Dilahirkan Tanpa Tangan Tidak Menghalang Ikram Untuk Handal Bermain Snooker

Apabila berbicara tentang permainan snooker, ada beberapa element penting yang perlu diutamakan untuk memulakan permainan tersebut.

Pemilihan kayu, pemilihan bola yang hendak dipukul, mencari sudut yang tepat, posisi yang tepat dan kekuatan hayunan yang diperlukan untuk memastikan bola sasaran masuk ke lubang yang betul.

Tetapi ianya tidak untuk Mohammad Ikram yang memulakan karier profesionalnya sebagai pemain snooker dengan ketiadaan element pertama, iaitu kayu pemukul.

Dilahirkan dengan kekurangan upaya yang mana beliau tidak mempunyai tangan, pemuda kelahiran Pakistan itu telah menceburi dunia snooker sejak berusia 10 tahun lagi.

Permainan tersebut sangat menarik minatnya dan Ikram mahu bermain snooker secara profesional. Namun oleh kerana kekurangan yang beliau miliki, ianya seperti satu hal yang sukar untuknya.

Walau bagaimanapun, Ikram mampu untuk merealisasikan impiannya untuk menjadi pemain snooker profesional dengan menggunakan cara yang sungguh unik.

Beliau melakukan kesemua teknik yang dilakukan oleh para pemain snooker profesional yang lain, kecuali memukul bola menggunakan kayu.

Ikram terpaksa menggunakan teknik khusus untuk memukul bola sasaran dengan cara menggunakan kekuatan mulut dan dagunya.

“Tuhan tidak memberikan saya tangan, tapi Dia memberikan saya keberanian dan saya perlu menggunakan kelebihan tersebut untuk memenuhi cita-cita saya.”

Jelas Ikram.

“Kebanyakkan orang tidak percaya bahawa saya boleh bermain hanya dengan menggunakan dagu saya. Tetapi mereka semua perlahan-lahan mula mengagumi teknik saya ketika saya mula melakukannya.”

Jelasnya lagi.

Mohammad Ikram kini aktif bermain snooker di bawah kendalian sebuah kelab yang dimiliki oleh Mohammad Nadeem di Pakistan.

Nadeem telah memilih Ikram untuk menjadi salah seorang pemain snooker untuk kelabnya kerana beliau sangat kagum dengan semangat dan teknik yang digunakan olehnya.

“Ketika pertama kali dia memukul bola sasaran menggunakan dagunya, saya berasa sangat teruja, ianya kerana hasil yang saya lihat sama saja dengan mana-mana pemain snooker lain yang bermain dengan menggunakan kayu.”

Kehebatan Ikram disedari oleh media di Pakistan dan berita tentang kehebatannya tersebar ke seluruh negara.

Yang pastinya, ibu dan bapa kepada Mohammad Ikram sangat berbangga dengan kejayaan yang telah beliau capai hasil usahanya itu.

Ikram yang kini berusia 32 tahun itu sering berkelana ke pelbagai tempat untuk menyertai pertandingan snooker tempatan di Pakistan.

Beliau dilaporkan telah berjaya memenangi tiga kejuaraan dari pertandingan snooker tempatan dan jelas beliau tidak mahu berhenti setakat di situ sahaja.

“Saya sudah bertemu dengan ramai pemain snooker yang handal, dan mereka memberitahu saya bahawa saya seorang yang sangat bijak. Mereka juga menyatakan bahawa saya mampu untuk mengharumkan nama Pakistan.”

“Saya berharap satu hari nanti saya dapat bermain di pentas lebih besar dan bermain dihadapan ramai peminat.”

Acara Snooker sebelum ini pernah dipertandingkan sebanyak dua kali di pentas Paralympic, namun ianya telah dihentikan sejak dari tahun 1988.

Semoga ada peluang untuk Ikram beraksi di pentas lebih besar selepas ini, mungkin penganjur kejohanan Paralympic boleh menyenaraikan semula acara snooker ke dalam pertandingan tersebut di masa mendatang.