EPL: Salah Jaring Gol Kemenangan Liverpool Ke Atas Man City

Liverpool melayan kunjungan Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Liverpool kehilangan beberapa pemain termasuk Konate dan Luis Diaz yang menjadi pemain penting mereka musim ini.

Manchester City boleh dikatakan turun dengan kesebelasan terkuat mereka dalam perlawanan penting untuk terus mengejar Arsenal di puncak liga. Arsenal menang dalam aksi sepak mula lebih awal menentang Leeds.

Separuh masa pertama, City sedikit dominan berbanding dengan Liverpool. Namun kedua dua pasukan mencipta peluang yang hampir setara.

Percubaan pertama Haaland hadir pada minit ke-15, namun ianya dihadang.

Andy Robertson juga berpeluang melakukan sesuatu, tetapi percubaannya tinggi.

Liverpool kemudian ditekan dan dipaksa bertahan. Haaland melakukan beberapa lagi percubaan namun tidak masuk.

Separuh masa pertama berakhir dengan 0-0. Dengan kedua dua pasukan berdepan kesulitan untuk mencipta peluang walaupun Haaland banyak kali menerima bola dalam kotak penalti.

Separuh masa kedua bermula dengan lebih intensiti. City menetapkan tempo permainan dari awal.

Namun begitu, Liverpool mendapat peluang terbaik dalam perlawanan ini, ketika Mohamed Salah dalam situasi 1 lawan 1 dengan Ederson.

Salah merembat agak tersasar. Bola sebenarnya diselamatkan oleh Ederson.

Kevin De Bruyne melorongkan bola kepada Haaland yang kemudian dicabar Alisson, bola termuntah dan dirembat masuk Foden.

Malang sekali VAR membatalkan gol itu kerana pada fasa awal binaan gol itu Haaland menarik baju Fabinho.

Liverpool memberikan respon dengan Jota menerima bola hantaran Mohamed Salah. Namun tandukannya sedikit tersasar.

Haaland melakukan percubaan dari luar yang hampir memerangkap Alisson. Namun penjaga gol antarabangsa Brazil itu berjaya menepis bola.

Pada minit ke-76, Mohamed Salah akhirnya meletakkan Liverpool di hadapan. Bermula daripada tangkapan Alisson selepas sepakan percuma City. Alisson kemudian menghantar bola terus kepada Salah. Cancelo yang tersilap agakan, kehilangan duel.

Dalam situasi 1 lawan 1, Mohamed Salah kali ini tidak melakukan kesilapan.

City meningkatkan lagi tekanan ke atas Liverpool.

Jurgen Klopp kemudian dilayangkan kad merah kerana bantahan berlebihan ke atas keputusan pengadil.

City terus mengasak ke kubu Liverpool. Namun The Reds terus kental bertahan.

Baca yang lain