Dituduh Tidak Telus, Asmirul Cabar KFA Untuk Lapor Kepada Polis Dan SPRM

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan bahawa pengurusan beliau mendapati bahawa pengurusan lama sebelum ini telah menipu soal pembayaran gaji.

Kesannya, KFA menanggung beban hutang sekitar RM5 juta kepada dua badan berkanun. Isu masalah gaji pemain Kedah menjadi topik panas sepanjang musim 2020.

Sanusi dalam kenyataannya menegaskan bahawa dalam penyata gaji, para pemain diberitahu bahawa mereka sudah dipotong terus untuk bayaran ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini membuatkan para pemain menerima gaji yang lebih rendah sebaik sahaja wang itu diserahkan kepada LHDN dan KWSP. Dalam pada masa yang sama menyatakan bahawa ada caruman daripada majikan dan para pemain seperti sedia kala.

Malang sekali, bayaran ke LHDN dan KWSP itu tidak dibuat. Dipetik dari Sinar Harian, Sanusi berkata:

“Bagaimanapun, KFA pada waktu itu didapati gagal membayar potongan itu selepas pemain pergi ke pejabat badan berkanun terbabit dan menunjukkan penyata sebenar yang terdapat potongan dibuat,”

Seterusnya Sanusi merasakan bahasa Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja boleh mengambil tindakan ke atas mereka yang menjadi dalang penipuan tersebut.

“LHDN dan KWSP ada undang-undang sendiri dan boleh ambil tindakan ke atas orang yang bertanggungjawab dan jadi majikan pada masa itu.”

“Akibatnya KFA kini berhutang dan terpaksa bayar hampir RM5 juta kepada badan berkanun terbabit,” katanya.

Kedah, sama seperti pasukan lain di negara kita, yang sangat terkesan dengan impak daripada wabak yang melanda.

Respon daripada bekas setiausaha KFA

Bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Mohd Asmirul Anuar Aris berkata beliau bersedia memberi keterangan kepada mana-mana pihak berhubung dakwaan kemungkinan berlaku salah laku dalam persatuan itu oleh pengurusan sebelum ini,

Beliau juga mencabar KFA untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan itu yang dibangkitkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam.

“Kalau ada masalah (dalam pengurusan KFA) elok laporkan, sebab kita junjung dan perjuangkan integriti kerana semua yang diberitahu semalam lebih kepada tohmahan. KFA ada jawatankuasa, bukan mudah untuk lakukan penyelewengan, tambahan ada juruaudit luar yang sentiasa memantau dan dianggotai oleh SPRM dan PDRM,” katanya pada sidang media selepas sidang DUN di sini hari ini.

Pada sesi soal jawab sidang DUN semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Firdaus Ahmad berkata terdapat kemungkinan berlaku pecah amanah dalam pengurusan KFA yang terdahulu.

Ia berikutan terdapat beberapa keraguan berkaitan pengurusan persatuan itu termasuk pemotongan gaji pemain untuk bayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), namun bayaran kepada agensi itu tidak dibuat.

Mengulas lanjut, Mohd Asmirul Anuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan berkata beliau tidak mengetahui perkara berkenaan kerana hanya menandatangani cek manakala urusan selebihnya dikendalikan oleh pihak pengurusan KFA yang lain.

Mengenai isu lambakan barang ‘merchandise’ (niaga) pula, barangan seperti payung, jersi, dan botol air sepatutnya diberikan kepada pembeli tiket bermusim, tetapi kerana ketiadaan penonton di stadium akibat COVID-19 menyebabkan barangan tersebut tidak dapat diagihkan.

“Isu lambakan jersi yang dinyatakan dalam persidangan DUN semalam juga berlaku kerana beberapa pertandingan seperti Piala Presiden, Piala Belia dan Piala Wanita dibatalkan hingga menyebabkan jersi yang telah dicetak tidak dapat dijual,” katanya.

— BERNAMA