Evra Bidas Van Gaal Dan Haters Messi Yang Anggap Piala Dunia 2022 Sudah Dirancang

Louis Van Gaal baru baru ini membuat kenyataan panas tentang Piala Dunia 2022. Di mana menurutnya Piala Dunia 2022 sudah dirancang dan ditentukan siapa juaranya iaitu Argentina.

Dalam kenyataan panas Van Gaal itu dia turut menyindir cara Argentina mendapat gol juga menunjukkan mereka dibantu oleh FIFA, merujuk kepada beberapa penalti yang diberikan kepada pasukan itu. Termasuk ketika aksi menentang Belanda.

Louis Van Gaal merupakan pengurus Belanda. Pasukan yang disingkirkan Argentina di suku akhir.

Dia merasakan pasukannya dilayan berat sebelah oleh pengadil dan FIFA.

“Korang lihatlah bagaimana mereka jaringkan gol dan bagaimana pula cara kami jaringkan  gol.”

Van Gaal merujuk kepada pemberian penalti kepada Argentina dalam perlawanan itu. Argentina turut mendapat beberapa penalti lain dalam pentas Piala Dunia 2022.

Van Gaal juga menambah, pemain pemain Argentina sukar untuk mendapat kad walaupun mereka kelihatan melampaui batas.

“Apabila pemain mereka melampaui batas, mereka tidak mendapat kad pun,” kata Van Gaal yang diejek oleh Messi dengan keraian golnya.

Messi ketika itu tak  berpuas hati dengan komen Van Gaal yang memperlekehkan taktikal Argentina.

Van Gaal menyebut: “Saya malas nak komen banyak namun, Piala Dunia 2022, sudah diatur. Ada niat yang jelas mahu Messi menjuarainya.”

Kenyataan itu diraikan oleh haters Lionel Messi yang sudah lama mengeluarkan teori bahawa Piala Dunia 2022 adalah korup dan sudah diatur agar Messi juara.

Mereka seringkali membangkitkan jumlah penalti yang diberikan kepada Argentina.

Patrice Evra yang seringkali tidak sependapat dengan peminat Messi dalam isu perdebatan Messi vs Ronaldo – siapa lebih bagus, kini tampil mempertahankan pemain Argentina itu.

Evra menganggap Van Gaal pun bersikap kebudak budakan sebagai seorang pengurus profesional dan tokoh yang disegani.

Evra berkata: “Messi telah memikul Argentina di bahunya. Mereka yang memperlekehkan Messi memenangi Piala Dunia sebab dia menjaringkan 5 gol penalti. Saya nak cakap dengan mereka ini, kamu cuba pergi ke sana [tengah padang aksi Piala Dunia] dan jaringkan penalti itu.”

“Ianya penuh dengan segala tekanan, seluruh dunia sedang memandang kamu, seluruh negara kamu, jika kamu gagal menjaringkan penalti itu, mereka tidak akan memaafkan kamu.”

Menurut Evra bukannya mudah untuk menjaringkan gol menerusi sepakan penalti. Ianya memiliki tekanan yang sangat tinggi terutama sekali di peringkat tertinggi seperti Piala Dunia.