Dilema Atlet Olimpik Korea Utara, Hanya Pemenang Emas Digelar Wira, Dilarang Berinteraksi Dengan Atlet Lain

Sukan banyak melahirkan hero dengan cara tersendiri. Ada atlet dijulang sebagai hero negara walaupun mereka menamatkan saingan di tangga terakhir sekalipun.

Dalam Sukan Olimpik Rio, kita tetap meraikan atlet kita dengan sambutan wira dan wirawati walaupun mereka hanya mampu membawa balik pingat perak.’

Tetapi, bagi seorang atlet Korea Utara, jika atlet gagal memenangi emas, mereka tidak layak digelar hero meskipun menang perak di Sukan Olimpik.

Dalam satu temuramah selepas acara angkat berat, wartawan melabel Om Yun Chol sebagai hero negaranya dengan kejayaan memenangi emas. Cepat-cepat Om memperbetulkan wartawan tersebut:

“Jangan panggil saya hero! Saya bukan hero untuk negara saya Korea Utara kerana saya telah gagal memenangi emas. Saya hanya mampu menang perak.”

Ada juga atlet berhadapan dengan risiko dibuang negara ataupun dipenjara jika mengecewakan presiden mereka. Ada beberapa atlet dipenjara hanya kerana bergambar dengan atlet Korea Selatan.

Korea Utara dikenali dengan negara yang mengasingkan diri mereka daripada dunia luar. Globalisasi? Apa itu?

Mereka ada talian internet namun hanya beberapa laman sahaja yang bolehh diakses seperti laman untuk menempah penerbangan, hotel, portal kerajaan dan beberapa portal lain.

Dilaporkan hanya 28 laman internet sahaja yang boleh anda akses di Korea Utara.

Walaupun negara mereka memencilkan diri, namun dalam bidang sukan mereka telah menyertai Olimpik sejak 1972 dan hanya memboikot 2 olimpik sahaja iaitu pada 1984 di Los Angeles dan 1988 di Korea Selatan.

Terasing

Korea Utara ada 49 pingat Olimpik di dalam kabinet mereka dan sukan angkat berat serta gusti adalah yang paling berjaya.

Selalunya tiada siaran langsung untuk sukan olimpik kerana mereka sangat teliti dalam menapis konten yang mahu dipertotonkan kepada penonton mereka.

Berdasarkan laporan Washington Post, pada 2012, mereka hanya disajikan dengan rangkuman (highlight) tentang atlet mereka terutama sekali yang berjaya memenangi pingat.

Dilaporkan juga, ada beberapa acara dihebahkan sebagai siaran langsung, namun ianya sebenarnya siaran tertunda kerana ia lambat sekitar 40 minit sehingga sejam daripada siaran langsung sebenar. Semua footage di tv mereka perlu ditapis dahulu, terutama sekali melibatkan atlet Korea Selatan.

Atlet mereka yang berkunjung ke negara lain semasa sukan Olimpik akan dikawal sangat ketat kerana tidak mahu mereka melarikan diri dan cuba menggunakan media untuk menceritakan situasi di negara mereka.

Atlet dilarang untuk keluar daripada kumpulan mereka. Apatah lagi mahu berjalan-jalan keluar daripada hotel untuk bergambar kenang-kenangan.

Mereka juga dilarang berinteraksi dengan atlet lain, kerana mahu mengelakkan atlet ini akan menceritakan keburukan tentang negara mereka.

Anda tidak akan berjumpa dengan atlet ataupun pegawai mereka berkeliaran di lobi beramah mesra dengan atlet negara lain.

Dilaporkan juga, dalam temasya Olimpik 2016, semua atlet diberikan buah tangan khas daripada penaja berupa telefon pintar Samsung Galaxy 7.

Atlet Korea Utara dilarang untuk menuntut barang tajaan itu kerana sentimen Samsung yang berasal dari Korea Selatan.

Seorang atlet mereka memberitahu di negara mereka, mereka ada telefon pintar yang jauh lebih baik daripada Samsung Galaxy 7 (yang pada 2016 peranti flagship Samsung).

Melarikan Diri!

Jika anda pernah menonton drama Crash Landing On You, salah satu cara digunakan oleh orang Korea Utara untuk keluar dari negara mereka adalah dengan menyertai delegasi atlet ke luar negara. Namun ianya pasti tak semudah yang disangka.

Dikatakan, hampir setiap kali temasya olimpik, ada beberapa atlet mereka hilang melarikan diri. Hampir 45 orang pemain bola sepak mereka melarikan diri dan enggan pulang ke Korea Utara selepas mereka keluar bermain di negara lain sama ada untuk kelab dan pasukan kebangsaan.

Jadi, apa yang digambarkan dalam drama Crash Landing On You, di mana cubaan untuk mengeluarkan watak utama dari Korea Utara menggunakan jelajah atlet adalah tepat.

Begitu juga, pada 2012, ada ramai atlet mereka melarikan diri ketika Sukan Olimpik London. Namun ramai atlet tidak mampu berbuat demikian kerana memikirkan keselamatan keluarga mereka di Korea Utara.

Mereka tetap seperti atlet lain, berjuang mati-matian demi negara mereka di gelanggang. Mereka yang menang emas akan dijulang sebagai wira di negara mereka. Dan mereka boleh duduk bersama dengan Pemimpin Agung (Supreme Leader) mereka di satu majlis.

Korea Utara juga memiliki peruntukan yang besar untuk sukan. Mereka memperbaiki infrastruktur dan pembangunan yang lain.

Sebab itu, kalau atlet mereka melanggar peraturan yang ditetapkan ataupun tidak menepati harapan daripada pihak pemerintah, mereka dalam bahaya.

Ini termasuk hukuman berat yang turut melibatkan keluarga mereka.

Atlet Mereka Sama Seperti Yang Lain

Atlet mereka kadangkala mempersetankan arahan untuk tidak berinteraksi dengan atlet lain terutama sekali Korea Selatan.

Dalam temasya Olimpik Rio 2016, Hong Un Jong dari Korea Utara telah bergambar mesra dengan atltet Korea Selatan Lee Eun-ju.

Mereka juga bergambar sekali lagi selepas tamat acara. Menanggap bahawa mereka adalah saudara.

Mereka bercakap-cakap dalam bahasa yang sama dan perlakuan 2 atlet ini telah menyentuh hati ramai pihak. Mereka bangsa yang sama, namun terpisah kerana perbalahan politik.

Kadangkala sekeping gambar lebih kuat maknanya berbanding kata kata.

Gambar di antara Hong Un Jong dan Lee Eun Ju yang viral ke seluruh dunia itu telah membuka pintu penting kepada semangat kemanusiaan di antara kedua dua negara.

Di mana semakin ramai rakyat Korea Selatan dan Korea Utara mulai berinteraksi dengan satu sama lain, sama ada secara senyap senyap ataupun ketika mereka berada di perantauan bersama sama.

Foto tersebut juga menjadi kuasa yang sangat kuat pada ketika itu. Bagaimana generasi baru pada hari ini lebih berani untuk tidak peduli dengan semangat isolasi daripada Korea Utara.

Walau siapa pun mereka, mereka tetap manusia biasa yang mahu berkawan dengan masyarakat dari negara lain. Sudah banyak kali gambar atlet Korea Utara bersalaman dengan atlet Korea Selatan. Semua itu berlaku spontan.

Itulah buktinya, kadangkala kuasa pemerintah yang mahu mengasingkan mereka tetap tidak mampu mengatasi semangat muhibah dan semangat kesukanan sejagat dengan atlet lain.

Rujukan

Washington Post

Daily Express