Evan Ferguson (New Harry Kane) Tak Kisah Diejek Pilih Ireland Bukan England

Evan Ferguson seringkali diejek kerana memilih untuk mewakili Ireland dan bukannya England. Pemain berusia 19 tahun itu seringkali dikaitkan dengan gelaran Harry Kane baharu oleh media.

Dia menjadi salah seorang penyerang muda sangat digeruni. Ferguson baru sahaja menandantangani kontrak baharu dengan Brighton. Di mana kelab itu sudah membayangkan bahawa pemain itu akan menjadi pemain £100 juta seterusnya dalam pasukan mereka.

Evan Ferguseon sebelum ini dikaitkan dengan Spurs dan Arsenal. Namun Brighton enggan menjual penyerang muda itu. Roberto De Zerbi menganggap Evan Ferguson sebagai pemain yang akan menjadi legenda masa depan di EPL – ataupun salah seorang pemain terbaik di tanah Inggeris.

Pemain itu sudah membuat debut untuk Republik Ireland tahun lalu. Dan sudah ada 3 gol antarabangsa. Namun ramai peminat masih mempersoalkan kenapa dia tidak memilih pasukan lebih baik iaitu England.

Ibunya lahir di England dan ayahnya pula bekas pemain Ireland B-21 yang bermain untuk Coventry dan Longford Town – dia berasal dari Dublin.

Walaupun terang terangan berdasarkan peraturan FIFA dia sudah tak boleh menukar kewarganegaraan lagi, namun peminat England masih terus mengganggunya dengan memperlekehkan pilihannya.

Dia memberitahu wartawan Alex Crook, kenapa di pilih Ireland? “Jawapannya mudah, sebab saya berbangsa Ireland.”

Awal tahun ini dalam temuramah dengan Melissa Reddy dari Sky Sports, Evan Ferguson hanya tergelak ketika ditanya adakah dia masih terbuka hati untuk memilih England.

Evan Ferguson juga memberitahu bahawa ayahnya tidak akan sesekali menerima jika dia mewakili England.

Sebenarnya bukan Evan Ferguson saja yang berdepan dilema menjadi mangsa ejekan dan sindiran peminat serta media England kerana enggan mewakili mereka. Ramai lagi pemain sebelum ini berdepan perkara sama termasuk Gareth Bale, Kieran Gibbs dan ramai lagilah.

Biasalah, peminat 3 Singa sentiasa percaya pasukan mereka adalah terbaik di dunia. Dan mereka sukar menerima kalau pemain di sekitar UK atau Britain yang tidak mahu menerima tawaran mereka, dan memilih untuk bermain untuk negara seperti Wales, Ireland mahupun Scotland.