Jerman mencatatkan permulaan sempurna dalam Euro 2024. Tuan rumah menang 2-0 ke atas Hungary pada aksi kedua kumpulan A.
Sekaligus mencerahkan peluang mereka untuk mara ke kalah mati sebagai juara kumpulan.
Sebelum ini anak anak buah Julian Nagelsmann cemerlang membelasah Scotland dengan kemenangan 5-1.
Dalam aksi yang berlangsung di Stuttgart, Jamal Musiala meneruskan rentak cemerlangnya apabila mencetak gol pendahuluan minit ke-22.
Ianya selepas situasi kelam kabut di hadapan gawang Hungary. VAR digunakan untuk menyemak sama ada Gundogan – pembekal assist – melakukan kekasaran ke atas pemain lawan.
Pengadil kemudian memberikan gol tersebut kepada pasukan tuan rumah.
Gundogan kemudian mencetak gol kedua pada separuh masa kedua untuk memastikan 3 mata milik mereka dalam perlawanan ini.
Dengan 1 gol dan 1 assist maka tidak hairanlah Gundogan menjadi pemain terbaik perlawanan untuk aksi kedua peringkat kumpulan melibatkan pasukannya.
Jerman secara keseluruhan sangat dominan dalam perlawanan ini. Menguasai 70% perlawanan dengan melakukan 19 percubaan ke arah gol.
Hungary bernasib baik untuk tidak kalah lebih teruk dalam perlawanan ini.
Aksi seterusnya Jerman akan berdepan dengan Switzerland. Pasukan tuan rumah menepati status mereka sebagai pasukan pilihan setakat ini.
Jerman masih cuba untuk menebus kehampaan mereka dalam Piala Dunia 2022 yang lalu. Mereka mahu menjulang kejuaraan Eropah di bumi sendiri musim ini.
Dengan gandingan pemain lama dan pemain muda yang berbakat, Jerman benar benar menjadi pasukan yang sangat stabil setakat ini.