[EPL] Liverpool Diikat Spurs Di Anfield, City Berpeluang Jarakkan Diri 3 Mata Hari Ini

Liverpool harus menyalahkan diri mereka sendiri kerana tidak dapat menjaringkan lebih banyak gol dalam perlawanan ini.

Namun pada masa yang sama, kita harus mengakui kepakaran Antonio Conte dalam mencuri mata daripada perlawanan seperti ini dengan taktikal defensif beliau.

Spurs memilih pendekatan bertahan dan menyerang lawan mereka dengan serangan balas. Antaranya, Hojbjerg yang hampir menewaskan Alisson menerusi rembatan luar kotak penalti yang terkena tiang.

Liverpool mendapat beberapa peluang gol daripada situasi bola mati, seperti dari Van Dijk dan juga daripada Luis Diaz, tetapi gagal disudahkan.

Walaupun memiliki penguasaan bola yang sedikit, tetapi setiap kali Spurs menyerang balas, mereka menjukkan kualiti serangan balas tipikal kehendak Conte. Namun mereka tetap sukar berdepan dengan kualiti pertahanan Liverpool.

Sama juga situasinya dengan Liverpool. Pemain pemain mereka gagal untuk mendapatkan ruang di zon serangan kerana organisasi pertahanan Spurs yang sangat kompak dan sentiasa bergerak serta komited dalam berpasukan.

Di sebalik penguasaan bola yang tinggi dan percubaan yang banyak oleh Liverpool, tetapi Spurs yang mendahului menerusi Son Heung Min. Menjadi pemain Spurs pertama menjaringkan 20 gol liga tanpa sebarang gol daripada sepakan penalti.

Liverpool melakukan 22 percubaan berbanding cuma 8 oleh Spurs. Tetapi kedua dua pasukan masing masing mencipta jumlah shots on target yang sama iaitu sebanyak 3 percubaan tepat ke arah sasaran.

Liverpool memerlukan kualiti individu Diaz untuk membalas gol tersebut. Kerana untuk mencipta team goal sangat mustahil berdepan dengan pertahanan Spurs yang bertarung seperti di medan perang.

Luis Diaz ternyata ancaman besar buat Spurs dengan kelicikannya. Pemain yang hampir menyertai mereka pada Januari lalu.

Diaz sebelum ini menjadi punca kebangkitan semula Liverpool di El Madrigal. Kini sekali lagi menyelamatkan Liverpool daripada keputusan lebih buruk.

Sadio Mane dan Mohamed Salah tidak dapat menjelmakan magis mereka dalam perlawanan ini. Klopp turut membawa masuk Diogo Jota untuk memperkuatkan lagi serangannya. Tetapi skripnya tetap sama.

Klopp terpaksa akur bahawa, Conte benar benar tidak dapat dibulinya seperti mana pasukan lain sebelum ini.

Tamat perlawanan, Spurs menamatkan rekod cemerlang Liverpool di Anfield. Di mana mereka tak pernah keciciran mata di Anfield sejak Oktober 2021 dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Ke-seri-an ini menyaksikan Liverpool naik ke puncak liga dengan perbezaan jaringan. Tetapi City masih ada satu perlawanan dalam tangan mereka. City akan turun berdepan dengan Newcastle dalam aksi berikutnya.

Dan jika menang, skuad bimbingan Pep Guardiola itu akan menjarakkan diri 3 mata daripada Liverpool.

Pep Guardiola sudah menyatakan bahawa beliau dan anak anak buahnya tidak ternganggu dengan penyingkiran dari UCL pada pertengahan minggu.

Guardiola menegaskan dia tidak meminta pemainnya untuk move on atau melupakan kekalahan di Bernabeu itu. Di mana City melepaskan pendahuluan 2 gol agregat pada minit akhir perlawanan. Dan kalah pada masa ekstra.

Menurut Guardiola, memori itu akan berada dalam diri pemain. Dan mereka sudah bersedia untuk belajar daripadanya dalam usaha mereka mahu memastikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris terus kekal menjadi milik mereka sekali lagi.

Berbalik kepada Spurs, keputusan seri ini pastinya lebih bermanfaat buat mereka berbanding Liverpool.

Ini kerana Spurs masih berada dalam landasan persaingan ke slot UCL dalam perebutan 4 teratas.

Liverpool menyaksikan aspirasi kejuaraan EPL mereka menemui jalan sukar. Liverpool sedar bahawa, mereka tidak boleh keciciran sebarang mata dalam baki perlawanan mereka. Tetapi apakan daya, Spurs ternyata memiliki bisa mereka.

Dan impian untuk melihat The Reds menamatkan saingan dengan quadruple juga kian sukar.