Eintracht Frankfurt Minta Man City Bayar €80 Juta Untuk Omar Marmoush

Eintracht Frankfurt telah dimaklumkan bahawa Manchester City kini mahu menandatangani bintang baharu Mesir, Omar Marmoush dengan segera pada Januari.

Kelab Jerman itu menuntut harga sekitar £67 juta (€80 juta) untuk pemain berusia 25 tahun itu.

Tiada klausa pelepasan untuk penyerang itu dan tawaran jauh rendah daripada tanda harga mereka letakkan dijangka akan ditolak oleh kelab Bundesliga itu, yang berada di tempat ketiga dalam liga teratas Jerman.

Kem Man City dan ejen Marmoush menganggap bayaran perpindahan £42 juta- £50 juta (€50-€60 juta je) adalah lebih realistik.

Ejen kepada pemain itu berharap kelabnya tidak terlalu menekan harga tinggi untuk pemain tersebut. Kerana Man City adalah projek yang dianggap sesuai untuk Marmoush berkembang menjadi superstar dunia.

Man City dibimbing oleh Pep Guardiola yang dipercayai mampu membangunkan lagi bakat pemain itu.

Masih belum ada rundingan rasmi di antara kedua dua kelab pada ketika ini menurut wartawan Sky Sports Jerman, Florian Plattenberg.

Marmoush, yang boleh bermain di dalam tiga posisi serangan, sayap kiri, sayap kanan dan penyerang tengah telah menjaringkan 13 gol dalam Bundesliga setakat musim ini dengan hanya penyerang Bayern Munich, Harry Kane yang menjaringkan lebih banyak gol daripadanya di sana.

Dia telah menjaringkan 18 gol dalam semua pertandingan kempen ini dan berada di tempat kedua selepas penyerang Liverpool, Mohamed Salah untuk penglibatan gol terbanyak di lima liga teratas Eropah musim ini.

Man City benar benar mahukan Marmoush yang boleh digunakan sebagai pengganti Haaland jika pemain itu tidak dapat beraksi dan boleh menjadi penyerang sayap mereka yang baharu.

Selain daripada Marmoush, Man City turut menghubungi Palmeiras atas membeli Vitor Reis. Perbincangan masih di peringkat awal tetapi City mahu menandatangani bek tengah berusia 18 tahun yang berbakat besar itu.

Palmeiras difahamkan mengharapkan bayaran dalam lingkungan £33.5 juta hingga £40 juta.

Pundit bola sepak Amerika Selatan, Tim Vickery berkata, walaupun Manchester City dan Brighton menunjukkan minat terhadap Vitor Reis, bek tengah Brazil itu dikatakan belum sedia untuk berkelana ke England.

Selain itu Palmeiras berada dalam Piala Dunia Kelab dan mereka sangat mahu mengekalkan pertahanan tengah ini, yang akan mencecah 19 tahun minggu depan.

Mungkin perjanjian pembelian yang membenarkan pemain itu dipinjamkan di kelab Palmeiras untuk baki musim ini akan dipertimbangkan kelab itu.

Selain itu, Reis mendengar nasihat jurulatihnya di Brazil yang memberitahu bahawa secara fizikal pemain itu masih belum bersedia. Dan dia akan dibuli di EPL.