EPL: Liverpool Arsenal Sama Hebat — The Gunners Juara Natal!

Liverpool melayan Arsenal untuk aksi 2 pasukan teratas Liga Perdana Inggeris minggu ini. Arsenal sedar sebarang keputusan yang ada mata untuk mereka akan menjadikan mereka juara Natal musim ini.

Arsenal memulakan perlawanan sangat baik. Dan mendahului seawal minit ke-3 menerusi Gabriel Maghalhaes yang menanduk masuk hasil bola sepakan percuma.

Liverpool memberikan respon sangat baik dari segi permainan dan tempo. Namun mereka tidak banyak mencipta peluang di hadapan gol. Arsenal malah menghasilkan beberapa ancaman bahaya berbanding dengan The Reds.

Akhirnya Mohamed Salah menyamakan kedudukan untuk Liverpool minit ke-29, selepas satu hantaran cantik daripada Trent Alexander Arnold dari belakang. Salah memperdaya Zinchenko dan kemudian merembat ke near post untuk gol penyamaan.

Gol itu meletakkan Mo Salah dalam senarai 10 teratas untuk penjaring gol di EPL dengan 151 gol liga, menendang Michael Owen keluar daripada senarai.

Arsenal memiliki peluang keemasan menerusi Gabriel Martinelli setelah Saka meluru membawa bola masuk ke kotak penalti mengatasi Alisson. Namun percubaan Martinelli tersasar.

Separuh masa pertama berkahir dengan jaringan satu sama. Liverpool turut kehilangan khidmat Tsimikas yang cedera pada separuh masa pertama. Dia dikejarkan terus ke hospital kerana terkehel bahu.

Separuh masa kedua bermula, Liverpool memulakannya dengan lebih bersemangat. Arsenal beerabap kali diserang dalam 7 minit pertama permainan. Namun tiada gol dihasilkan.

Joe Gomez melakukan percubaan bahaya minit ke-54 menerusi lencongan yang sudah tidak dapat dijangkau David Raya. Namun bola itu tersasar sedikit.

Pada minit ke-60, Arsenal mencipta peluang bahaya menerusi Saka yang melorongkan bola ke dalam kawasan gol. Namun tiada pemain Arsenal menyambarnya. Zinchenko pula melakukan rembatan liar.

Dua minit kemudian Szoboszlai memiliki ruang yang dia mahukan di luar kotak penalti, rembatannya meliar.

Pada minit ke-70, pemain gantian, Harvey Elliot hampir memberikan impak segera depan gol. Namun percubaan bahayanya terbias pada Gabriel.

Minit-72, Trent Alexander Arnold mempersiakan peluang keemasan untuk meletakkan Liverpool di hadapan. Bermula daripada satu serangan balas yang pantas, Salah melorongkan bola kepadanya, tetapi rembatan derasnya terkena palang.

2 minit kemudian Joe Gomez sekali lagi menguji David Raya dengan rembatan deras. Penjaga gol itu kemas menepisnya.

Pada minit ke-80, dua kali Konate melakukan hadangan untuk rembatan daripada pemain Arsenal.

Tiada gol lagi selepas itu. Arsenal mengesahkan status mereka selaku Juara Natal 2023 dengan beza 1 mata di atas Liverpool dan Aston Villa.