Elkan Baggot Mengaku Tak Bersalah Keluar Dari Gelembung Sukan

Nasib malang menimpa Indonesia apabila Elkan Baggott, Victor Igbonefo, Rizky Dwi, dan Rizky Ridho dilarang untuk beraksi dalam final Piala AFF 2020 oleh kerajaan Singapura kerana keluar dari gelembung sukan yang dietatpkan.

Kesemua empat pemain tersebut keluar daripada penginapan mereka. Oleh sebab itu pihak penganjur terpaksa mengharamkan mereka dari turun beraksi kerana kesemua empat pemain melanggar peraturan melibatkan sport bubble.

Kesemua mereka telah meninggalkan kawasan hotel untuk keluar dan akhirnya kantoi. Penganjuran bola sepak kali ini berdasarkan sistem gelembung sukan. Jadi tak boleh macam sebelum ini, di mana para pemain boleh bersantai santai keluar mencari otak otak ataupun masat.

Selepas terkantoi pihak penganjur memutuskan untuk menghukum kesemua empat pemain itu dengan tidak membenarkan mereka beraksi dalam aksi perlawanan akhir.

Indonesia sangat terdesak untuk mencatat kemenangan besar bertemu Thailand dalam aksi leg kedua perlawanan akhir yang dilangsungkan di Stadium Nasional Singapura semalam.

Namun agak terbeban untuk mereka kerana terpaksa beraksi tanpa empat pemain ini terutama Rizky Ridho dan Elkan Baggot.

Ketiadaan empat pemain utama ini jelas merencatkan sedikit perancangan taktikal pengurus pasukan, Shin Tae-yong. Walaupun mereka mampu mencetak gol seawal minit pertama.

Elkan Baggot mengaku tak bersalah

Walaubagaimanapun, Elkan Baggot telah memuat naik story di laman media sosial miliknya, untuk mendedahkan situasi apa yang berlaku antara beliau bersama tiga lagi rakan sepasukannya.

Beliau menegaskan yang mereka sebenarnya tidak melanggar apa-apa peraturan melibatkan sport bubble dan agak terkejut kerana tiba-tiba dianggap bersalah.

Beliau menegaskan yang pihak penganjur sebelum ini membenarkan pemain untuk keluar dari hotel seandainya mahu menghirup udara segar atau membeli barang keperluan di kawasan terdekat.

Maka dengan itu, beliau bersama Rizky Ridho dan dua lagi rakan sepasukannya yang lain memutuskan untuk pergi ke 7/11 kerana mahu membeli barangan peribadi.

Sebaik mereka pulang, mereka diberitahu oleh urus setia pertandingan, yang mereka telah melanggar peraturan dan akan dikenakan hukuman larangan beraksi dalam perlawanan akhir.

Ini bukan kali pertama pemain Ipswich Town, Elkan Baggot dilarang beraksi. Sebelum ini dia dikuarantin wajib kerana se’kapal-terbang’ dengan seorang pembawa pandemik varian omicron.

Tindakan menggantun Baggot pada masa itu membuatkan peminat Indonesia menyerang penganjur AFF bertubi tubi menuduh mereka Mafia dan berpihak kepada Nguyen.

Ada juga yang menganggap AFF pilih kasih kerana membenarkan Safawi Rasid beraksi sedangkan sebilik dengan Akhyar Rashid yang positif pandemik.

Elkan dianggap sebagai pemain penting dan pertahanan terbaik, oleh peminat Indonesia. Berdasarkan reputasinya bermain di Liga Inggeris.

Lebih menarik pemain itu menjaringkan gol ketika menentang Malaysia. Namun malangnya Elkan gagal menjadi pemain kesebelasan utama dalam final pertama dan kemudian digantung pula pada final kedua.

Indonesia kalah final lagi

Indonesia terpaksa akur sekali lagi terlepas peluang untuk memenangi gelaran AFF Suzuki Cup pertama dalam sejarah mereka, selepas tewas 6-2 secara aggregate di tangan Thailand.

Skuad Garuda merupakan antara pasukan paling kerap layak ke aksi perlawanan akhir dalam kejohanan ini, namun sayangnya mereka tidak pernah muncul sebagai juara.

Aksi perlawanan akhir bertemu Thailand malam semalam merupakan perlawanan akhir keenam Indonesia dalam sejarah saingan AFF Suzuki Cup.

Tidak ada pasukan lain yang paling kerap muncul sebagai naib juara dalam pertandingan ini melainkan Indonesia.

Bermula pada tahun 2000 dan 2002 ketika tewas di tangan Thailand, Indonesia kemudiannya tewas kepada Singapura pada tahun 2004.

Mereka kemudiannya menjadi mangsa kepada skuad Harimau Malaya pada tahun 2010, sebelum sekali lagi dikecewakan oleh Thailand pada tahun 2016.

Tahun ini, Thailand sekali lagi menjadi masalah utama untuk skuad kebangsaan Indonesia, kerana menggagalkan mereka untuk memenangi Piala AFF buat pertama kali dalam sejarah negara.

Skuad Gajah Perang bermula dengan sangat garang selepas mereka membelasah Indonesia 4-0 dalam aksi leg pertama minggu lalu.

Chanatip Songkrasin meledak dua gol sementara Supachok Sarachart dan Bordin Phala masing-masing menjaringkan satu gol untuk bantu Thailand benam Indonesia 4-0.

Aksi leg kedua, Indonesia berjaya menunjukkan peningkatan dengan mereka cemerlang mengikat Thailand 2-2 selepas Ricky Kambuaya dan Edy Maulana Vikri muncul sebagai penjaring gol untuk skuad garuda dalam perlawanan ini.

Adisak Kraisorn dan Sarach Yooyen muncul sebagai penjaring gol untuk skuad Thailand dalam perlawanan ini, seterusnya mengesahkan kemenangan aggregate 6-2 menewaskan Indonesia.