Eike Baptista Si Anak Politician: Dari Terkaya Dunia 2010, Kini Jadi Banduan Dan Muflis

Menjadi orang terkaya di dunia adalah impian bagi semua manusia. Siapa tak nak kaya kan?

Bagi jantan Brazil bernama Eike Batista, dia merupakan seorang usahawan minyak dan gas di Brazil, ini bukan sekadar mimpi. Dia hidup di dalam impian itu. Dia membina perniagaan sejak berusia 23 tahun, sehingga akhirnya diisytihar oleh Forbes sebagai orang terkaya di dunia.

Namun, tidak dinafikan malang, status Eike Batista tidak bertahan terlalu lama. Eike mengalami banyak kes dan hutang, sehingga dia jatuh miskin dan kekayaannya negatif. Bagaimanakah perjalanan Eike Batista? Macamana boleh jadi macam tu?

Anak kepada menteri di Brazil

Eike Batista yang dilahirkan pada 3 November 1956, bapanya ialah seorang ahli politik di Brazil. Di mana ayahnya pernah menteri perlombongan dan tenaga Brazil pada tahun 1960-an. Eike berdarah Brazil dan Jerman daripada ibunya. Kat Brazil kalau muka putih macam Alisson Becker tu biasanya ada darah Jerman. Eike belajar metalworking di Universiti Teknikal Rhenish-Westphalian di Jerman. Pada usia 23 tahun, Eike mengasaskan syarikatnya sendiri dalam sektor perdagangan emas.

Ayahnya banyak membantunya dalam membina perniagaan. Sama ada dari segi kewangan atau dari segi kabel.

Menubuhkan kumpulan syarikat dalam pelbagai bidang

Dia berjaya memperoleh berjuta-juta dolar dalam operasi perlombongan pada tahun 1980-an. Lalu Eike mengembangkan perniagaannya selama dua dekad seterusnya. Dia melabur dalam beberapa industri, termasuk penjanaan tenaga, penerokaan minyak dan gas asli, logistik, pembinaan kapal dan hartanah. Eike mengasaskan kumpulan syarikat yang dipanggil EBX. Beberapa syarikat di dalamnya ialah OGX dan MMX. Semua nama syarikat Eike mempunyai huruf “X”, dengan harapan dapat melipatgandakan kekayaannya.

Terpalit pelbagai skandal

Kejayaan sentiasa disertai dengan batu penghalang, begitu juga dengan perniagaan Eike. Salah satu syarikat iaitu MMX yang beroperasi dalam sektor perlombongan ternyata beberapa kali tidak mematuhi peraturan alam sekitar. Bukan itu sahaja, LLX, yang merupakan perniagaan Eike dalam bidang logistik, disyaki merasuah pihak berkaitan untuk memaksa sekumpulan Tupi (orang asli Brazil) keluar dari tanah mereka.

Sehingga akhirnya pada tahun 2008 polis Brazil menyiasat pejabat dan rumah Eike bagi menyiasat skandalnya. Dia dituduh melakukan penipuan, pengelakan cukai dan penyeludupan emas. Eike dipenjara. Tetapi tidak lama selepas itu dia didapati tidak bersalah dan dibebaskan dari penjara.

Orang terkaya di dunia pada tahun 2010

Sudah tentu, Eike mendapat keuntungan berganda daripada OGX, syarikatnya yang terlibat dalam sektor minyak dan gas. Malah, Eike membelanjakan sehingga kira-kira 1 bilion dolar AS untuk mendapatkan lesen bagi kawasan potensi minyak di luar pantai Brazil. Syarikat itu, yang diasaskan pada 2007, menjadikan Eike antara orang terkaya di dunia oleh Forbes pada 2010.

Walaupun terlibat dalam banyak kes dan pernah dipenjara, syarikat Eike menyumbang keuntungan kepada Brazil, sekali gus menjadikan ekonomi negara bertambah baik. Malah, bantuan kewangan daripada Eike ke Brazil berjaya menjadikan Rio de Janeiro memenangi bidaan sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2016. Tidak hairanlah, pada 2012 sahaja kekayaan Eike menjadi lebih 34.5 bilion dolar AS.

Tidak boleh bayar hutang sehingga muflis

Kejayaan Eike nampaknya mula runtuh. Harga minyak dunia dan ekonomi Brazil merosot, jadi pengeluaran medan minyak OGX gagal. Eike juga perlu membayar bon hutang (hutang daripada kerajaan). Bagaimanapun, Eike gagal membayar hutang beserta bunga 45 juta dolar AS. Malah dia terpaksa menjual pelbagai aset. Pun begitu, hutang Eike terlalu besar sehingga kekayaannya di paras negatif pada tahun 2015. Sebabnya hutangnya mencecah lebih 1 bilion dolar AS.

Dia diisytihar muflis oleh kerajaan. Semua asetnya termasuk kereta mewah telefon bimbit dia pun turut disita.

Dihukum penjara 30 tahun

Pelbagai kes yang menimpa Eike, membuatkan dia menjalani perbicaraan berulang kali sehingga dipenjarakan. Seperti pada Januari 2017, dia dipenjarakan kerana melakukan rasuah AS$16.5 juta berhubung skandal Petrobras. Petrobras ialah syarikat minyak dan gas di Brazil, rasuahnya melibatkan ahli perniagaan hingga ahli politik. Oleh kerana dia sudah tidak seperti dulu, tak ada duit banyak dan reputasinya sudah buruk, maka sangat sukar dia nak menang kes kali ini.

Kerajaan tidak ada kepentingan lagi pada dirinya. Eike dipenjara sehingga April 2017, kemudian dia diletakkan di bawah tahanan rumah. Ia tidak berhenti di situ, Eike dijatuhi hukuman penjara 30 tahun pada 2018 kerana rasuah dan kekal di bawah tahanan rumah. Malah pada tahun 2019, Eike telah dipenjara di dalam lokap untuk beberapa bulan atas tuduhan pengubahan wang haram dan perdagangan haram.

Tahun 2019 menyaksikan dia pernah kerugian 30 billion dollar AS dalam tahun tersebut.

Dan itulah kisah Eike. Seorang lelaki yang pakai kabel ayahnya untuk membina empayar perniagaan. Ianya dibina dengan rasuah dan kronisme. Dan hari ini dia hanyalah seorang yang muflis. Siapa sangka, kira kira 12 tahun lalu dia menjadi orang terkaya di dunia.

Baca yang lain