EPL: Pengadil Akan Menghentikan Seketika Perlawanan Untuk Pemain Berbuka Puasa

Premier League telah mengarahkan para pegawai perlawanan yang bertugas pada hari perlawanan untuk menghentikan seketika perlawanan bagi memberikan laluan kepada pemain beragama Islam berbuka puasa sepanjang bulan ramadan.

Ramai bintang beragama Islam bermain di EPL, termasuk Mohamed Salah, Riyad Mahrez, N’golo Kante dan ramai lagi.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama pegawai perlawanan memberikan laluan kepada pemain berbuka puasa.

Kerana inisiatif yang sama sudah diambil sebelum ini di EPL. Tetapi pengadil ketika itu hanya akan memberhentikan seketika perlawanan jika ada permintaan daripada kapten pasukan sebelum perlawanan dimulakan.

Di mana kapten akan memaklumkan kepada pengadil ataupun pegawai perlawanan tentang pemain yang beragama Islam yang berada dalam pasukan pada hari tersebut.

Jika kedua dua pasukan tidak memiliki pemain beragama Islam, maka pengadil akan meneruskan perlawanan seperti biasa.

Kini Premier League menyediakan garis panduan khas kepada pengadil tentang berbuka puasa di kalangan pemain. Apa yang pemain beragama Islam ini akan lakukan ketika waktu berbuka tiba.

Pengadil diberitahu bahawa, pemain biasanya akan meminum air dan mengambil juadah ringan ataupun ‘supplements’ khas yang disediakan oleh pakar pemakananan pasukan.

Pegawai perlawanan juga akan cuba mendapatkan informasi tentang pemain yang akan berbuka puasa serta waktu berbuka.

Persatuan Pengadil Profesional EPL (PGMOL) sudah mengesahkan perkara itu.

Di UK, bulan puasa akan bermula pada 22 Mac sehingga 21 April.

Dua tahun yang lalu Sky Sports melaporkan bahawa pengadil menghentikan seketika perlawanan melibatkan Leicester dan Crystal Palace untuk memberikan peluang kepada Wesley Fofana dan Cheikhou Kouyate berbuka puasa.

Ketika itu, penjaga gol Palace, Vicente Guaita turut melengahkan pengambilan sepakan gol untuk memberikan laluan kepada pemain yang berbuka puasa.

Fofana menggunakan media sosial mengucapkan terima kasih kepada Guaita kerana memberikannya peluang untuk berbuka. Dia menulis: “Ini yang membuatkan bola sepak itu indah.”

Ianya dikatakan kali pertama pengadil berbuat demikian. Kerana sebelum ini kebanyakan pemain yang berpuasa akan mengambil inisitif sendiri dibantu oleh rakan ataupun pegawai pasukan ketika berbuka puasa.