Dituduh Sokong Dani Alves Melulu, Xavi Minta Maaf Dan Anggap Komen Disalah Erti

Pengurus Barcelona Xavi telah meminta maaf mengenai komen yang dibuatnya mengenai bekas rakan sepasukan Dani Alves, berikutan penahanan bek kanan itu.

Alves ditahan minggu lalu kerana melakukan serangan seksual.

Xavi secara mengejutkan telah membuat komen mengenai pemain pertahanan itu berkaitan insiden di kelab malam Barcelona pada akhir tahun lalu.

Di mana ramai peminat Barca sendiri merasakan Xavi tidak ada keperluan untuk mempertahankan Dani Alves buat masa ini, walaupun dia rakan baik sekalipun.

Ini kerana kes itu masih disiasat. Sebagai pengurus sebuah kelab seperti Barcelona yang memperjuangkan kesamarataan tak kira gender. Dan menentang jenayah seksual sama sekali.

Pemain berusia 39 tahun itu telah dipecat oleh kelab semasanya, Pumas susulan penahanan itu dan dia kini ditahan di penjara.

Dia telah menafikan sebarang salah laku dan mungkin akan merayu untuk diikat jamin, namun dia tetap kekal di penjara selama beberapa minggu, atau bahkan berbulan-bulan.

Dani Alves sebelum ditahan sempat membuat kenyataan rasmi bahawa dia tidak akan sesekali menyerang atau mencabuli mana mana wanita.

Dia kemudian menyatakan dia tidak kenal dengan mangsa yang mendakwa Dani memaksanya ke tandas dan merabanya serta memaksanya membuat perkara tidak senonoh.

Mahkamah setakat ini melarang sebarang ikat jamin untuk Dani Alves kerana ada kerisauan pemain itu meninggalkan Sepanyol sebelum siasatan selesai.

Menjelang perlawanan mereka menentang Getafe, pengurus Barca Xavi, yang bermain dalam pasukan luar biasa Barca bersama Alves, mendedahkan dia ‘terkejut’ dengan berita itu.

Dia menambah bahawa ia adalah soal keadilan dan itu dirasakan ‘sangat teruk’ bagi pemain Brazil itu.

Nada Xavi ketika itu kelihatan memihak kepada Alves.

Xavi berkata: “Saya terkejut dan tak sangka.”

“Ianya adalah tentang keadilan dan mahkamah akan menentukannya [sama ada Dani Alves bersalah atau tak] sekarang ini.”

“Saya tak ada komen lanjut. Untuk Dani, saya rasa kasihan dengan dia. Terkejut sekali. Saya tak ada nak cakap apa lagi.”

Dan komen itu tidak disenangi orang ramai dan membawa kepada kritikan.

Xavi kemudian menyatakan bahawa komen dia disalah tafsir. Dia bukan memihak kepada Alves atau menafikan hak mangsa.

Xavi mengakui dia mungkin harus membuat komen lebih teperinci dengan menyatakan pendiriannya ke atas isu serangan dan pencabulan seksual.

Xavi menganggap ianya perbuatan terkutuk. Xavi kemudian berharap sesiapa sahaja pesalah yang terbukti bersalah, harus dihukum termasuk Dani Alves.

Xavi berkata: “Apa yang saya katakan tentang Alves telah disalah tafsir, mungkin saya tidak cukup tegas menyatakannya pada masa itu.”

“Saya tidak mengendahkan mangsa, semua perbuatan ini mesti dikutuk sama ada daripada Dani atau orang lain yang melakukannya. Saya minta maaf, malang sekali [komen disalah erti].”

“Ia adalah subjek yang sangat sukar, tetapi saya terlupa untuk bercakap tentang mangsa. Semua jenis perbuatan ini mesti dikutuk, baik dalam keganasan jantina dan rogol.”

Xavi kemudian diberikan pujian kerana meminta maaf di atas komennya. Mereka berkata, bukan semua orang sanggup meminta maaf selepas komen yang agak di luar konteks.

Semasa mereka bersama di Camp Nou, Xavi dan Alves memenangi lima gelaran La Liga, tiga trofi Liga Juara-Juara dan tiga mahkota Copa del Rey.

Alves kemudian kembali bermain di bawah Xavi pada 2021 pada usia 38 tahun, membuat 17 penampilan sebelum pergi ke pasukan Mexico Pumas, yang kini telah menamatkan kontraknya.