Dinasihat Jangan Hisap Gam, Faizal Anggap la Nasihat Yang Baik

Ultras Malaya memberikan sindiran yang akan diingati oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tampil dengan kenyataan kontroversi.

Faizal dengan peliknya menyalahkan penyokong sebagai punca Malaysia kalah di tangan Bahrain.

Menurutnya Faizal Malaysia melepaskan 2 bolos, selepas mendahului, kerana sorakan penyokong terlalu kuat dan membuatkan pemain pemain Harimau Malaya di atas padang mulai hilang tumpuan.

Dipetik daripada Harian Metro, Faizal berkata: “Seingat saya sejurus jaringan pertama kelihatan beberapa kelibat pemain di luar padang antaranya Guilherme De Paula akan dimasukkan ketika itu yang menyebabkan seluruh stadium bersorak.”

“Sorakan sedemikian menyebabkan pemain hilang fokus, sekali gus skuad kita terlepas daripada menjaringkan gol.”

Ultras Malaya benar benar bengang dengan kenyataan dianggap bodoh tersebut.

Faizal kemudian meminta maaf di atas kesilapannya. Dia berkata: Dalam tweet ringkasnya, Faizal Azumu berkata: “Sorakan dan sokongan para penyokong sebagai pemain ke-12 amat penting dan amat dihargai.”

“Bila dah kena balun, saya pun pening.”

“Cakap cakap bola saya sebelum ini telah disalah erti. Ampun dan maaf atas kesilapan saya.”

Namun Ultras tetap ada tifo Khas buat Faizal Azumu. Mereka menyindir menteri tersebut dengan tifo nasihat sinis : ” Peja [ Faizal Azumu ] jangan sap [hisap] gam.”

Faizal Azumu sedar akan tifo tersebut yang banyak dikongsikan di media sosial. Lalu dia berkata: “Nasihat yang amat baik kepada saya dan kepada semua!! Terima kasih!! Semoga Allah berkati segala kebaikan kita.”

Faizal juga mengakui bahawa kehadiran penyokong yang memberikan sokongan padu terbukti memberikan impak yang sangat positif.

Faizal berkata: “Alhamdulillah! Syabas skuad Harimau Malaya yang berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 setelah menewaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia 2023.”

“Terima Kasih pemain ke-12! Kehadiran para penyokong memberikan sokongan padu kepada Skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam ini cukup jelas memberi impak dalam menyuntik semangat kepada pemain-pemain negara.”

“Sorakan tampa henti Ultras Malaya memeriahkan suasana di stadium dan telah berjaya meniup semangat para pemain untuk beraksi dengan cemerlang! Teruskan sokongan padu anda!”

Malaysia 4 Bangladesh 1: Harimau Malaya Ke Piala Asia! Tamatkan Penantian Panjang!

Malaysia bertemu dengan Bangladesh dalam aksi ketiga kelayakan Piala Asia 2023 – bagi aksi kumpulan E. Malaysia berusaha untuk layak ke Piala Asia secara merit dan memerlukan keputusan positif daripada perlawanan yang dianggap winnable.

Kim Pan Gon membuat perubahan pada posisi penjaga gol dengan menurunkan Syihan Hazmi menggantikan Farizal Marlias.

Bermula dari wisel permulaan, Malaysia terus beraksi dengan tempo tinggi. Pada minit ke-4 Corbin Ong melakukan tandukan yang tersasar.

2 minit kemudian, Corbin Ong yang memberikan ancaman dari awal, telah melakukan hantaran. Berlaku pergelutan ketika Bangladesh cuba mengeluarkan bola. Dan Syafiq Ahmad mendapat peluang keemasan. Leretan Syafiq Ahmad yang disilangkannya telah terkena tiang.

Pada minit ke-11, Faisal Halim mengangkat bola ke dalam kotak penalti, Safawi cuba melakukan aksi spektakular dan melibas bola. Malangnya bola tersasar sedikit.

Pada ke-15 Bangladesh bermain dengan apa, apabila mereka cuba bermain ‘bola sepak mahal’ dengan bertukar hantaran dalam kotak penalti.

Matthew Davies yang melakukan tekanan berkesan telah diterjah Atiqur Rahman Farhad dan memenangi penalti.

Penyerang sensasi, Safawi Rasid langsung tiada masalah menewaskan penjaga gol untuk menjadikan kedudukan  1-0.

Selepas bersambung, Safawi melakukan satu percubaan jarak dekat namun diselamatkan penjaga gol. Davies melakukan half volley susulan yang sedikit tersasar.

Bangladesh kemudian mengejutkan Malaysia apabila membalas gol Safawi Rasid pada minit ke-31, menerusi Mohammad Ibrahim yang belari masuk ke dalam kotak penalti, tanpa dikawal mana mana pemain.

Bangladesh ternyata memberikan ancaman menerusi lontaran ke dalam Bishawanath Ghosh.

Tersentak dengan gol itu, Dion Cools dan Safawi Rasid masing masing cuba mencari gol kedua. Safawi menerima bola dalam kotak penalti dan rembatannya dihadang.

SNBJ kembali bergema dengan sorakan penyokong apabial Dion Cools menjaringkan gol pertamanya untuk Malaysia oada minit ke-38. Itu juga gol yang meletakkan Malaysia kembali di hadapan.

Syafiq Ahmad sekali lagi melakukan percubaan bahaya menerusi tandukan yang diselamatkan penjaga gol.

Separuh masa pertama berakhir dengan Malaysia 2 Bangladesh 1.

Separuh masa kedua

Bersambung babak kedua, pada minit ke-47, kapten Harimau Malaya dalam perlawanan ini, Syafiq Ahmad tidak menunggu lama untuk meletakkan Malaysia 2 gol di hadapan buat pertama kalinya. Di mana pemain tersebut menggunakan kepakarannya, apa lagi, kalau bukan dengan kepalanya.

Malaysia meneruskan dominasi mereka daripada rentak separuh masa pertama.

Pada minit ke-57, Syihan bekerja keras untuk menafikan percubaan jarak dekat oleh pemain gantian Foysal Sahim yang menyambar bola di hadapannya. Mujur juga penjaga gol Harimau Malaya itu tak mengalami kecederaan.

Malaysia terus menguasai perlawanan dan menggandakan lagi asakan dan hasilnya, pada minit ke-73, Darren Lok akhirnya melengkapkan kempen antarabangsanya yang cemerlang kali ini dengan gol.

Lok dengan mudah menolak bola ke gawang yang terbuka dan ternganga di hadapannya.

Pada minit ke-78, Syamer Kutty Abba mendapat peluang keemasan di hadapan gol. Tetapi tandukan lantunnya tidak menerjah gawang. Idea yang baik cuma penyudah yang tidak tepat.

Seminit kemudian, giliran Akhyar Rashid pula mengancam gawang Bangladesh dengan tandukan yang terkena palang.

Tamat perlawanan, Malaysia 4 Bangladesh 1.

Ianya kemenangan yang profesional dilakukan Malaysia. Ataupun, kemenangan yang sepatutnya terjadi dan dilaksanakan dengan sebaiknya. Walaupun masih perlu memperbaiki fokus ketika bertahan selepas menjaringkan gol.

Syabas Malaysia! Mara ke Piala Asia 2023. Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia adalah pada 2007 – ketika itu Malaysia menjadi tuan rumah bersama. Dan ini adalah kali keempat Malaysia berjaya beraksi di pusingan akhir Piala Asia.

Secara merit, bukan menerusi slot hos kejohanan, kali terakhir Malaysia mara ke Piala Asia daripada kelayakan adalah pada 1980. Itu adalah 42 tahun yang lalu.