Euro 1992: Kisah Denmark Dari Sekadar Pelengkap Jadual Menjadi Juara Eropah

Dalam bolasepak, setiap kejayaan kebiasaannya hasil gabungan beberapa elemen. Antaranya ialah strategi dan taktikal yang betul, teknikal yang bagus dan tidak dilupakan, nasib baik.

Itulah yang berlaku kepada pasukan Denmark pada kejohanan Euro 1992. Mereka hadir dalam kejohanan itu hanya sebagai pasukan gantian dan pulang sebagai juara.

Mari bersama penulis kita imbas kembali perjalanan pasukan Scandanavia ini dalam usaha mereka memenangi gelaran eropah pertama dalam sejarah bola sepak mereka.

Bagaimana Mereka ‘Layak’

Denmark sebenarnya gagal layak secara merit setelah menamatkan pusingan kelayakan di tangga ke-2 dibelakang Yugoslavia. Hanya juara kumpulan yang layak ke pusingan akhir Euro yang mengandungi 8 pasukan.

Namun, rezeki tak pernah salah alamat. Ketika itu, pemain sedang bersedia untuk perlawanan persahabatan terakhir sebelum pergi bercuti menghabiskan musim panas, dipanggil untuk menyertai kejohanan terbesar benua eropah.

Mereka menyertai Euro menggantikan Yugoslavia yang ketika itu menghadapi perperangan saudara dan juga di ambang perpecahan. Sebagai naib juara kumpulan, Denmark diberi penghormatan menggantikan Yugoslavia.

Terkejut Namun Bersedia

Pemain Denmark, Kim Vilfort ketika ditemubual pada BBC pada 2012 memberitahu bahawa mereka sebenarnya sudah bersedia bukan seperti ramai orang sangkakan.

“Ada yang tidak percaya bahawa kami akan dipanggil, tetapi kami menyedari perkara ini dan ada perbincangan bahawa senario ini (menggantikan Yugoslavia) boleh terjadi,” ujar Vilfort.

“Kemudian kami mendapat berita. Tidak ada perbincangan. Denmark harus mengambil bahagian dalam kejohanan. Tidak mungkin untuk mengatakan ‘tidak’ kerana itu tidak akan membantu hubungan antara UEFA dan Persatuan Bola Sepak Denmark.”

“Tetapi kami mempunyai pasukan yang bagus. Kami telah mengalahkan Yugoslavia di peringkat kumpulan dan dijadualkan untuk bertemu CIS (pasukan bekas negara-negara Kesatuan Soviet) seminggu sebelum pertandingan bermula,” tambah Vilfort yang kini merupakan ketua pasukan peninjau bakat di Brondby IF.

Berada Dalam Kumpulan Sukar

Denmark berada di Kumpulan A bersama tuan rumah, Sweden yang juga merupakan musuh tradisi mereka bersama 2 pasukan pilihan, Perancis dan England.

Memulakan kejohanan dengan mengikat England 0-0. Denmark kemudian tewas 1-0 kepada Sweden pada perlawanan kedua meletakkan mereka di ambang penyingkiran sebelum bertemu Perancis pada perlawanan terakhir kumpulan.

Perancis yang ketika itu dianggotai oleh Jean Piere Papin, Dider Deschamps dan juga Eric Cantona berjaya dijinakkan dengan keputusan 2-1. Denmark layak ke pusingan separuh akhir sebagai naib juara kumpulan mengiringi Sweden.

Juara Eropah Menunggu di Separuh Akhir

Juara bertahan, Belanda menjadi lawan di separuh akhir. Di atas kertas, skuad Oranje itu dianggap hot favourite dan dijangka mudah untuk mara ke perlawanan akhir bertemu Jerman.

Denmark tidak membenar perkara itu terjadi. Juara eropah itu diikat 2-2 sepanjang 120 tempoh permainan dengan brace oleh Henrik Larsen. Perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Wira Belanda pada Euro 1988, Marco van Basten, gagal menyempurnakan penalti setelah diselamatkan oleh penjaga gol baru Manchester United, Peter Schmeichel. Pemain pertahanan Kim Christofte akhirnya meletakkan Denmark di final setelah menjaringkan penalti yang terakhir.

Denmark layak ke perlawanan akhir buat pertama kali!

Juara Dunia Menjadi Halangan Terakhir

Jerman Barat yang merupakan juara dunia setelah menewaskan Argentina pada perlawanan akhir 1990 di Itali kini telah menjadi negara yang bersatu selepas runtuhnya tembok Berlin.

Jurgen Klinsmann, Karl-Heinz Riedle dan Seffen Effenberg menjadi ancaman utama Denmark untuk menyempurnakan kisah dongeng mereka. Schmeichel sibuk di antara dua tiang, menyelamatkan 3 percubaan berbahaya Jerman.

Pada minit ke-19, Denmark berjaya memecah kebuntuan hasil jaringan pemain tengah, John Jensen. Pemain tengah Brondby itu hanya menjaringkan satu gol dalam 48 caps, meraih gol keduanya dengan sepakan kencang menewaskan penjaga gol, Bodo Illgner.

Jerman cuba untuk menyamakan kedudukan namun Denmark kental bertahan. Drop deep dan bermain narrow untuk mengekang pergerakan penyeramg Jerman.

Denmark menambah jaringan ketika perlawanan berbaki 11 minit. Vilfort mara ke kawasan lawan, melepasi 2 pemain pertahanan sebelum menjaringkan gol kedua Denmark.

Kisah dongeng akhirnya sempurna! Denmark muncul juara eropah walaupun hanya hadir sebagai pasukan gantian!

Denmark Mengeksploitasi Back Pass Rule

Mereka bukan sahaja mencipta sejarah menjulang piala eropah malah juga turut mempunyai peranan kuat dalam mengubah peraturan back pass.

Pada ketika itu, penjaga gol boleh menangkap bola yang dihantar ke penjaga gol. Schemeichel dan rakan sepasukan mengeksploitasi sepenuhnya loophole tersebut untuk melambat masa.

FIFA akhirnya mengambil keputusan untuk menukar peraturan seperti masa kini. Jika penjaga gol menggunakan tangan untuk menyambut hantaran rakan sepasukan, pasukan lawan akan mendapat indirect freekick.

Rumusan

Kehadiran Denmark pada pusingan akhir Euro 1992 boleh dianggap nasib namun tidak pada kemenangam mereka. Menewaskan pasukan pilihan di peringkat kumpulan, juara eropah di separuh akhir dan juara dunia di final tidak boleh dikatakan fluke.

Barang diingat, mereka juga hadir pada kejohanan tersebut tanpa pemain terhebat mereka, Micheal Laudrup yang berselisih faham dengan jurulatih, Richard Moller Nielsen.

Mereka menjadi juara dengan gabungan organisasi yang baik serta pengurusan yang hebat untuk mencapai kejayaan terbesar dalam sejarah negara.

Seperti yang dinyatakan oleh Kim Vilfort, “Kami tidak memiliki pemain terbaik, tetapi kami memiliki pasukan terbaik.”