Dybala Terus Terang Cakap Pernah Benci Ronaldo Kerana Messi, Jawapan CR7 Mengejutkannya

Paulo Dybala mengakui bahawa beliau pernah membenci rakan sepasukannya Cristiano Ronaldo.

Ini kerana menurut Dybala, di Argentina, memang ramai mereka membenci Ronaldo kerana perseteruan pemain itu dengan Lionel Messi.

Oleh itu, apa sahaja tentang Ronaldo akan dibenci oleh ramai orang Argentina, termasuk Dybala sendiri.

Namun kini beliau mengakui beliau tersilap selepas menjadi sahahat baik Ronaldo di Juventus.

Cristiano Ronaldo menyertai Juventus selepas memutuskan untuk meninggalkan Real Madrid.

Paulo Dybala bermain bersama dengan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi masing-masing di kelab dan pasukan kebangsaan.

Dybala: Saya pernah benci Ronaldo kerana ikut orang lain

Dybala bercakap kepada Argentinian Football Association (AFE), secara atas talian.

Beliau berkata: “Saya dah cakap dengan beliau: Cristiano, di Argentina, kami benci kamu kerana penampilan kamu. Kami benci gaya kamu dan [bahkan] cara kamu berjalan [pun kami tak suka].”

“Namun hakikat sebenar, kamu mengejutkan saya. Kerana saya mendapati, selepas saya kenal kamu, ternyata kamu sangat berbeza .”

Tetapi cara Ronaldo membalas Dybala membuatkan pemain itu terkedu.

“Ronaldo pula membalas: ‘Orang seperti saya ni kena bersedia menerima kritikan.”

Jawapan itu benar benar menyentuh hati Dybala.

Dybala menyatakan Ronaldo tak pernah kisah dengan pandangan negatif orang lain kepadanya. Beliau hanya fokus kepada tugasannya secara profesional di atas padang.

Dybala tak pernah kecam Messi

Dybala kemudian menjelaskan bahawa beliau menepis dakwaan yang menyatakan beliau mengkritik Lionel Messi.

Ini gara-gara kenyataannya sebelum ini yang menyatakan beliau sukar bermain bersama dengan Lionel Messi.

Dybala berkata: “Saya tak pernah berniat pun nak mengkritik rakan sepasukan. Saya cuma nak memperbaiki apa yang berlaku.”

“Saya sudah bercakap tentang perkara itu dengan Leo [Messi]. Sebab utama kami sukar bermain bersama adalah kerana kami bermain peranan yang hampir sama secara taktikal.”

Messi dan Dybala adalah pemain yang beraksi sebagai no.10.

Jika mereka tidak bermain di posisi no.10, mereka akan bermain di sayap kanan ataupun false no.9.

Itu yang membuatkan konflik pada posisi dan taktikal. Namun mungkin jurulatih Argentina perlu untuk mencari formula meletakkan mereka berdua bersama di satu pasukan.

Misalnya, meletakkan Dybala bermain di sayap kanan dan Lionel Messi sebagai false 9, ataupun sebaliknya.

Dybala menjelaskan, beliau tidak pernah merungut untuk diletakkan di bangku simpanan. Beliau seorang pemain yang sentiasa menghormati keputusan jurulatihnya.

“Saya tak banyak minit ketika Piala Dunia ataupun Copa America. Namun dalam pada masa yang sama, saya sentiasa menghormati keputusan jurulatih kerana Argentina adalah pasukan yang sangat berprestij.”

Buktikan Sarri hampir membuat kesilapan

Dybala merupakan pemain yang dianggap antara yang paling berbakat di dalam generasinya. Namun kerapkali digerhanakan oleh bakat lain di dalam pasukan.

Dybala hampir menukar angin kariernya pada awal musim ini apabila Maurizzio Sarri menyatakan pemain itu tidak akan diberikan jaminan minit perlawanan dalam pasukan utama.

Namun selepas itu, Paulo Dybala memutuskan untuk terus kekal bersama Juventus.

Beliau berjaya menunjukkan aksi cemerlangnya di Itali. Membuktikan bahawa Sarri akan membuat kesilapan jika berkeras menjualnya lebih awal.

Lebih menarik Dybala diundi sebagai Pemain MVP dalam Serie A musim 2019/20.

Dybala dan Ronaldo sahabat baik

Kini Cristiano Ronaldo dan Dybala merupakan rakan karib di Juventus.

Mereka berdua seringkali meluangkan masa bersama sama ada di pusat latihan ataupun di luar.

Di atas padang, kedua duanya semakin menunjukkan keserasian.

Dan satu impian yang masih tertangguh oleh duo ini adalah UCL untuk Juventus.