Evra Hentam Arthur Melo Punca Juve Tersingkir & Bandingkan Dengan Zamannya

Patrice Evra telah melancarkan serangan spesifik ke atas Arthur Melo dan menuduh pemain antarabangsa Brazil itu punca penyingkiran Juventus dari Liga Juara-Juara Eropah.

Juventus tewas 0-3 di gelanggang sendiri berdepan Villarreal pada aksi semalam.

Bianconeri yang seri 1-1 pada perlawanan pertama di Sepanyol jelas mempunyai peluang lebih besar untuk memenangi perlawanan kedua, terutama apabila mereka bermain di Turin.

Beberapa peluang diperoleh anak buah Massimiliano Allegri, salah satunya adalah rembatan Dusan Vlahovic yang terkena palang.

Tetapi malang buat Juventus pada 15 minit terakhir, di mana mereka memberikan dua sepakan penalti yang dimenangi oleh Villarreal pada babak akhir perlawanan.

Gerard Moreno menyempurnakan penalti minit ke-78 untuk gol pertama Villarreal. Pada minit ke-85, Pau Torres memastikan pasukannya semakin cerah untuk ke suku akhir.

Pada masa kecederaan, Arnaut Danjuma menjaringkan satu lagi penalti untuk pelawat untuk menjadikan 3-0 memihak kelab dari Sepanyol itu.

Evra dalam ulasannya berkata: “Saya sangat kecewa dengan apa yang ditunjukkan Juve malam ini.”

“Rasanya Max Allegri melakukan keajaiban [mara sejauh ini] dengan apa yang dia ada, kerana pasukan ini tiada kualiti di atas sana, terutamanya di bahagian tengah.”

“Banyak peluang dibazirkan pada separuh masa pertama, namun persembahan hodoh ditunjukkan Juve pada separuh masa kedua.”

“Arthur langsung tidak melakukan sesuatu di atas padang, walau sekali.”

Seterusnya Evra dengan mengejutkan membandingkan Juventus pada hari ini dengan zaman beliau dahulu.

Di mana menurutnya, Juventus dahulu sarat dengan pemain tengah berkualiti. Malangnya mereka pada hari ini cuma ada Arthur Melo.

“Pada zaman saya, kami mempunyai Claudio Marchisio, Arturo Vidal, Andrea Pirlo. Sekarang ada Arthur… Saya tidak fikir dia membuat satu hantaran yang benar-benar mengubah permainan hari ini. Dia tidak membuat perbezaan.”

Fabio Capello juga mengkritik Arthur sebelum perlawanan di Sky Sport Italia, menggelar bekas pemain tengah Barcelona itu “seperti dia sedang bermain ragbi.”

“Ini merujuk kepada fakta bahawa anda tidak boleh melepaskan bola ke hadapan dalam ragbi, hanya ke sisi atau ke belakang,” kata bekas jurulatih England itu.

Arthur Melo pernah digelar sebagai Xavi baharu dalam bola sepak ketika dia bermain untuk Barcelona.

Namun kariernya kemudian bergelut dengan prestasi dan gagal menepati harapan yang tinggi di bahunya. Dia menjadi pemain yang dilepaskan Barca dalam usaha mengurangkan perbelanjaan pasukan dan digantikan dengan Miralem Pjanic.

Baca yang lain