El Clasico: 4 Pemain Yang Pernah Menyarung Jersi 2 Rival Sepanyol

Perseteruan di antara dua gergasi Sepanyol, Futbol Club Barcelona dan Real Madrid Club de Fútbol memang tidak asing lagi buat peminat bola sepak seantero dunia.

Dengan sejarah panjang dua bandar terbesar di Sepanyol yakni Catalan dan Madrid, masing-masing dilihat mempunyai kepentingan politik tersendiri.

Madrid mewakili nasionalis Sepanyol manakala Barcelona mewakili nasionalis Catalan. Dikatakan bermula sejak dari era Perang Saudara, kekejaman Francisco Franco dan kini perjuangan Catalan untuk mendapatkan kemerdekaan dari Sepanyol.

Dengan lebih 200 pertemuan mereka sejak perlawanan pertama pada 1902, masing-masing terikat dengan 96 kemenangan dalam perlawanan kompetitif dan selebihnya seri.

Sabtu ini akan berlangsungnya El Classico pertama musim ini. Mari bersama penulis kita imbas kembali senarai pemain yang pernah menyarung jersi kedua-dua pasukan rival ini.

Samuel Eto’o

Sukar untuk mengingati hari-hari indah Eto’o di Real Madrid memandangkan dia hanya membuat 7 penampilan pasukan utama antara 1998 dan 2000.

Beliau menyertai Madrid ketika zaman persabunannya setelah penilai bakat berpuas hati melihat aksinya ketika di Kadji Sports Academi di Cameroon.

Setelah kecewa kurang mendapat tempat di Madrid, akhirnya beliau membawa diri ke Real Mallorca. Sempat menjaringkan 54 gol dalam tempoh empat setengah musim sebelum dilamar Barcelona pada tahun 2004.

Pencapaian pemain Cameroon ini di Barcelona bagaimanapun berbeza ketika di kota Madrid. Menjadi pemain tunjang salah satu pasukan terhebat sepanjang zaman, Eto’o menjaringkan 130 gol dalam lima musim untuk Blaugrana.

Sempat menjulang tiga gelaran La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebanyak dua kali. Jangan dilupakan treble pada musim 2008/2009.

Ronaldo Nazario

Ronaldo hanya menghabiskan satu musim di Barcelona  tetapi ia adalah salah satu musim yang paling menakjubkan yang ditampilkan oleh pemain di Sepanyol.

Beliau menjaringkan 47 gol dalam 49 perlawanan dalam semua pertandingan pada tahun 1996/1997. Beliau juga turut memenangi Ballon d’Or tahun itu.

El Fenomeno kembali ke Sepanyol pada tahun 2002 namun kali ini menyertai musuh ketat Barcelona, Real Madrid setelah cemerlang membantu Brazil merangkul Piala Dunia di Asia.

Aksi paling diingati beliau ketika menyarung jersi Los Blancos adalah pada aksi suku akhir UCL 2002/2003 menentang Manchester United apabila beliau menghasilkan hatrik dalam kemenangan agregat 6-5 dimana beliau mendapat standing ovation di Old Trafford.

Real Madrid yang ketika itu sibuk mengumpulkan pemain ternama dunia untuk membentuk skuad Galácticos masih tidak mampu memberikan banyak kejuaraan kepada Ronaldo apabila hanya mampu memenangi 1 gelaran La Liga tanpa sebarang trofi telinga capang.

Luis Enrique

Luis Enrique bermain lebih dari 200 kali di kedua-dua kelab tersebut. Juga turut mempunyai lebih dari 50 caps antarabangsa untuk Sepanyol.

Setelah memenangi tiga trofi dalam lima tahun di Madrid, Enrique berhijrah ke Barcelona pada tahun 1996 secara percuma. Antara alasan beliau adalah kerana beliau rasa tidak dihargai di ibu negara Sepanyol itu.

Pemain tengah yang serba boleh serta mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi ini tanpa segan silu menyatakan dimana terletak cinta agungnya. Dia menjadi figura popular dan dikagumi, menjaringkan gol di beberapa El Clasico menentang bekas pasukannya.

Beliau juga pernah menjadi pengurus Barcelona dimana membawa pulang kejuaraan treble kedua buat Blaugrana pada tahun 2015.

Luis Figo

Tanpa ragu-ragu lagi, Luis Figo adalah pemain paling dikenali dalam senarai ini. Bertukar status dari kekasih ke musuh selepas menyertai Real Madrid pada musim panas 2000.

Beliau adalah pemain terbaik di dunia ketika itu dan memenangi Ballon d’Or tidak lama setelah menyertai Madrid. Dengan sebahagian besarnya dikira ketika beraksi bersama Barcelona.

Sekembalinya ke Camp Nou setahun selepas perpindahannya, pemain sayap Portugal itu disambut mesra dengan sepanduk “Judas” dan “Pengkhianat.”

Beliau juga dihujani benda-benda dari penyokong tuan rumah termasuk duit syiling, botol dan sudah semestinya kepala babi.

Figo membuat lebih dari 200 penampilan untuk dua pasukan musuh itu dan memenangi 2 gelaran liga dengan kedua-dua kelab, serta UCL 2002 bersama Madrid.

Baca yang lain

Bayern Mahu De Zerbi

Roberto De Zerbi dikaitkan dengan Bayern Munich sebagai calon pengganti Thomas Tuchel. Tuchel akan meninggalkan Bayern pada akhir musim ini. Dengan beberapa

Ten Hag Kritik Pressing Sebelah Kiri

Erik Ten Hag mengkritik mutu pertahanan sebelah kiri pasukannya ketika menentang Fulham. Ini kerana arah tersebut sangat lemah ketika bertahan terutama sekali