Benar, anda tidak salah baca, saga perpindahan pemain Sporting Lisbon, Bruno Fernandes ke Manchester United akhirnya termeterai dengan persetujuan beliau untuk ke kelab ternama itu.
Fernandes dilaporkan bersetuju dengan kontrak bersama United sehingga 2025 yang bernilai £5 juta setahun. Manchester United pula dikatakan membayar £51 juta kepada Sporting Lisbon untuk nilai perpindahan pemain itu.
Menurut wartawan Nicolo Schira, Fernandes bakal menerima gaji sekitar £100,000 seminggu, menjadikan dia sebagai antara pemain elit di United.
Perbincangan untuk mendapatkan Fernandes telah berlangsung sejak seminggu yang lalu lagi, di mana beberapa orang pegawai United, termasuk Ed Woodward dikatakan telah bekerja keras bagi merealisasikan perpindahan ini.
Perpindahan Fernandes adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh United ketika ini untuk membantu mereka menguatkan barisan tengah selepas kehilangan khidmat Scott McTominay dan Paul Pogba yang mengalami kecederaan panjang.
United memburu slot ke Liga Juara-Juara musim depan dan sangat memerlukan penambahbaikan ke dalam skuad mereka.
Fernandes, 25 tahun, dilaporkan memiliki klausa pelepasan sehingga £85 juta, tetapi pegawai di Old Trafford berjaya memujuk pihak Sporting Lisbon untuk bernegosiasi bagi merendahkan harga itu.
Menurut laporan agensi berita di Portugal, TVI24, setelah proses negosiasi yang panjang, United akhirnya bersetuju dengan jumlah £51 juta untuk nilai perpindahan pemain itu.
United sebelum ini cuba mendapatkan James Maddison dari Leicester United, tetapi pihak Leicester tidak mahu berunding tentang pemain itu.
Pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat, apa yang pasti diharapkan United tidak memainkan piano keramat mereka setelah gagal dengan Alexis Sanchez dahulu.
Sumber: https://www.thesun.co.uk/sport/football/10725053/fernandes-man-utd-contract-transfer/?utm_medium=Social&utm_campaign=sunfootballfacebook130120&utm_source=Facebook#Echobox=1578901597