Bagaimana Projek CR7 Menjadi Titik Tolak Kepada Penyingkiran Dybala Sebagai ‘Teras’

Projek kejayaan segera dengan membeli Cristiano Ronaldo telah menjadi titik tolak kepada pengusiran Dybala.

Ya! Memang projek tersebut berbentuk kejayaan segera. Di mana Agnelli sendiri mengakui ketika dia mengumumkan kedatangan Ronaldo, pemain itu dibawah untuk membantu mereka memenagi UCL.

Sebelum kehadiran Ronaldo, Dybala dianggap sebagai bintang utama masa depan. Malah Maurizio Sarri sendiri pernah diberikan amaran agar menyesuaikan Dybala dengan taktikalnya walau apa yang berlaku. Itu menunjukkan betapa pentingnya Dybala kepada Juventus.

Perjalanan tujuh tahun Paulo Dybala bersama Juventus pasti akan berakhir selepas musim 2021-2022.

Perpisahan itu terpaksa dilakukan selepas pemain antarabangsa Argentina itu tidak akan ditawarkan kontrak rasmi dengan pasukan itu. Sebelum ini kesepakatan verbal dilaporkan sudah dicapai. Namun Juve memutuskan untuk membiarkan Dybala pergi secara percuma.

Kena Juventus sanggup atau terpaksa melepaskan Dybala yang sebelum ini pernah dicanang bakal menjadi pengganti Del Piero dalam projek masa depan mereka?

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Juventus, Maurizio Arrivabene, punca kelab itu melepaskan Dybala adalah kerana kehadiran Dusan Vlahovic.

“Dengan aktiviti perpindahan pada Januari dan menandatangani Vlahovic, jadi kami menukar haluan, lalu Dybala bukan lagi bahagian teras projek kami,” kata Arrivabene.

Kisahnya bermula apabila Juventus membawa Cristiano Ronaldo pada musim panas 2018.

Dengan Ronaldo berindak sebagai penyerang utama, Dybala terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan dalam taktikal.

Sama seperti mana dia di Argentina yang terpaksa menyesuaikan dirinya dengan sistem taktikal kerana kehilangan tempat kepada Messi, dan Aguero di dua posisi utama kegemarannya.

Proses adaptasi pemain yang digelar La Joya itu tidak berjalan lancar. Peranan beliau sebagai tulang belakang pasukan mula beralih kepada Ronaldo.

Pada 2018-2019 atau musim pertamanya bermain bersama Ronaldo, Dybala hanya menjaringkan lima gol dalam 30 perlawanan Liga Itali.

Nasib Dybala tidak bertambah baik walaupun Ronaldo meninggalkan Juventus dan kembali ke Manchester United.

Keadaan fizikal dan kecergasannya mulai merosot. Itu yang membuatkan pegawai kecergasan kelab dilaporkan tidak gembira dan bengang.

Beberapa tahun sebelum ini Dybala pernah mengalami masalah kegemukan. Ye, memang dia tak nampak gemuk. Tapi fizikalnya pernah ada terlebih lemak. Dybala diminta membuang lemak tersebut. Dia berjaya melakukannya.

Namun kisah Dybala di Juventus terus malang. Enam minggu menjelang akhir 2021, Dybala terlepas empat perlawanan kerana kecederaan.

“Sesiapa sahaja yang memakai jersi nombor 10 harus sedar tentang beratnya nombor itu,” kata Arrivabene sambil meluahkan rasa kecewa dengan persembahan Dybala.

Dybala kemudian meraikan golnya dengan menunjukkan gesture bahawa dia berdara Juventus sejati. Ditujukan kepada CEO kelab yang mengkritiknya secara terbuka.

Ketika itu ramai mulai merasakan bahawa Dybala tidak akan kekal di Juventus. Namun dia menegaskan dia benar benar mahu kekal bersama Juventus.

Lalu Juventus telah meneroka beberapa opsyen dalam rundingan kontrak baharu dengan Dybala.

Bagaimanapun, Bianconeri membatalkan perjanjian itu di tengah-tengah kebimbangan mengenai prestasi La Joya dan sejarah kecederaan yang berterusan.

Pada usianya yang sudah menghampiri 30 tahun, Juventus mengakui bahawa pemain itu sudah terlepas peluang untuk menjadi pemain teras dalam projek mereka.

Segalanya terbazir sebab perubahan polisi pada projek Juventus ketika mendapatkan Ronaldo.

Seharusnya pada masa itu Dybala meminta untuk berambus dari Juventus. Namun pemain itu memutuskan untuk terus kekal.

Chiellini sendiri pernah menyatakan bahawa Ronaldo mungkin harus dilepaskan lebih awal. Kerana Juventus bergelut untuk mencari pengganti pemain itu ketika dia meninggalkan Juventus.

Sistem permainan Juventus berubah berasaskan Ronaldo. Dan pada masa yang sama kelab tidak dapat mencari pemain tipikal permainan Ronaldo selepas pemain itu pergi.

Kini Juventus bermula sekali lagi dari bawah untuk membina sistem permainan. Dybala terus gagal untuk menjadi pemain utama dalam projek baharu Max Allegri.

Dengan keadaan semasa ini, Dybala meminta gaji 10 juta euro semusim yang disifatkan Juventus terlalu tinggi untuk bukan pemain teras / bintang utama kelab.

Arrivabene turut menyatakan: “Banyak perkara yang kami pertimbangkan, termasuk dari sudut kewangan. Boleh saja kami cuba menawarkan tawaran lebih rendah tetapi risau itu akan dianggap biadap.”

Kini kehadiran Vlahovic benar benar membuatkan Dybala rasminya dibuang oleh Juventus.

Penyerang berusia 22 tahun itu telah menjaringkan empat gol dalam tujuh perlawanan Serie A sejak menyertai Juventus pada Januari 2022.

Dengan penampilan Vlahovic yang cemerlang Juventus merasakan mereka tidak lagi memerlukan khidmat Dybala.