Euro 2000: Gol Emas Trezeguet Lengkapkan Double Unik Les Bleus

Perancis berpeluang mencipta sejarah baharu pada kejohanan Euro yang akan bermula pada 12 Jun 2021 ini.

Jika mereka berjaya membawa pulang piala Henri Delaunay ke Paris, Les Bleus akan menjadi pasukan pertama yang memenangi kejuaraan double antarabangsa, Piala Dunia dan Piala Eropah berturut-turut sebanyak dua kali.

Mengulangi kejayaan mereka pada memenangi Piala Dunia 1998 di tempat sendiri dan Piala Eropah 2000 di Belgium dan Belanda.

Mari bersama penulis kita imbas kembali perjalanan Perancis dalam memenangi gelaran Euro kedua mereka dan sekaligus melengkapkan double unik ini.

Skuad Yang Lengkap

Perancis memasuki pertandingan ini sebagai juara dunia dan berhasrat menjadi pemenang Piala Dunia pertama yang juga memenangi Kejuaraan Eropah berturut-turut selepas Jerman pada tahun 70an.

Boleh dikatakan bahawa skuad Perancis yang tiba di Euro 2000 lebih complete berbanding pasukan yang merangkul Piala Dunia 1998.

Roger Lemerre telah menggantikan Aime Jacquet sebagai pengurus dan mempunyai skuad ampuh yang penuh dengan superstars untuk dipilih.

Pada tahun 1998, Aime Jacquet menjulang Perancis tanpa memiliki penyerang bertaraf dunia namun kali ini, Lemerre mempunyai tiga pilihan iaitu Thierry Henry, David Trezeguet dan Nicolas Anelka.

Zinedine Zidane tidak diragukan lagi menjadi bintang utama pasukan. Namun skuad ini juga turut mempunyai pemain seperti Marcel Desailly, Laurent Blanc, Robert Pires, Patrick Vieira dan ketua pasukan, Didier Deschamps.

Peringkat Kumpulan

Perancis diundi di dalam Kumpulan D bersama Denmark, Republik Czech dan tuan rumah Belanda.

Les Bleus tidak mempunyai banyak masalah menewaskan juara eropah 1992, Denmark 3-0 pada perlawanan pembukaan di Brussels. Mereka kemudian mengesahkan tiket ke peringkat suku akhir apabila membenam cabaran Czech 2-1 hasil jaringan Henry dan Youri Djorkaeff.

Cabaran sebenar pertama mereka pada kejohanan kali ini adalah ketika bertemu Belanda di Amsterdam. Perancis mendahului Oranje sebanyak 2 kali namum dipadamkan dengan jaringan Patrick Kluivert dan Frank de Boer.

Belanda melengkapkan remontada mereka selepas Bolo Zenden menjaringkan gol ketiga Belanda pada minit ke-59. Perancis mengiringi Belanda ke suku akhir sebagai naib juara kumpulan, dengan mengumpul 6 mata.

Suku Akhir

Menunggu Perancis di suku akhir ialah juara Kumpulan D, Sepanyol. La Roja yang layak setelah mencatat kemenangan dramatik 4-3 pada perlawanan terakhir kumpulan menentang Yugoslavia.

Zidane meletakkan Perancis di hadapan hasil sepakan percuma cantik menewaskan Santiago Canizares pada minit ke-32.

Sepanyol tidak mengambil masa yang lama untuk membalas apabila Gaizka Mendieta menyempurnakan penalti untuk memadam kelebihan Les Bleus pada minit ke-38.

Seminit sebelum masa pertama tamat, Vieira melakukan surge run dari tengah padang sebelum membuat hantaran kepada Djorkaeff.

Pemain berjersi nombor 6 itu melepaskan rembatan kencang untuk menjaringkan gol ke-2 dan kemenangan Perancis.

Separuh Akhir

Portugal merupakan lawan Perancis di separuh akhir setelah cemerlang menewaskan Turki hasil 2 jaringan penyerang berbisa, Nuno Gomes.

Di peringkat kumpulan mereka turut berjaya menjinakkan 2 pasukan gergasi, England dan Jerman tanpa banyak masalah.

Skuad Portugal tidak kurang hebatnya, diperkuatkan dengan pemain sayap, Luis Figi dan Sergio Conceiรงรฃo yang mencatat hatrik pada pertemuan menentang Jerman.

Gomes sekali lagi cemerlang apabila menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-19 hasil sepakan kaki kiri untuk menewaskan Fabian Barthez yang hanya mampu melihat.

Hanya pada minit ke-51, Perancis berjaya menyamakan kedudukan 1-1 setelah Henry menyempurnakan cutback dari Anelka.

90 minit tamat dan perlawanan diheret ke sudden death.

3 minit sebelum masa tambahan tamat, pertahanan Portugal, Abel Xavier didapati bersalah apabila menghalang rembatan Sylvian Wiltord menggunakan tangan. Les Bleus dihadiahkan sepakan penalti!

Zidane tenang menyempurnakan sepakan tersebut dan meletakkan Perancis di final kejohanan major kedua berturut-turut.

Les Blues Turun Sebagai Favourite

Perancis turun ke final sebagai pilihan menentang Itali yang terpaksa berhempas pulas menewaskan Belanda menerusi sepakan penalti.

Azzurri menunjukkan kehebatan mereka dalam bertahan apabila mampu mengekang barisan serangan Oranje selama 90 minit termasuk masa tambahan dengan 10 pemain setelah Gianluca Zambrotta dibuang padang pada minit ke-34.

Di bawah kendalian Dino Zoff, Itali sangat kompak dan efisyen dengan taktikal kebanggaan mereka, Catenaccio. Mereka hanya bolos 2 gol setakat ini.

Delvecchio Meletakkan Itali di Depan

Separuh masa pertama yang hambar. Kedua-dua pasukan bermain berhati-hati. Tidak mahu melakukan kesilapan awal.

Minit ke-53, Itali mendahului hasil jaringan Marco Delvecchio. Francesco Totti, melakukan backheel untuk melepaskan Gianluca Pessotto di sayap kanan. Kali pertama Itali mempunyai ruang untuk dieksploitasi sepanjang perlawanan.

Hantaran lintang oleh yang dilakukan Pessotto tepat menemui Delvecchio yang melakukan voli menewaskan Barthez. 1-0.

Itali kembali drop deep dan cuba bertahan menunggu wisel penamat. Namun, drama final ini tidak berakhir begitu sahaja.

Percaturan Lemerre Berhasil

Lamerre memasukkan trio penyerang, Wiltord, Pires dan Trezeguet untuk menambah bisa di bahagian depan.

Pada minit ke-93, Barthez melancarkan long ball terus ke kawasan Itali. Trezeguet berjaya menewaskan Mark Iuliano di udara, menanduk bola kepada Wiltord yang tidak dikawal dan seterusnya merembat melepasi Francesco Toldo.

Kem Itali yang pada ketika itu sedang berkumpul menunggu wisel panjang dibunyikan tergamam. Perancis menyamakan kedudukan pada minit terakhir perlawanan!

Perlawanan bersambung ke masa tambahan. Siapa yang skor dulu, mereka akan dijulang sebagai juara hasil kiraan jaringan emas.

Jaringan Emas Trezeguet

Perancis yang mempunyai momentum hasil jaringan Wiltord tampil menyerang.

Pires merampas bola di sayap kiri menggelecek melepasi 2 pertahanan. Kemudian melorongkan bola kepada Trezeguet yang menunggu. Trezeguet melepaskan rembatan padu melepasi jangkauan Toldo terus ke bumbung gawang!

Kem Perancis diselubungi euphoria! Mereka berjaya bangkit dari ketinggalan pada minit terakhir perlawanan sebelum menewaskan Catenaccio Itali untuk muncul juara eropah buat kali ke-2, melengkapkan kejuaraan double antarabangsa!

Penamat yang sempurna buat Les Blues namun kejam buat Azzurri!