EPL: Liverpool Kekal Di Puncak Dengan 3 Mata Di Atas Villa

Liverpool melayan kunjungan Newcastle United dalam aksi di Anfield dalam usaha mereka mahu melebarkan jurang mata kepada 3 mata di puncak liga.

Newcastle yang kehilangan ramai pemain kerana kecederaan, telah bermain dengan sangat defensif. Dan menyerang Liverpool dengan serangan balas.

The Reds dominan sejak awal permainan. Pada minit kedua Trent Alexander Arnold sudah melakukan percubaan bahaya namun tak masuk.

Pada minit ke-12, Martin Dubravska melakukan save yang menafikan gol untuk Liverpool. Dia penjaga gol yang sangat sibuk sepanjang malam.

Luis Diaz kemudian meletakkan Liverpool di hadapan dengan satu permainan kombinasi menarik dengan Darwin Nunez. Namun VAR membatalkannya kerana ofsaid.

Pada minit ke-21, Liverpool mendapat sepakan penalti. Tetapi Mo Salah gagal menyempurnakannya, bola diselamatkan Dubravksa. Trent Alexander Arnold melakukan susulan yang ke langit.

Mo Salah kini menjadi pemain paling banyak gagal menyempurnakan penalti sejak dia menyertai Liverpool pada 2017/18.

Minit ke-36, Dubravska melakukan double saves menafikan kedua dua percubaan Darwin Nunez. Nunez benar benar seharusnya menyempurnakan peluang yang dia ada.

Seminit kemudian, Newcastle tiba tiba mendapat peluang keemasan dan menyempurnakannya. Namun gol dibatalkan kerana ofsaid.

Pada minit ke-39, Trent Alexander Arnold cuba melakukan jaringan dari byline yang sangat jauh, dan bola terkena palang.

Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Masuk separuh masa kedua, bintang Mesir, Mo Salah akhirnya meletakkan Liverpool di hadapan dengan gol mudah dengan gawang terbuka, hasil permainan berkesan oleh Liverpool. Ia jaringan EPL ke-150 untuk Salah. Menjadi pemain kelima mencapai rekod itu.

Tidak lama selepas itu, Dubravska menafikan Nunez daripada menjaringkan gol sekali lagi. Dubravska sebelum itu turut melakukan save menafikan percubaan Mo Salah.

Dia adalah alasan utama Newcastle cuma ketinggalan 1 gol.

Dan pada minit ke-54, Newcastle mendapat gol penyamaan menerusi Isak. Ianya berpunca daripada serangan balas yang sangat berkesan. Dan Isak tiada masalah menewaskan Alisson.

Liverpool kemudian memasukkan Cody Gakpo, Diogo Jota dan Ryan Gravenberch menggantikan, Nunez, Diaz dan juga Szoboszlai.

Kehadiran mereka ternyata sangat berkesan.

Jota bergandingan dengan Salah untuk mencipta gol yang disempurnakan oleh Jones pada minit ke-74.

Kemudian, Gakpo pula menjaringkan gol ketiga Liverpool setelah menerima hantaran lintang rendah Mo Salah.

Tetapi entah apa berlaku, selepas gol kedua itu, Liverpool jadi shut down dan membenarkan Newcastle menjaringkan gol mudah daripada sepakan penjuru dengan Sven Botman melakukan free header tanpa dicabar dan masuk.

Ketika aksi hampir ke wisel penamat. Jota mendapat peluang untuk menjaringkan gol namun dia dijatuhkan Dubravska. Satu lagi penalti untuk Liverpool.

Dan kali ini Mo Salah tidak melakukan kesilapan untuk gol keempat Liverpool minit ke-86.

Pada masa kecederaan, Mo Salah dan Jota memiliki peluang gol, namun gagal disudahkan.

Tamat perlawanan Liverpool 4 Newcastle 2.