Drew McIntyre Berjaya Merampas Kembali Kejuaraan Dunia Dari Randy Orton

Drew McIntyre berjaya menewaskan Randy Orton dalam perlawanan yang penuh mencabar untuk menutup episod Monday Night RAW minggu ini.

McIntyre kini secara rasminya bergelar Juara Dunia WWE kali yang kedua, selepas berjaya menewaskan The Viper, Randy Orton.

Ini bermaksud, penggusti dari Scotland itu akan bertemu dengan Roman Reigns dalam perlawanan Juara bertemu Juara di acara Survivor Series nanti.

Drew McIntyre dalam perlawanan ini melakukan entrance dengan gaya tradisional Scottish sambil memegang Claymore sebenar di tangannya.

Ianya merupakan gaya entrance yang sungguh klasik serta unik, dan walau tanpa kehadiran penonton, entrance beliau tetap dilihat sangat menarik dan menakjubkan.

Ianya seolah-olah menyaksikan entrance ketika dalam acara WretleMania dengan gaya yang begitu menarik dan menakjubkan.

Menurut Drew, pedang yang beliau bawa itu merupakan hadiah dari sahabatnya, Sheamus yang mendakwa bahawa pedang tersebut adalah barang terpenting dalam keluarga dan keturunannya.

Perlawanan bermula dengan Drew McIntyre memanfaatkan segala kesempatan yang ada untuk melancarkan beberapa siri serangan termasuk menggunakan teknik ‘Glasgow kiss’.

Bekas Juara NXT itu juga mencuba untuk menamatkan perlawanan ini dengan pantas apabila beliau melancarkan ‘Claymore kick’ ketika awal pertarungan.

The Viper berjaya mengelak dari serangan penyudah itu dan beliau terus berlalu pergi meninggalkan McIntyre sendirian di atas gelanggang.

Randy Orton berniat untuk meninggalkan saja gelanggang dan mahu memberikan kemenangan kepada Mcintyre tetapi beliau tidak mahu melepaskan sabuk kejuaraan dunia miliknya itu.

Namun muncul Adam Pearce untuk ikut campur dalam urusan ini ketika Orton dalam perjalanan untuk menuju ke belakang pentas.

Adam Pearce kemudiannya mengumumkan bahawa perlawanan tersebut akan diteruskan dengan merubah peraturan kepada ‘No Count-Outs’ dan ‘No Disqualifications’.

Hasilnya, kedua-dua penggusti itu telah menyajikan aksi cukup mantap dan persembahan yang luar biasa hebat menjadikan perlawanan ini sangat menarik untuk ditonton.

Mereka turut menggunakan pelbagai barang dalam perlawanan ini seperti meja, kerusi dan meja pengulas.

Ekoran dari aksi serang menyerang dan berbalas pukulan, kedua-dua penggusti itu dilihat menderita menahan kesakitan ketika perlawanan sudah hampir tamat.

Walaupun terpaksa menahan kesakitan selepas menerima pukulan dan pelbagai serangan dari Randy Orton, The Scottish Psychopath itu sama sekali tidak menyerah kalah dan terus memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini.

Di akhir perlawanan, Randy Orton cuba untuk melancarkan gerakan penyudahnya, RKO namun Drew McIntyre berjaya mengelak dan membalas serangan tersebut dengan ‘Claymore kick’.

Sebaik melakukan gerakan penyudahnya itu, Drew McIntyre terus melakukan tindanan dan dengan tiga kiraan, beliau secara rasminya menjadi Juara Dunia WWE kali yang kedua.

Kemenangan tersebut juga membawa kepada pertemuan antara Mcintyre bertemu dengan Juara WWE Universal, Roman Reigns di acara Survivor Series akan datang.

McIntyre dan Reigns sebenarnya sudah mempunyai banyak sejarah mereka yang tersendiri dengan penggusti Scottish itu pernah bertemu dengan Juara Universal itu di acara WretleMania 35 sebelum ini.

Walau bagaimanapun, situasi dan suasana telah berubah dengan Roman Reigns kini sudah memegang watak jahat dalam WWE manakala Mcintyre pula memegang karakter yang sebaliknya.

McIntyre juga sebelum ini sudah memberi tanda-tanda bahawa beliau akan bertemu The Big Dog dengan beliau telah mengganggu Reigns di acara terakhir SmackDown dan mengingatkan bekas anggota the shield itu tentang siapa the ‘guy’ sebenar.

Survivor Series bakal menjadi acara yang harus ditonton terutama sekali dengan adanya perlawanan yang menemukan The Scottish Psychopath, Drew McIntyre bertemu The Bog Dog, Roman Reigns.

Di tambah pula dengan spekulasi hangat yang mengaitkan dengan Randy Orton, The Fiend, dan The Miz yang seolah-olah bakal melakukan sesuatu dalam perlawanan antara Juara Dunia RAW bertemu Juara Universal SmackDown itu nanti.

Baca yang lain