EPL: Selepas Ketinggalan, Minamino, Matip Heret Persaingan Ke Hari Terakhir

Liverpool turun ke St Mary Stadium dengan harapan untuk terus mengekori rapat Manchester City.

Skuad Liverpool diberikan harapan untuk terus bersaing sehingga ke hari terakhir perlawanan Liga Perdana Inggeris selepas Man City keciciran mata di West Ham.

Liverpool sedar, jika kalah mereka secara automatik akan memberikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris lebih awal kepada Man City, tanpa perlu bersaing untuk hari perlawanan terakhir.

Jurgen Klopp menurunkan skuad yang mungkin agak kurang meyakinkan beberapa pihak. Klopp terpaksa membuat penggiliran dan menurunkan pemain yang paling cergas dari kalangan pemain yang ada.

Sadio Mane, Mo Salah, Van Dijk, Andy Robertson, Trent Alexander Arnold dan Thiago Alcantara, kesemuanya tidak diturunkan atau berada dalam kesebelasan utama.

Klopp memberikan peluang kepada Takumi Minamino, Roberto Firmino dan Jota bergandingan di hadapan.

Sementara di tengah Liverpool menampilkan pemain muda, Harvey Elliot dan Curtis Jones bergandingan dengan James Milner.

Wira kejuaraan Piala FA pada beberapa hari lalu, Kostas Tsimikas turut berada dalam senarai kesebelasan utama.

Liverpool memulakan aksi dengan cukup dominan. Namun Southampton terlebih dahulu melakukan ancaman besar. Broja menguji Alisson namun penjaga gol antarabangsa Brazil itu berjaya menghadang usaha pemain itu yang cuba melakukan sungkitan.

Berpunca daripada satu serangan balas, Southampton di hadapan menerusi Nathan Redmond.

Liverpool meminta faul daripada pengadil kerana Jota dijatuhkan namun pengadil merasakan bentesan itu bersih. Redmond memintas masuk bola ke dalam dan melencongkannya. Bola terbias pada kaki Milner dan masuk. 1-0 pada minit ke-13.

Selepas gol itu Southampton tidak menunjukkan minat mereka untuk bermain lebih agresif. Mereka mulai fokus kepada bertahan.

Kemudian Roberto Firmino menanduk masuk sepakan percuma rakannya, Kostas Tsimikas.

Malangnya penjaga garisan sudah mengangkat bendera. Gol dibatalkan kerana ofsaid.

Usaha Liverpool untuk mendapat gol terbalas apabila pemain antarabangsa Jepun, Takumi Minamino menyamakan kedudukan pada minit ke-27.

Pemain tersebut melakukan rembatan dari dalam kotak penalti dan menewaskan McCarthy. Minamino tidak meraikan gol tersebut kerana sentimennya yang pernah bermain secara pinjaman di St Mary.

Minamino menjadi pemain kelima dalam pasukan Liverpool musim ini untuk menjaringkan 10+ gol dalam semua pertandingan.

Dua minit kemudian Jota menguji McCarthy, namun bola percubaannya diselamatkan.

Separuh masa pertama berakhir dengan 1-1.

Masuk separuh masa kedua, perlawanan masih berlangsung dalam rentak yang sama. Di mana Liverpool lebih dominan, Soton pula memilih untuk bertahan dan cuba menyerang balas apabila ada peluang.

Hanya seminit perlawanan bersambung, Joe Gomez pula terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan. James Milner diarahkan bermain bek kanan, sementara Jordan Henderson dimasukkan untuk bermain di tengah.

Liverpool kemudian memiliki peluang menerusi Jones dan Elliot namun percubaan mereka tidak tepat.

Sehinggalah pada minit ke-67. Di mana Liverpool akhirnya di hadapan. Ianya adalah daripada tandukan Joel Matip yang terbias pada Kyle Walker Peters.

Pada minit akhir perlawanan, Southampton memberikan beberapa detik cemas untuk Liverpool.

Namun Liverpool berjaya bertahan dengan baik untuk memastikan keputusan 2-1 kekal sehingga ke wisel penamat.

Liverpool kini kembali merapatkan jurang mata kepada hanya beza 1 mata sekali lagi.

Dengan keputusan ini, bermakna penentuan kejuaraan akan ditentukan pada hari terakhir.

Bekas pemain Liverpool, yang juga kapten legenda kelab, Steven Gerrard kini boleh membantu bekas kelabnya untuk menjuarai liga pada hari terakhir perlawanan.

Ianya satu lagi aksi kebangkitan Liverpool selepas beberapa kali mereka ketinggalan dari belakang, namun bangkit dan menang.

Baca yang lain