Dinamo Bucharest Suspek Bekas Pemain Barcelona Ini Suruh Adik Dia Bermain Gantikannya

Ada banyak perkara gila dalam bola sepak ini yang kadangkala tidak masuk akal. Terbaru, Dinamo Bucharest mengesyaki bekas pemain akademi Barcelona Edgar Ie telah mengarahkan adik kembarnya bermain menggantikannya.

Edgar terkejut apabila kelab melakukan siasatan ke atasnya. Kerana dia dituduh telah melanggar kontrak, tidak mahu bermain malah menyuruh adik kembarnya pula bermain.

Dinamo Bucharest yang mendapatkan pemain itu pada Februari tidak berpuas hati dengan prestasi Edgar. Lantas mereka mengesyaki ada perkara yang tak kena.

Adik kembarnya, Edelino, kedua duanya bermain untuk akademi elit Sporting. Kemudian Edgar menyertai Barcelona pada 2012. Dia meluangkan masa 3 musim di Barca. Namun bermain hanya untuk pasukan B. Dia hanya bermain sekali untuk pasukan utama.

Pemain berusia 30 tahun itu sudah bermain untuk kelab seperti Belenenses, Lille, Trabzonspor dan Feyenoord sebelum menyertai Istanbul Basaksehir. Dia kemudian ditamatkan kontrak oleh kelab itu.

Bergelar ejen bebas membuatkan dia ditandatangani secara percuma oleh Dinamo Bucharest pada Februari.

Namun kelab itu tidak berpuas hati dengan prestasinya. Ketika ini kelab mereka bergelut dengan zon penyingkiran. Oleh sebab itu, pegawai kelab itu mengesyaki bahawa selama ini yang bermain untuk mereka adalah adiknya, Edelino.

Kelab itu mengakui mereka masih tidak dapat membezakan identiti kedua dua pemain tersebut.

Seterusnya, mereka mendapati pemain yang berada di kelab mereka itu tidak pandai berbahasa Inggeris, cuma bercakap Portugis. Sedangkan selama ini dia bermain di liga beberapa negara berbeza, dan dipercayai, boleh bercakap bahasa Inggeris untuk asas komunikasi.

Kembar kepada Edgar Ie iaitu Edelino pula hanya bermain di liga bawahan Portugal. Selain itu, ketika tiba di Bucharest, pemain itu menolak untuk menunjukkan lesen memandunya kepada kelab.

Kelab akan mengambil tindakan perundangan jika Edgar gagal membuktikan dirinya sebagai Edgar yang sebenar.

Edgar benar benar kecewa dengan perkara tersebut. Dia menyatakan: “Ianya adalah sesuatu yang saya tak akan pernah lakukan, atau terfikir untuk lakukan.”

Edgar kini turut mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ke atas kelab kerana telah mencemarkan imej dan reputasinya.