Evra: Kalau Dapat Undur Masa Aku Pilih Wakil Senegal Bukannya Perancis

Patrice Evra menyesal kerana tidak mewakili negara asalnya Senegal dan memilih Perancis pada satu ketika dahulu.

Evra merupakan pemain legenda Manchester United yang memenangi banyak trofi ketika di Old Trafford.

Evra sudah bersara daripada arena bola sepak sejak 2019. Dan kini dia lebih banyak meluangkan masa menjadi pundit jemputan.

Dia juga merupakan pemain antarabangsa pasukan Perancis. Bercakap tentang layanan buruk peminat Perancis kepada pemain berdarah Afrika sepertinya ketika pasukan kalah adalah menyakitkan hati bila dia kenangkan.

Mirip kepada kenyataan Ozil satu ketika dahulu ketika media dan peminat Jerman menyerangnya secara rasis. Ozil ketika itu mendedahkan bahawa pemain berdarah Turki seperti beliau akan sentiasa menjadi sasaran utama pengkritik.

Ketika menang pula dianggap kemenangan sebagai orang Jerman. Namun ketika kalah, Ozil digelar pendatang.

Ozil berkata: “Di Jerman, jika menang kamu adalah orang Jerman. Ketika kalah kamu adalah pendatang.”

Evra melontarkan pandangan yang hampir sama dengan Ozil ketika itu.

Evra berkata: “Andai dapat saya undur masa, saya akan memilih untuk mewakili negara asal usul saya iaitu Senegal berbanding memilih untuk mewakili Perancis.”

“Salah satu pengajaran yang perit saya lalui adalah, apabila menang, kamu diraikan sebagai orang Perancis. Ketika kalah kamu akan dipetik sebagai orang Senegal.”

Evra menyatakan sebenarnya ayahnya tidak pernah campur tangan dalam pilihannya ketika dahulu.

“Ayah saya memberikan peluang untuk saya memilih negara mana saya nak wakili. Dan saya pilih Perancis kerana saya lahir di sana.”

“Akhirnya saya sedar bahawa saya sepatutnya pilih Senegal kerana di Perancis segalanya terlalu politikal.”

Evra kemudian menambah bahawa, sudah tiba masanya untuk semua pihak memberikan kesedaran kepada pemain pemain yang berasal dari negara kecil bahawa mereka masih boleh mencapai kejayaan jika memilih bermain untuk negara asal mereka.

Evra masih melihat trend di kalangan pemain pemain – terutama sekali dari Afrika – di mana mereka lebih sanggup memilih untuk bermain untuk negara Eropah yang dianggap menjanjikan lebih peluang untuk berjaya dan beraksi di pentas tertinggi.

Evra menambah: “Sudah tiba masanya kita menyedarkan pemain pemain generasi muda ini bahawa mereka masih boleh mencapai kejayaan jika bermain dengan negara asal mereka.”

Baca yang lain