Ejen Ali: The Movie Wakili Malaysia Di Dua Festival Filem Antarabangsa

Filem animasi keluaran Malaysia terus mendapat perhatian antarabangsa. Terbaru adalah Ejen Ali The Movie yang dicalonkan dalam dua anugerah antarabangsa.

Pertamanya adalah Anugerah Cartoons on the Bay 2020 (COTB2020) di Itali, bulan ini dan Asean Film Week 2020 (AFW) di Vietnam pada Disember depan.

Animasi Terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation Sdn Bhd, menjadi salah setu daripada 16 filem yang akan bertanding dalam kategori Anugerah Filem Animasi Terbaik di COTB2020.

Acara anugerah itu akan berlangsung pada 3 hingga 5 Disember ini di Pescara, Itali.

Manakala untuk Anugerah AFW, Filem Ejen Ali The Movie akan mewakili Malaysia dalam festival Filem yang berlangsung di tiga bandar di Vietnam iaitu Hanoi, Ho Chi Minh dan Da Nang pada 20 hingga 24 Julai ini.

Filem Ejen Ali telah menempa kegemilangannya dengan berjaya meraih RM30.8. Filem tersebut hits dan mencapai box office di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar menyatakan, filem animasi Malaysia itu kian diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana kualiti animasi yang dihasilkan.

Dipetik daripada BH Online, Datuk Ahmad Izham Omar menyatakan: “Ia adalah satu penghormatan besar buat Malaysia. Kami memulakan fasa kedua 2020 dengan menyaksikan pencapaian Ejen Ali The Movie di persada festival antarabangsa.”

“Kejayaan ini menjadi kejayaan yang membanggakan kerana dapat berada seiring dengan pengkarya kreatif animasi terbaik antarabangsa lain.”

“Saya ucapkan syabas kepada rakan karya, WAU Animation atas pencapaian dalam menghasilkan dunia animasi yang unggul dengan penceritaan indah yang dilihat dalam filem ini,” katanya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif, WAU Animation yang juga pengarah filem itu, Usamah Zaid Yasin menganggap penyertaan dalam dua anugerah antarabangsa itu akan menjadi pembakar semangat untuk beliau dan pasukannya terus berkarya.

“Ia menjadi pendorong untuk terus berkarya dan mencipta animasi lebih baik dan bermutu, lebih lagi dalam keadaan dunia yang sedang pulih daripada pandemik COVID-19.”

“Kami berbesar hati diiktiraf dan diberi peluang mewakili Malaysia. Kami teruja mahu melihat reaksi penonton di Itali dan Vietnam,” katanya.

Filem Ejen Ali: The Movie ialah filem animasi perisik cilik  yang perlu merungkai misteri teknologi yang mengancam bandar Cyberaya, serta pertaruhkan kesetiaan kepada agensinya MATA.

Ali seorang budak lelaki 12 tahun yang telah menjadi ejen rahsia di MATA, iaitu sebuah agensi perisikan rahsia yang melindungi bandar Cyberaya.

Semuanya berlaku selepas Ali tidak sengaja mengaktifkan gajet Infinity Retinal Intelligent System atau IRIS.

IRIS ini peranti ciptaan MATA yang membolehkan pemakainya lebih berkuasa dalam misi. Ali sahaja yang mampu menguasai IRIS ini kerana ia telah diselaraskan dengan badannya.

Jadi Ali pun dilatih sebagai perisik. Bersama dengan pakciknya Bakar dan ejen muda lain, mereka bekerjasama dalam misi MATA.

Ejen Ali semakin cergas dengan misinya di MATA. Tetapi, konflik timbul apabila Ali tahu bukan lagi dia seorang sahaja yang mampu menguasai IRIS. Kini MATA telah menaiktarafkan IRIS kepada IRIS NEO yang akan dijadikan peranti asas bagi semua ejen.

Ini membuatkan Ali persoalkan kegunaannya di MATA. Ketika ini, seorang individu bernama Niki mendekati Ali dan mendakwa dia tahu sebab kehilangan ibunya.

Semakin Ali mengenali Niki semakin dia mengetahui banyak perkara yang dia selama ini tak tahu terutama sekali tentang arwah ibunya yang juga seorang super agent.

Baca yang lain