2 kes melibatkan pemandu mabuk beberapa hari ini menyebabkan isu pemandu mabuk kembali menjadi bualan hangat.
Seorang doktor dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Nurilyani Bujang telah berkongsi dengan warganet pengalaman menyakitkan hatinya apabila diancam dengan tindakan saman oleh pemandu mabuk yang dirawatnya.
Ikuti perkongsian beliau.
Dipanggil soal siasat
Beberapa tahun lampau, saya pernah dipanggil untuk sesi soal siasat.
Ada komplain yang telah diadukan berserta dengan ayat yang agak keras didalamnya. Surat itu menyatakan bahawa sekiranya aduan tidak dilayan, maka kami bakal menerima surat dari peguam dan bersedialah untuk ke mahkamah.
Maka, saya pun bukalah lembaran perubatan si pengadu.
Si pengadu menyatakan bahawa terdapat kecuaian dalam rawatan yang diberikan ketika dia di hospital selama 3 bulan dan menyebabkan kecacatan kekal.
Bila saya baca dan ingat kembali kes ini, saya hanya mampu mengurut dada dan berdoa supaya Allah berikan saya kesabaran.
Ibarat melepaskan anjing tersepit
Si pengadu adalah pemandu mabuk yang melanggar sebuah kereta sehingga ada ahli keluarga yang tidak bersalah itu mati.
Dia tenat dan dibawa ke hospital. Berbulan dia duduk di hospital sehingga akhirnya boleh bergerak menggunakan kerusi roda. Setelah pulang ke rumah (dengan bil yang telah diberi subsidi), beliau menghantar pula ugutan kepada kami.
Saya rasakan segala usaha yang dilaburkan pada pada dia hanya sia sia. Umpama melepaskan anjing yang tersepit. Bertaubat dan menyesal jauh sekali.
Cerita ini bukanlah kes terpencil.
Banyak lagi cerita dan aniaya si pemabuk yang memandu, yang bergaduh, yang bertikam tikam yang bakar membakar rumah dan orang.
Semuanya adalah kecederaan disebabkan arak dan boleh dielakkan.
Saya juga menyeru mereka yang terlibat dalam apa jua kecederaan yang disebabkan mabuk di ambil tindakan yang berat dan dihukum selayaknya serta ditarik subsidi perubatan.
Ini juga bermakna segala bil pelaku di bayar penuh seperti warga asing. Bil hospital mangsa serta nafkah tanggungan juga perlulah ditanggung oleh pelaku.
Tolonglah, sudah cukup kami menjadi saksi segala aniaya yang dilakukan si pemabuk tak sedar diri ini.