Ejen Khvicha Kvaratskhelia Umum PSG Bida Pemain Itu €100 Juta

Ejen kepada Khvicha Kvaratskhelia, Mamuka Jugelim membuat kejutan apabila mengumumkan sendiri bahawa ada bidaan €100 juta dihantar PSG kepada Napoli untuk membeli pemain itu.

Khvicha Kvaratskhelia merupakan sasaran PSG sejak musim lalu lagi bersama dengan Osimhen. Namun dua pemain itu diletakkan pada harga sangat mahal.

Dan kini PSG sedia melaburkan wang penjimatan daripada melepaskan Mbappe daripada bil gaji mereka untuk membeli Khvicha Kvaratskhelia.

Khvicha Kvaratskhelia menjadi pemain elit di Eropah sejak dibeli oleh Napoli dengan harga sangat rendah beberapa tahun lalu. Di mana Napoli membayar Dynamo Batumi €13 juta sahaja.

Musim lalu Napoli menyatakan bahawa mereka hanya sedia berunding jika ada kelab sanggup membayar €100 juta untuk Khvicha Kvaratskhelia. Dan kini PSG datang dengan tawaran itu.

Oleh itu ejennya, Mamuka Jugelim menyindir Napoli, segalanya terserah kepada kelab itu sama ada mahu menerima atau tidak.

Jugelim menafikan bahawa Khvicha Kvaratskhelia pernah dibida kelab dari Arab. Sebaliknya bidaan €100 juta itu adalah tertinggi dibuat oleh kelab PSG ke atas pemain itu.

Agak ironi kerana PSG masih ada tunggakan gaji Mbappe dan enggan membayar bonus €80 juta milik Mbappe sejak Februari. Kini mereka sedia berbelanja untuk membeli pemain lain pula.

Khvicha Kvaratskhelia pernah menyatakan bahawa dia gembira di Napoli dan tiada masalah untuk terus kekal di kelab itu selagi lagi dirinya diperlukan di sana.

Sejak beberapa musim kebelakangan ini Napoli beberapa kali meletakkan harga tak masuk akal untuk pemain mereka. Sama seperti Kalidou Koulibaly yang mereka pernah letakkan tanda harga €150 juta sampaikan pemain itu sendiri akui ‘malu’ mendengar tanda harga itu yang tidak kena.

Koulibaly kemudian kekal di Napoli dan akhirnya tidak mahu melanjutkan kontrak. Membuatkan Napoli terpaksa menjual pemain itu ke Chelsea dengan harga jauh lebih rendah iaitu sekitar €40 juta.

Musim lalu mereka hampir hampir melelong Osimhen yang hampir tidak melanjutkan kontrak selepas dia diejek media sosial rasmi kelab itu sendiri. Mujur dia melanjutkan kontrak. Ianya selepas Napoli menolak tawaran €120 juta daripada PSG untuk pemain tersebut. Kerana menurut presiden kelab, De Laurentiis, harga €120 juta itu cuma kaki kiri Osimhen sahaja.

Khvicha Kvaratskhelia menjadi pemain penting Napoli bergandingan dengan Osimhen ketika membantu kelab itu menamatkan penantian kejuaraan Serie A pertama selepas era Maradona.

Dan kini PSG mahukan pemain itu menggantikan Kylian Mbappe di PSG.