EPL: Liverpool Dan Man United Terikat Tanpa Jaringan.

Liverpool melayan kunjungan musuh tradisi mereka di Anfield yang baru dibuka lebihan 7,000 tempat duduk baharu yang baru sahaja siap dan diluluskan untuk digunakan.

Ini adalah perlawanan Northwest Derby yang pastinya tidak berkaitan prestasi tetapi tentang keinginan dan semangat.

Ten Hag menurunkan pemain muda mereka Kobe Mainoo untuk menggantikan Bruno Fernandes yang digantung perlawanan. Mereka juga tanpa kehadiran Marcus Rashford di kesebelasan utama walaupun pemain itu disahkan cergas oleh Ten Hag. Rashford hanya bermula di bangku simpanan.

Sementara Jurgen Klopp menggandingkan Wataru Endo bersama dengan Dominik Szoboszlai dan juga Ryan Gravenberch.

Liverpool bermula dengan sangat intensif. Melakukan beberapa siri serangan dalam 5 minit pertama. Onana hampir ditewaskan pada minit ke-3 setelah keluar untuk memenangi bola namun gagal.

Tidak lama kemudian Mo Salah menyungkit bola kepada Nunez namun gagal disambar penyerang Uruguay itu di far post walaupun dia sudah melakukan larian awal.

Selepas 10 minit dipaksa bertahan, Man United akhirnya berada lebih kerap di kawasan lawan. Namun gagal mencipta peluang lebih baik.

Pada minit ke-16, Onana termuntah bola dari dakapannya, mujur tidak dihukum pemain pemain Liverpool untuk sepakan penjuru.

Liverpool melakukan beberapa siri tekanan ke gawang United. Namun Luke Shaw dan rakan rakannya masih ampuh bertahan dan bermain selamat.

Darwin Nunez menjadi pemain pertama dilayangkan kad kuning minit ke-22 kerana kekasaran ke atas Jonny Evans.

Minit ke-28, Liverpool paling hampir mendapat gol apabila tandukan peluru Van Dijk berjaya ditepis Onana.

Liverpool kemudian terus buntu untuk menembusi gawang United walaupun dominan. Yang ada pun percubaan leret lemah Mo Salah minit ke-42 yang langsung tak memberikan masalah kepada Andre Onana.

Pada masa kecederaan Man United memiliki peluang terbaik untuk mencetak gol daripada situasi bola mati. Tetapi sepakan percuma Dalot liar.

Separuh masa pertama berakhir dengan 0-0. Man United jelas lega dengan keputusan ini dan cuba melakukan kejutan pada separuh masa kedua.

Pada separuh masa kedua, Liverpool bermula dengan tempo tinggi. Alexander Arnold melakukan rembatan leret bahaya yang terkena sisi jaring.

Pada minit ke-50, Mo Salah melorongkan bola kepada Nunez namun Onana berjaya menangkapnya.

Lima minit kemudian, Alejandro Garnacho hampir menembusi gawang Alisson daripada situasi 1 lawan 1 namun Trent Alexander Arnold melakukan pintasan penting di saat akhir. Itu peluang terbaik United dalam perlawanan ini.

Pada minit ke-65, Alexander Arnold melakukan rembatan leret yang hanya sedikit tersasar.

Dua minit kemudian, Rasmus Hojlund akhirnya melakukan percubaan yang benar benar bahaya ke arah Alisson, Namun penjaga gol antarabangsa Brazil itu tenang menyelamatkan bola tersebut. Ia percubaan paling bahaya dihadapi Alisson pada perlawanan ini.

Ten Hag kemudian memasukkan bintang utamanya Marcus Rashford menggantikan Alejandro Garnacho.

Pada minit ke-77, Liverpool mendapat dua peluang gol menerusi Luis Diaz dan Konate namun masih buntu.

Liverpool meminta penalti tidak lama selepas itu selepas bola terkena tangan Luke Shaw. Namun situasi itu jelas tidak disengajakan.

Minit ke-86, Joe Gomez cuba merembat dari sudut sukar namun terkena sisi jaring.

Cody Gakpo melakukan free header yang lemah pada masa kecederaan.

Diogo Dalot dibuang pada ketika aksi masih berbaki 2 minit lagi.

Namun pengadil meniup wisel penamat dengan keputusan 0-0. Keputusan ini pastinya lebih menggembirankan Man United kerana mereka datang ke Anfield dengan skuad serba tempang berdepan skuad di kedudukan kelompok atas liga.

Liverpool mencetak 34 percubaan dengan 8 percubaan tepat sepanjang perlawanan.

Baca yang lain