Dituduh Plagiat, MUSA Akan Pastikan Logo Baru Sah Digunakan

MELAKA, 24 Ogos  — Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) akan berusaha, termasuk melalui saluran undang-undang, untuk memastikan logo baharu Melaka United yang dilancarkannya Sabtu lalu, dapat digunakan persatuan itu secara sah.

Ketua Menteri yang juga Presiden MUSA Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, berdasarkan semakan awal, logo pokok Melaka yang dipertikai beberapa pihak, masih belum dipatenkan oleh mana-mana pihak di negara ini.

“Pemilihan logo baharu Melaka United adalah berdasarkan lambang pokok Melaka yang dibuat sebagai simbol penyatuan peminat dan penyokong setia bola sepak Melaka, yang menjadi kekuatan pasukan selama ini.

“Oleh itu, MUSA akan memohon untuk mendaftarkan hak cipta logo baharu itu dan hanya selepas ia diluluskan, barulah ia diguna pakai,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Sebelum ini, logo baharu Melaka United mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk di Facebook Kelab Penyokong Bolasepak Malaysia iaitu HarimauMalaya, ekoran ia didakwa sama dengan logo di laman web Pinterest di bawah kategori ‘tree graphic’ sebaik ia dilancarkan.

Sebuah portal digital media semalam, turut mendakwa logo baharu Melaka United itu adalah 90 peratus sama dengan logo sebuah syarikat Bare Blends dari Australia, yang digunakan sejak 2015.

Bernama sebelum ini melaporkan logo baharu itu direka oleh penyokong Melaka United Mohd Asri Ab Aziz, berasal dari Sungai Siput, Lubok China, Alor Gajah yang terpilih daripada hampir 100 penyertaan dalam Pertandingan Mencipta Logo Melaka United, yang berlangsung dari 4 hingga 20 Ogos lepas.

Logo yang dilancarkan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam itu, menampilkan rekaan bulat dengan mengekalkan identiti pokok Melaka, dan gabungan ciri-ciri logo bola sepak Melaka dari dahulu hingga kini, yang penuh dengan keunikan sejarahnya.

Ikon manusia pada pokok itu melambangkan rakyat Melaka yang bersatu padu dalam memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada sukan negeri ini, dengan warna-warna hijau dan putih dikekalkan sebagai warna rasmi Melaka United.

Melaka United memperkenalkan logo baharu skuad Sang Kancil itu dalam usaha merancakkan persediaan bagi pertukaran status ke kelab bola sepak (FC) dan penswastaan pasukan musim depan.

Melaka United lancar logo baharu

Pada 22 Ogos Melaka United memperkenalkan logo baharu pasukan, dalam usaha merancakkan persedian bagi pertukaran status ke kelab bola sepak (FC) dan penswastaan pasukan musim depan.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata, pelancaran logo baharu itu diharap akan terus menyuntik kemegahan dan kejayaan kepada kelab itu, serta bola sepak Melaka pada masa akan datang.

Sulaiman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) berkata, ini merupakan tahun terakhir pasukan Melaka United diuruskan oleh pihak MUSA, sebelum diswastakan sebagai sebuah kelab bola sepak.

“Kini selepas 96 tahun, sudah tiba masanya untuk Melaka United bergerak sendiri, menerusi penswastaan kelab sebagai syarat wajib bagi menyertai Liga Malaysia bermula musim 2021, dan bakal dijenamakan sebagai Kelab Bola Sepak Melaka United atau Melaka United Football Club.

“Namun, MUSA akan kekal sebagai badan pentadbir bola sepak negeri dan dengan penswastaan ini, saya berharap Melaka United akan mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam MUSA dan Pelancaran Logo Kelab Bola Sepak Melaka United di sini, malam ini.

Logo baharu itu dilancarkan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam. Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan barisan pemain Melaka United.

Logo Melaka United baharu itu menampilkan rekaan bulat yang mengekalkan identiti pokok Melaka, dan gabungan ciri-ciri logo bola sepak Melaka dari dahulu hingga kini, yang penuh dengan keunikan sejarahnya.

Ikon manusia pada pokok itu melambangkan rakyat Melaka yang bersatu padu dalam memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada sukan negeri ini, dengan warna-warna hijau dan putih dikekalkan sebagai warna rasmi Melaka United.

Logo itu direka oleh penyokong Melaka United Mohd Asri Ab Aziz, berasal dari Sungai Siput, Lubok China, Alor Gajah yang terpilih daripada hampir 100 penyertaan dalam Pertandingan Mencipta Logo Melaka United, yang berlangsung dari 4 hingga 20 Ogos lepas.

— BERNAMA