Dilarang ‘Swap’ Baju Dengan Marine, Spurs Hantar Terus Sekotak Jersi

FA Inggeris mengeluarkan protokol baharu di mana para pemain dilarang bertukar tukar jersi selepas tamat aksi.

Peningkatan wabak covid-19 di England telah membuatkan satu SOP baharu dikeluarkan. Jadi, ianya pasti hari yang agak mengecewakan pemain pemain Marine.

Mana tidaknya, hari itu adalah hari bersejarah di mana pasukan divisyen kelapan berdepan dengan pasukan Liga Perdana Inggeris dalam saingan Piala FA.

Menjadikannya jurang terbesar dalam piala FA di dalam sejarah. Spurs menang 5-0 dalam aksi tersebut. Hatrik daripada Carlos Vinicius serta gol daripada Lucas Moura dan juga Alfie Devine.

Selepas tamat perlawanan kedua dua pasukan terus keluar dan tidak ada sesi bertukar jersi. Kehadiran Spurs ke kelab mereka sangat ditunggu kerana Spurs adalah pasukan yang terkenal.

Oleh kerana larangan untuk bertukar tukar jersi maka Spurs mengambil inisiatif dengan mengirimkan satu set jersi baharu kepada kesemua pemain Marine.

Ianya sebagai langkah untuk mengingati hari perlawanan yang bersejarah untuk kelab kerdil yang berpangkalan di Merseyside itu.

Tindakan Spurs itu mendapat pujian daripada ramai pihak. Kerana mereka ternyata menghormati lawan mereka. Sebelum ini pengurus Spurs, Jose Mourinho menyatakan bahawa beliau tidak kisah Liverpool membantu Marine dalam analisis video.

Ini kerana kelab kecil seperti Marine seharusnya dibantu kerana mereka memiliki kewangan yang terhad.

Jose Mourinho telah diminta untuk memberikan pandangannya tentang tindakan Liverpool membantu Marine dalam analisis pra perlawanan, menjelang aksi Piala FA menentang Tottenham.

Liverpool difahamkan telah menghantar sejumlah klip analisis kepada Marine yang berkaitan dengan Spurs. Ketika ditanya wartawan tentang perkara itu Jose Mourinho menganggap perkara itu sebagai sangat normal di dalam bola sepak. Dan tidak ada yang pelik.

Mungkin bagi wartawan di England perkara itu adalah pelik. Namun tidak bagi Mourinho.

Marine merupakan sebuah kelab kecil yang turut berpangkalan di Merseyside. Pengurus Marine, Neil Young telah mendedahkan bahawa Liverpool memberikannya analisis video mengenai pesaing mereka, Tottenham. Namun, Mourinho tidak kisah.

“Liverpool membantu Marine menurut saya adalah perkara biasa,” kata Mourinho dalam sidang media sebelum perlawanan.

“Anda tahu mereka berjiran dan saya cukup yakin ada hubungan emosi antara mereka.”

“Sekiranya Liverpool memberi mereka analisis dari kami dan akses ke rakaman yang tidak mereka miliki [Marine tak ada], saya rasa itu sangat normal.”

Memang tiada salahnya kelab besar membantu kelab lebih kecil. Malah sebelum ini banyak kelab yang berada dalam piramid liga yang sama, saling membantu.

Itulah maknanya hidup dalam liga yang sama. Rasa saling menghormati / mutual respect itu harus dipelihara.

Liverpool merasakan Marine memerlukan bantuan dari segi persiapan berdepan pasukan Liga Perdana Inggeris. Jelas sekali pasukan Marine tiada kemampuan untuk mewujudkan pasukan analisis yang lengkap dengan perisian dan teknologi yang mahal.

Mereka sedang mempersiapkan diri berdepan dengan pasukan di liga teratas. Jadi analisis video sangat penting. Pada pandangan Mourinho ia bukan masalah. Kerana setiap pasukan berhak menganalisis pasukan lawan mereka walaupun apa cara sekalipun.

Bukan itu sahaja, penyokong Spurs sendiri membeli tiket atas talian, untuk membantu kelab kecil tersebut menjana pendapatan mereka. Pengerusi kelab mereka mengucapkan terima kasih kepada penyokong Spurs.

Sebelum ini Marine menyatakan bahawa kelab mereka terpaksa terlepas peluang menjana keutungan sekitar £100,000 kerana perlawanan akan dilangsungkan tanpa penyokong. Marine menerima £75,000 daripada badan penyiar BBC.

Namun penyokong Marine dan Spurs memutuskan untuk membeli tiket. Bagi mereka yang sudah membeli tiket awal, mereka tidah mahu wang mereka dikembalikan.

Baca yang lain