Evra:”City Perlukan Pemimpin Namun Guardiola Tak Sukakan Pemimpin”

Bekas pemain Manchester United, Patrice Evra membuat tuduhan pelik ke atas Pep Guardiola. Di mana menurut Evra, Guardiola ada cara pengurusannya yang tersendiri dan berbentuk diktator.

Menurut Evra, Pep Guardiola seorang yang suka mengawal semua orang di dalam pasukan dengan mengikut arahannya semata mata.

Evra menyatakan bahawa pasukan Manchester City perlukan seorang pemimpin namun Pep Guardiola tidak gemar dengan pemain yang bersifat kepimpinan tinggi kerana Guardiola sendiri mahu menjadi pemimpin pasukan tersebut di dalam dan luar padang.

Evra turut senada dengan beberapa pengkritik yang menuduh Guardiola sebagai overthinking ketika pasukannya mendahului 2 gol agregat dan diikat pada saat akhir oleh Real Madrid dengan dua gol.

Evra menuduh Guardiola sebagai pengurus yang kurang fleksibiliti dan tidak mampu beradaptasi apabila keadaan kurang menjadi. Evra mencadangkan agar Guardiola memikirkan taktikal yang lebih mudah dan tidak terlalu kompleks.

Guardiola tak bagus untuk perkembangan pemain kata Evra

Dia juga menganggap cara Guardiola ini membuatkan pasukannya akan bergelut di atas padang apabila perancangannya kurang menjadi. Misalnya ketika menentang Real Madrid di Bernabeu.

“Sebab itu apabila mereka dalam masalah, mereka tidak ada orang [pemimpin] yang membantu mereka di atas padang. Dia memilih pasukan dia seperti itu; dia tak boleh melatih pemain yang ada personaliti. Dia lakukannya di Barca, dia membina pasukan yang dia boleh kawal semua orang.”

Evra turut mengkritik cara Guardiola ini sebagai tidak bagus untuk perkembangan pemain. Kerana dia tidak mempercayai pemainnya, maka dia tidak mahu memberikan pemainnya tanggungjawab.

Evra juga menyatakan dia gembira kerana tidak pernah bermain untuk Guardiola di dalam kariernya.

Evra berkata: “Saya sangat menghormati Guardiola, namun saya juga gembira kerana tidak pernah dilatihnya. Kerana orang macam dia tidak memberikan kamu tanggungjawab.”

“Saya pernah bercakap dengan Clarence [Seedorf], kamu melihat dia [Guardiola] sedang bermain Playstation. Dia memberitahu kamu apa yang dia mahu kamu lakukan.”

“Saya masih ingat dengan Thierry Henry, contohnya, ketika dia di Barcelona, Guardiola meminta dia agar kekal di bahagian sayap. Namun Henry masuk ke dalam zon tengah untuk bermain satu dua dengan Lionel Messi dan Henry menjaringkan gol. Selepas tamat separuh masa pertama Guardiola mengeluarkannya. Dia keluarkan Henery walaupun menjaringkan gol, kerana Henry tidak menghormati arahannya.”

“Manchester City perlukan pemimpin. Namun Guardiola tak sukakan pemimpin dalam pasukannya.”

“Dia tidak suka dengan personaliti [kuat] daripada seseorang pemain. Dia [Guardiola] sendiri adalah ketua.”

Pendapat Evra itu menimbulkan banyak perdebatan di media sosial. Pundit Gary Lineker menganggap ulasan Evra itu sebagai merapu. Kerana setiap pasukan perlukan pemimpin dari kalangan pemain. Pengurus pastinya mahukan pemimpin yang bagus.

Lineker kemudian berbalah dengan seorang penyokong Evra di Twitter. Di mana netizen tersebut berkata: “Tepat sekali, tak percaya, tanya Ibra.”

Sebelum ini Ibrahimovic pernah mengkritik Guardiola sebagai pengurus yang dia tak suka.

Lineker membalas: “Pergi tanya Messi, Iniesta, Xavi, Puyol, De Bruyner, Muller, Pique, Lahm.”

Kemudian ada juga yang menyatakan bahawa, Guardiola sudah membuktikan kehebatannya dalam taktikal dan pengurusan pemain. Cara Evra bercakap seolah olah Pep Guardiola pengurus yang gagal.

Ketika ini, Guardiola dalam landasan terbaik untuk menjulang kejuaraan EPL keempat dalam 5 musim terakhirnya.

Adakah korang setuju dengan Evra?

Di atas padang, Manchester City meneruskan pemburuan kejuaraan liga mereka.

Baca yang lain