Sandro Tonali telah dikenakan penggantungan selama dua bulan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) selepas mengaku melanggar peraturan perjudian. Hukuman ini adalah hukuman di England. Namun begitu hukuman itu tidak akan menambah tempoh hukuman yang sedia ada.
Ianya diletakkan selari dengan tempoh yang sedia ada. Sekatan itu bermakna pemain tengah Newcastle United itu hanya layak untuk kembali beraksi pada 27 Ogos 2024, apabila penggantungannya selama 10 bulan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) tamat.
FIFA mengesahkan larangan itu, menyebabkan ia terpakai di seluruh dunia, selepas Tonali mengaku meletakkan pertaruhan pada perlawanan sebagai sebahagian daripada penyiasatan ke atas platform pertaruhan tidak terkawal di Itali.
Pada bulan Mac, FA mendakwa Tonali melanggar peraturan perjudian bola sepak Inggeris sebanyak 50 kali antara Ogos dan Oktober tahun lepas, yang menyebabkan dia dikhuatiri akan dilanjutkan lagi hukuman.
Bagaimanapun, pada Khamis disahkan FA telah menggantung hukuman Tonali untuk tempoh musim 2024-25, bermakna dia boleh kembali pada Ogos jika dia tidak melakukan kesalahan yang sama berulang.
Dalam satu kenyataan, Newcastle berkata: “Sandro Tonali telah dikenakan penggantungan selama dua bulan daripada bola sepak kompetitif oleh suruhanjaya kawal selia bebas selepas mengisytiharkan diri melanggar peraturan pertaruhan FA.
“Dia juga telah didenda £20,000 dan diberi amaran oleh FA mengenai kelakuannya pada masa hadapan.
“Dengan syarat dia tidak melakukan apa-apa lagi pelanggaran peraturan pertaruhan FA sepanjang tempoh penggantungan, Sandro tidak akan menjalani mana-mana bahagian daripada sekatan dua bulan itu.
“Seperti yang diakui oleh FA dalam alasan bertulis suruhanjaya kawal selia bebas, tahap bantuan yang diberikan Sandro dengan merujuk sendiri dan bekerjasama sepenuhnya dengan penyiasatan seterusnya adalah luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Sandro terus mengikuti pelan terapeutik dan program pendidikan dengan sokongan penuh kelab dan akan terus berlatih bersama rakan sepasukannya.”
Penggantungan awal Tonali telah mengehadkan dia kepada hanya lapan penampilan Liga Perdana sejak dia menyertai Newcastle dari Milan dalam perjanjian £55 juta, manakala dia juga akan terlepas kempen Itali Euro 2024.