Evra Dedahkan Van Persie Dibenarkan Untuk ‘Skip’ Latihan

Patrice Evra mendedahkan bahawa Manchester United adalah pasukan yang sentiasa berlatih seperti binatang buas ketika era Sir Alex Ferguson.

Setiap pemain harus berlatih dan berlatih dalam banyak sesi. Bagi mereka yang terlepas walaupun 1 sesi latihan biasa, mereka mereka akan disisihkan daripada perlawanan seterusnya.

Namun peraturan itu dikecualikan untuk Robin Van Persie.

Van Persie sendiri akui bahawa cara Manchester United berlatih sangat berbeza dengan Arsenal, ketika dia mula mula tiba di Man United.

Di mana di Arsenal latihan mereka lebih santai dan tidak terlalu berat. Ianya mungkin menjadi sebab kenapa Van Persie banyak kecederaan ketika di Arsenal kerana beban tugasan yang banyak dengan latihan yang ringan.

Evra turut mendedahkan bagaimana Van Persie akui bahawa dia bergelut untuk mengikut rentak intensiti latihan di United.

Menurut Evra: “Robin kata kat saya: “Patrice, saya tak pernah tengok lagi orang yang sangat profesional seperti di sini. Berlatih dengan cara kamu berlatih ketika sesi latihan.

“Van Persie pun hairan kenapa kami ni selalu berada di gym. Selepas latihan ada kat gym. Sebelum latihan pun berada di gym.”

Akibat faktor usianya pada masa itu, Van Persie yang tidak biasa dengan latihan yang terlalu berat membuatkan Sir Alex Ferguson mengecualikan pemain itu untuk wajib mengikuti semua sesi latihan.

Sir Alex Ferguson memberitahu pemain lain bahawa Van Persie tidak akan berlatih seperti mereka. Namun Sir Alex mahu setiap orang percaya bahawa pemain tersebut akan membantu mereka menjuarai liga dengan ketajaman dan teknik sepakannya.

Evra setuju bahawa Van Persie sangat luar biasa bersama dengan United. Dan dia bercerita: “Saya tak tahulah kalau kamu semua ingat, cara Ferguson melayan Van Persie,” kata Evra kepada Ferdinand.

“Dia tahu kita ni semua binatang buas, jika ada antara kita tak sertai latihan, kita akan cakap bahawa dia ni tak layak untuk bermain.

“Namun untuk Van Persie, Sir Alex dah kata: ‘Dia ni tak akan berlatih setiap hari [seperti yang lain]. Kadangkala dia mungkin akan berada di tepi padang dan bersama fisio peribadinya. Namun saya harus menguruskan isu kecederaannya. Namun pemain ini akan membantu kita menang liga’.”

Van Persie benar benar memberikan impak. Pada musim pertamanya di United dia menjaringkan 26 gol untuk memenangi Kasut Emas EPL dan skuad Sir Alex Ferguson itu menjuarai Liga Perdana Inggeris dengan jurang 11 mata.

Arsenal di tempat keempat dengan 16 mata di belakang United.

Sayangnya selepas itu Sir Alex mengumumkan dia bersara daripada pengurusan. Van Persie akui terkejut dengan perkara itu dan mengakui ianya memberikan kesan kepada kariernya selepas itu. Di mana dia mulai hilang tempat dalam kesebelasan utama.