Evra: “Kalau Messi Bekerja Keras Seperti Ronaldo, Dia Sudah Ada 15 Ballon d’Or”

Perseteruan dan perdebatan tentang Messi-Ronaldo terus memecahbelahkan peminat dan pakar, walaupun Messi menjadi pemenang Piala Dunia bersama Argentina di Qatar 2022.

Bagi ramai peminat Messi dan atas pagar, ianya sudah cukup untuk menamatkan perdebatan siapakah GOAT sebenar, iaitu Messi.

Namun masih ramai peminat tegar Cristiano Ronaldo mempertahankan bahawa Ronaldo tetap GOAT sebenar walaupun tanpa Piala Dunia.

Bekas pemain pertahanan Manchester United Evra memilih bekas rakan sepasukannya sebagai GOAT berbanding bintang Paris Saint-Germain itu – dan pastinya ia tidak mengejutkan.

Kepulangan kedua Ronaldo di United tamat apabila kontraknya ditamatkan pada November, dan dia kini bermain dalam Liga Pro Saudi bersama Al-Nassr.

Tetapi Evra masih percaya dia harus dianggap melebihi Messi dalam senarai pemain terbaik sepanjang zaman.

Evra malah menyatakan bahawa walaupun Messi memiliki 7 Ballon d’Or, nilainya tak sama dengan nilai 5 Ballon d’Or Ronaldo yang dicapai hasil kerja keras luar biasa.

Evra turut berpendapat, jika Messi serajin Ronaldo, berusaha dan bekerja keras, Messi pada hari ini sudah ada 15 Ballon d’Or.

Legenda United itu berkata semasa muncul di saluran YouTube Rio Ferdinand LIMA: “Saya ingin menjelaskan mengapa saya menyebut Ronaldo adalah GOAT – setiap kali. Ia bukan kerana dia saudara kita [sesama bekas pemain United], tetapi kerana saya jatuh cinta dengan etika kerjanya.”

“Saya rasa sepertinya Messi, tuhan hanya mengurniakannya bakat dan Cristiano terpaksa berusaha untuk mendapatkannya.”

“Dia [Ronaldo] mempunyai bakat tetapi dia perlu berusaha untuk itu [berada di tahap terbaik].”

“Jika Messi mempunyai etika kerja yang sama seperti Ronaldo, dia mungkin akan mendapat 15 Ballon d’Ors hari ini.”

“Saya benar benar suka dengan orang yang bekerja keras jadi itulah sebabnya saya memilih Ronaldo berbanding Messi sebagai GOAT.”

Selepas mengetuai Argentina ke mahkota global ketiga mereka di Qatar, Messi dijangka memenangi Ballon d’Or kelapan yang menambah rekod lagi.

Pemain berusia 35 tahun itu dinobatkan sebagai pemain lelaki terbaik di Anugerah FIFA Best 2022.

Namun selepas itu menelan kehampaan dalam Liga Juara-Juara Eropah bersama PSG, yang disingkirkan daripada kejohanan itu edisi 2022/23 pada peringkat 16 terakhir selepas kekalahan agregat 3-0 kepada Bayern Munich.

Sementara itu, Ronaldo telah memenangi lima anugerah Ballon d’Or sepanjang kariernya, dengan kejayaan cemerlang di United, Real Madrid dan Juventus, tetapi pemain berusia 38 tahun itu dijangka tidak akan mencabar anugerah itu lagi selepas berpindah ke Arab Saudi.

 

Baca yang lain