Egy Maulana Tak Sabar Nak Tamatkan Badi Final: “Saya Tak Takut Dengan Thailand”

Jika ditanya, pasukan mana yang paling badi dalam Piala AFF Suzuki, jawapannya pasti Indonesia. Mereka menjadi negara yang paling banyak tewas dalam aksi final. Di mana Indonesia sebelum ini sudah mara ke final sebanyak 5 kali dan kalah kesemuanya.

Ini adalah final keenam mereka dalam sejarah sejak kali pertama mengecapi pentas final pada 1996.

Lantas bintang Indonesia, Egy Maulana Vikri sudah tidak sabar untuk menamatkan badi kemarau kejuaraan Piala AFF untuk menjadikan Indonesia sebagai juara ASEAN.

Pasukan Indonesia kali ini dilihat sangat mantap dan menggerunkan. Di mana mereka akan berdepan dengan skuad Thailand dalam aksi final yang akan berlangsung dalam 2 perlawanan.

Indonesia dan Thailand akan berentap final pertama malam ini, dan sudah tentunya dari Stadium Kebangsaan Singapura.

Pemain FK Senica, Egy Maulana Vikri menegaskan bahawa beliau nekad menamatkan sumpahan naib juara yang selama ini menyelebungi Indonesia sehinggakan mereka kerap menjadi bahan jenaka penyokong lawan.

Bercakap kepada ESPN, Egy Maulana berkata: “Kami telah gagal lima kali sebelum ini. Sekarang adalah peluang terbaik (untuk menamatkan rekod buruk ini).”

Egy tidak terlibat dalam aksi awal Indonesia kerana tugasan di peringkat kelab. Dan hanya bermain aksi pertamanya dalam edisi kali ini ketika separuh akhir kedua menentang Singapura.

Egy Maulana jelas tidak kekok dengan sistem permainan yang diterapkan oleh Indonesia di bawah kendalian Shin Tae Yong.

Namun Egy memberikan amaran kepada rakan rakannya, cakap sahaja tak guna, kerana mereka harus membuktikan keinginan sebenar mereka di atas padang.

“Kami tahu ia bukan sekadar bercakap dan kami perlu bekerja keras. Kami harus percaya pada diri sendiri bahawa kami akan memenangi perlawanan akhir. Sesetengah orang mungkin menganggap Thailand lebih kuat sedikit daripada kita, tetapi saya tidak takut.”

“Jika kita percaya pada diri sendiri, tiada yang mustahil. Kami bersedia dan bermotivasi untuk menjadi juara kali ini.”

Jurulatih Indonesia, Shin Tae Yong menyatakan bahawa beliau akan sangat gembira jika Garuda memenangi edisi kali ini. Dan beliau percaya Indonesia hanya akan layak bergelar juara jika mereka melakukan tugasan mereka dengan baik dalam 180 minit sahaja aksi.

Itulah tempoh yang memisahkan Indonesia daripada kejuaraan. Dan halangan terakhir mereka ialah Thailand yang sebelum ini dengan cemerlang menyingkirkan pasukan no.1 Asean iaitu Vietnam.

Indonesia pula menyingkirkan pasukan tuan rumah dalam aksi yang sarat dengan drama. Shin Tae Yong menjelaskan bahawa di dalam kariernya, dia sudah memenangi lebih 20 trofi sebagai jurulatih.

Pengalaman itu akan digunakannya untuk menguatkan mentaliti para pemainnya ketika berdepan dengan Thailand dalam aksi final, seterusnya bergelar juara.

Shin berkata: “Sejujurnya ​​- saya akan gembira jika kami memenanginya, tetapi kemenangan tidak akan hadir begitu sahaja. Menjadi juara, hanya akan berlaku apabila anda melakukan yang terbaik,” kata Shin.

“Saya telah menjadi juara lebih daripada 20 kali [dalam karier sebagai jurulatih]. Daripada pengalaman ini, saya akan cuba (berkongsi) mentaliti ini dengan pemain untuk mencuba dan menjadikan Indonesia juara.”

“Thailand kuat dengan ramai pemain berkualiti baik. Saya tidak ada perkara negatif untuk dikatakan tentang mereka, tetapi bola sepak tidak dapat diramalkan, jadi kita hanya perlu melihat apa yang berlaku pada hari itu.”

Indonesia mendapat keyakinan sangat tinggi ketika ini. Mereka mencatatkan keputusan cemerlang dalam peringkat kumpulan termasuk mengikat Vietnam dengan disiplin bertahan. Kemudian memusnahkan musuh tradisi mereka, Malaysia dalam kemenangan penuh bergaya.