Dortmund Singkir PSG, Tiada UCL Untuk Mbappe Pada Musim Terakhirnya Di Paris

44 percubaan dilakukan oleh PSG dalam 2 pertemuan separuh akhir menentang Borussia Dortmund. Dan tak satu pun yang masuk.

Berbanding hanya 20 daripada pasukan Jerman itu yang menyaksikan mereka menang agregat 2-0 ke atas PSG.

Dalam aksi pertama Borussia Dortmund menang 1-0 di Signal Iduna Park. Sementara di Parc des Princes, BvB menang 1-0 sekali lagi.

Aksi di Paris itu menjadi aksi terakhir Mbappe bersama PSG dalam usaha beliau mahu memenangi UCL bersama kelab itu sebelum dia berpindah.

Di PSG, pemilik kelab sentiasa mensasarkan UCL sebagai trofi utama yang mereka mahukan. Kerana kelab itu tak akan membawa bintang bintang besar kalau sekadar untuk kejohanan domestik.

PSG sekali lagi gagal melakukannya. Walaupun mereka kali ini bersama bekas juara UCL bersama Barca sebagai pengurus iaitu Luis Enrique.

PSG terus gagal menjadi kelab elit yang pernah menjulang UCL. Impian utama mereka pada era QSI.

Lebih menyakitkan mereka kalah di tangan pasukan di kedudukan kelima dalam carta Bundesliga.

Jumlah 44 percubaan ke arah gol tanpa menjaringkan sebarang gol adalah yang tertinggi untuk pasukan yang melakukan percubaan sebanyak itu, namun gagal mencetak gol.

Dalam dua pertemuan dengan BvB mereka mencetak 6 percubaan terkena palang atau tiang. Ini termasuk 4 kali pada separuh masa kedua di Paris.

Borussia Dortmund mengesahkan kemaraan mereka menerusi gol oleh Mats Hummels.

Rio Ferdinand simpati dengan Kylian Mbappe yang menurutnya berhak untuk memenangi UCL bersama PSG berdasarkan reputasi dan prestasinya sepanjang kariernya bersama PSG.

Mbappe pernah membantu PSG mara ke final UCL sebelum ini. Namun masih gagal memenanginya.

Namun pada masa yang sama Ferdinand tetap merasakan Mbappe agak tumpul dalam dua pertemuan menentang Borussia Dortmund.

“Ini adalah perkara yang agak jarang berlaku pada Mbappe. Dia adalah pemain yang memang ‘tercipta’ untuk melihat momen yang besar, bermain di peringkat tertinggi dalam kariernya.

“Dalam sejarah kariernya, dia sentiasa menonjol dalam perlawanan besar. Malangnya dalam dua perlawanan terakhir ini, dia berada di bawah par. Dia tumpul dan tidak tajam,” tegas juara UCL bersama United, Rio Ferdinand.

Dia turut memuji pertahanan Dortmund.

“Kamu harus memberikan kredit kepada pertahanan Dortmund. Mereka tidak memberikan peluang kepada Mbappe untuk situasi 1 lawan 1. Namun pemain besar [seperti Mbappe] biasanya hanya memerlukan momen penting.”