status menzahirkan rasa syukur di atas sokongan yang kuat diberikan peminat kepadanya.

Ozil berhadapan dengan masa masa yang sukar di dalam kariernya. Namanya disisihkan daripada Liga Perdana Inggeris dan skuad Liga Europa Arsenal.

Walaupun jelas tak mendapat sokongan daripada pengurusan, namun Ozil tetap mendapat sokongan yang kuat daripada penyokong Arsenal.

Ozil menyatakan: “Perasaan dia apabila memiliki penyokong yang menyokong kamu dari belakang…”

Ia diikuti tanda pagar: Bersyukur, penyokong terbaik, detik sukar.

Kenyataan itu telah dibalas balik oleh Piers Morgan yang memperlekehkan penyokong Arsenal yang menyokong Mesut Ozil.

Menurut Piers Morgan, penyokong sejati ataupun penyokong sebenar pasukan Arsenal tidak akan menyokong Mesut Ozil.

“Penyokong sejati Arsenal tidak akan berada di belakang kamu.”

“Kamu hanyalah Paul Pogba kami – gaji terlampau tinggi, terlampau tak perform & secara mengejutkan perasan diri kamu terlalu penting.”

Diikuti dengan tanda pagar hakikat.

Mesut Ozil kemudian dengan tenang membalas semula kenyataan berbaur emosional daripada Piers Morgan.

Ozil berkata: “Piers, sahabat, kamu masih sakit hati kerana hati tu?.”

“Nampak gayanya kamu tak minat dengan juara dunia [diselit bendera Jerman, Perancis, Piala – merujuk kepada Ozil dan Pogba adalah juara dunia].”

“Saya harap kamu lihat sendiri, sepertimana kamu mendengar sesuatu.”

Ozil terus kekal walau apa berlaku

Arsenal sebelum ini cuba menjual ataupun meminjamkan Ozil keluar, namun isu gaji terlalu tinggi membuatkan tiada pasukan yang sanggup membayarnya.

Mesut Ozil pula enggan untuk menerima pemotongan gaji di tempat lain. Bahkan Ozil antara salah seorang daripada beberapa pemain Arsenal yang enggan menerima pemotongan gaji oleh kelab ketika krisis kesihatan dunia.

Alasan Ozil adalah dia tidak jelas ke mana wang itu akan pergi.

Walaupun banyak tekanan dihadapinya di Arsenal, Mesut Ozil memutuskan untuk terus kekal dan mencabar tempatnya dalam pasukan Arsenal.

Tetapi Arsenal membuat kejutan apabila sanggup membiarkan pemain bergaji tertinggi dengan £350k seminggu itu tidak didaftarkan.

Alasannya kerana Arteta menyatakan Ozil tidak cukup meyakinkannya. Arteta tidak mahu peminat menyalahkan pemilik kelab. Kerana menurutnya, keputusan itu adalah di tangannya.

Bagi peminat Arsenal itu bukan alasan yang boleh diterima. Kerana Arsenal jelas bergelut dengan kreativiti.

Arsenal mendapat kritikan ramai pihak di atas layanan mereka ke atas Ozil. Peminat merasakan ianya agak keterlaluan kerana Ozil adalah pemain senior dalam skuad Arsenal.

Sebelum ini ejen kepada Mesut Ozil menyelar layanan Arteta kepada Ozil yang menurutnya sebagai menindas dan kejam.

Dr Erkut Sogut [ejen Ozi] menegaskan bahawa peminat Arsenal perlukan penjelasan sebenar. Erkut berkata:

“Peminat Arsenal berhak mendapat penjelasan yang jujur, bukan [Arteta] yang mengatakan ‘Saya gagal dekat Ozil.’ Anda tidak gagal pada Ozil: anda gagal bersikap adil, jujur dan telus dan memperlakukan seseorang yang dengan hormat yang mempunyai kontrak dan setia sepanjang masa”

Ozil menyertai Arsenal pada 2013 dengan rekod perpindahan kelab ketika itu £42.5 juta.

Ozil menikmati karier yang terus indah di England di bawah kendalian Wenger. Namun sekarang Ozil hanyalah pemain yang digantung tak bertali oleh Arsenal.

Pemain dengan gaji tertinggi kelab itu tidak didaftarkan dalam pasukan utama untuk dua pertandingan utama Arsenal sertai iaitu Liga Perdana Inggeris dan juga Liga Europa.

Arteta baru baru ini menyatakan beliau akan terus memberikan Ozil peluang sama seperti pemain lain. Pada masa yang sama Arteta mempertahankan tindakannya dengan menyatakan dia menyisihkan Ozil atas alasan bola sepak.

“Apa yang dapat saya katakan adalah bahawa saya telah mencuba yang terbaik, saya berusaha memberinya peluang sebanyak mungkin.”

“Dan dari pihak saya sendiri, saya telah bersabar, memberinya peluang dan bersikap adil.”

“Dia pemain milik kelab bola sepak ini, dia telah menjadi pemain yang sangat penting dalam beberapa musim terakhir.”

“Saya harus menghormatinya, saya di sini untuk membuat keputusan, keputusan terbaik untuk pasukan dan kelab, “kata Arteta kepada Sky Sports minggu ini.

Mesut Ozil mungkin tidak dapat bermain untuk Arsenal, pemain antarabangsa Jerman itu menunjukkan bahawa dia tetap bangkit dengan meletakkan video di Instagramnya di gimnasium.

Video itu disertakan dengan kapsyen: “Perjuangan sukar di sepanjang jalan hanyalah bertujuan untuk membentuk diri kamu untuk menuju matlamat kamu.”

Ozil jelas sekali menyindir Arteta tentang apa yang sedang berlaku pada dirinya kini. Walaupun disisihkan Ozil terus berlatih dan cuba memenangi hati pengurus dan bekas rakan sepasukannya itu.

Arteta sebelum ini menyatakan Mesut Ozil tidak memuaskan hatinya dari segi kualitinya di pusat latihan. Dan membuatkannya terpaksa menyisihkan Ozil.